43 TAHUN DALAM INDUSTRI oleh Nurul Nazrah Nazarudin (Sinar: Ahad, 25 Disember 2011) |
Menghiburkan! Itulah yang boleh dikatakan sebaik selesai menyaksikan persembahan Biduanita Negara, Datuk Sharifah Aini atau mesra disapa Kak Pah di Majlis Makan Malam Amal Tiga Sahabat di Royale Chulan, baru-baru ini. Rata-rata peminat tidak puas menyaksikan persembahan dua jam setengah daripada ikon seni tanah air itu. Buktinya, hadirin seramai 760 orang meminta Kak Pah untuk terus mendendangkan lagu walaupun jam sudah hampir menunjukkan jam 12.30 malam. Biarpun penyanyi ini mengumumkan dendangan lagu terakhirnya, namun mereka tetap tidak berganjak di atas kerusi masing-masing dan meminta lagu lain untuk dinyanyikan. Ternyata penyanyi berusia 57 tahun ini mempunyai aura yang cukup kuat di kalangan peminatnya. Tidak keseorangan, persembahan Kak Pah pada malam itu turut diserikan dengan kehadiran dua nama besar penyanyi dari negara jiran, Indonesia, Grace Simon dan Dewi Yull. Pada malam tersebut, Grace memulakan persembahan dengan mendendangkan lima lagu termasuk Pria & Wanita, Ku Berjanji Pada Bintang dan sebuah lagu Inggeris, Sway yang dipopularkan oleh Michael Buble. Konsert semakin hangat apabila Dewi Yull mula menarik penonton untuk sama-sama menyanyi lagu dendangan D'Lloyd, Cinta Hampa. Dewi Yull terus mengawal majlis dengan dendangan lagu Dealova, Jangan Ada Dusta dan Kini Baru Kau Rasa. Seperti yang ditunggu-tunggu, Kak Pah memulakan persembahannya pada jam 10.20 malam dengan lagu malar hijau, Seri Dewi Malam dan Sayangku. Mengakui masih mempunyai rasa gemuruh saat mendendangkan lagu pertama dan kedua, Kak Pah bagaimanapun berjaya mengawal pentas dengan baik di samping berselang-seli berceloteh mengenai pengalamannya sepanjang 43 tahun menjadi anak seni. "Sudah jauh perjalanan saya dalam bidang seni ini. Telah 43 tahun saya dalam karier ini. Namun, perasaan gemuruh tetap ada tatkala menyampaikan lagu pertama dan kedua. Penat lelah saya berbaloi selama empat bulan saya bertungkus-lumus menguruskan majlis amal ini apabila melihat reaksi penonton. Malah ada peminat sanggup datang dari Jeddah, Perth, Singapura serta Sabah dan Sarawak," katanya yang cukup terharu dengan sambutan peminat. Tiga sahabat berkongsi pentas Bagi meneruskan lagi majlis, penyanyi yang juga pelakon Hapuslah Airmatamu itu turut mendendangkan lagu Putus Kasih, Kenangan Lalu, Terbang Helang, lagu Inggeris Smile, Kau Pergi Tanpa Pesan, lagu saduran Arab, Malam Persandingan, Halimun Malam dan lagu mendiang Broery Marantika, Biarlah Bulan Bicara. Tetamu yang datang juga kelihatan terhibur apabila turut sama menyanyi, malah ada yang menari tatkala Kak Pah mendendangkan lagu Zapin Budi dan Bunga Tanjung. Melihat tetamu seakan tidak puas menyaksikan persembahannya pada malam itu, Kak Pah lantas menyanyikan lagu medley era 70-an; Oh Di Mana, Surat Dari Seberang, Jangan Tinggal Daku dan Ingatan Manis Di Bulan September. Biduanita Negara ini turut menyanyikan lagu Inggeris, When You Tell Me That You Love Me dendangan asal Diana Ross. Konsert bertambah hangat apabila Kak Pah mula menjemput Grace dan Dewi untuk sama-sama mendendangkan lagu Kau Laksana Bulan, Jatuh Cinta dan Sepanjang Jalan Kenangan. Antara tetamu kenamaan yang hadir pada malam tersebut adalah Menteri Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat, Datuk Seri Shahrizat Abdul Jalil dan Pengasas Jamu Mak Dara yang juga merupakan penaja utama konsert tersebut, Halimah Shuib. Turut kelihatan, selebriti tanah air seperti Atilia, Aishah Sinclair dan Maya. Salur jualan ke sekolah tahfiz, rumah kebajikan Hasil jualan meja pada malam itu akan disalurkan kepada Madrasah Tahfiz Tahsin Al-Quran Batu 13, Kampung Sri Langkas, Puchong dan Baitul Ehsan di Taman Maluri, Cheras. "Alhamdulillah, ini kali ketujuh saya anjurkan konsert amal sebegini. Sebelum ini, konsert amal saya berjaya menyumbang RM82,000 kepada enam rumah kebajikan dan sekolah tahfiz terpilih," katanya yang turut memasang hasrat meneruskan konsert amal itu ke Melaka dan Johor. Mengulas mengenai dua penyanyi jemputan di konsert tersebut, mentor kepada Shiha ini turut memuji mereka kerana sanggup terbang dari Indonesia semata-mata untuk menjayakan persembahan amal itu. "Kita boleh lihat bagaimana orang berpengalaman yang telah lama menceburkan diri dalam bidang seni ini masih boleh menyanyi dengan baik. Apabila bercakap pasal bakat, umur bukanlah penghalang untuk kami menyampaikan lagu secara live," katanya. Dalam pada itu, Kak Pah turut terkilan kerana tidak dapat memenuhi hasratnya untuk menyanyikan 39 lagu kerana faktor kekangan masa. Menurut Kak Pah, cabutan bertuah yang diadakan berselang-seli dengan persembahan sedikit mengganggu perjalanan majlis pada malam itu. "Majlis amal selepas ini saya akan pastikan program cabutan bertuah akan dibuat sewaktu tetamu makan malam bagi melancarkan lagi masa persembahan," katanya yang akan menjemput seorang artis undangan sahaja untuk majlis amal yang akan datang. Artikel lain yang berkaitan: Kak Pah Penat Tapi Puas (Berita Minggu: B*Pop – 25 Disember 2011) Konsert Luar Jangkaan Kak Pah (Kosmo! – Jumaat, 23 Disember 2011) Sharifah Aini Serik Kena Tipu (Utusan Malaysia – Rabu, 21 Disember 2011) Berhibur Sambil Bersembang (Berita Harian – Selasa, 20 Disember 2011) Malam Amal Penuh Bermakna (Harian Metro – Isnin, 19 Disember 2011) Misi Kerja Amal Kak Pah (Utusan Malaysia – Isnin, 28 November 2011) Janji Persembahan Menarik (Berita Harian – Khamis, 24 November 2011) Semangat Kak Pah Membara (Harian Metro – Khamis, 24 November 2011) Kak Pah Terus Gigih Anjur Acara Amal (Kosmo! – Rabu, 23 November 2011) Teruja Nanti Malam Amal Tiga Sahabat (Berita Minggu: Bi*Pop – 20 November 2011) Kak Pah Sudah Bersiap Sedia (Harian Metro – Khamis, 3 November 2011) Tiga Sahabat Kongsi Pentas (Harian Metro – Selasa, 11 Oktober 2011) Kak Pah Ajak Dewi, Grace Beramal (Berita Minggu: B*Pop – 9 Oktober 2011) Susahnya Cari Penghibur Sejati (Berita Harian – Khamis, 6 Oktober 2011) |