KONSERT LUAR JANGKAAN KAK PAH

oleh Khairul Amri Hassan  (Kosmo: Jumaat, 23 Disember 2011)

"Percayalah, selepas 42 tahun menyanyi saya masih gugup di pentas!," laung biduanita negara, Datuk Sharifah Aini Syed Jaafar ketika melangkah kaki ke pentas konsert Amal Tiga Sahabat di Dewan Taming Sari, Hotel Royale Chulan, Kuala Lumpur malam Sabtu lepas.  Lebih mesra dipanggil Kak Pah, kemunculannya pada konsert yang diadakan untuk mengutip derma kepada Tahfiz Tahsin Al-Quran Batu 13, Kampung Sri Langkas, Jalan Klang Puchong dan Baitul Ehsan di No 49, Jalan Wirawati 6, Taman Maluri, Kuala Lumpur itu bagai kemuncak yang ditunggu-tunggu semua yang hadir.

Atmosfera lebih formal tetapi santai apatah majlis diserikan dengan kehadiran Menteri Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat, Datuk Seri Shahrizat Abdul Jalil.  Kak Pah membuka tirai persembahan dengan lagu yang suatu masa dulu melonjakkan namanya; Seri Dewi Malam.  Katanya, pengorbanan untuk menjayakan konsert amal kali ini berbaloi apabila ruang dewan Taming Sari terisi sepenuhnya dengan audiens, malah ada penambahan meja pada saat-saat akhir.  Menjangkakan cuma 350 audiens saja pada awalnya, maklum Kak Pah sebanyak 400 keping tiket tambahan dicetak atas permintaan saat akhir.

"Empat bulan saya membuat persediaan untuk konsert amal ini, Alhamdulillah segalanya berjalan lancar dan usaha ini akan diteruskan selepas ini mungkin ke Johor pula," ujarnya yang berjaya mengutip lebih RM80,000 untuk disalurkan ke rumah-rumah anak yatim dan tahfiz al-Quran.

Lagu nostalgia

Konsert amal kali ini yang menelan kos lebih RM100,000 turut dimeriahkan dengan penampilan khas penyanyi legenda Indonesia, Dewi Yull dan Grace Simon.  Masing-masing mendendangkan empat buah lagu pada awal konsert.  Bing, Begawan Solo, Kapan Lagi memang tidak dinafikan sudah serasi dengan imej Grace Simon.  Pelengkap persembahan pembukaan, lagu yang dipopularkan kembali oleh Michael Buble Sway turut dinyanyikan Grace.

Sementara Dewi Yull menghadiahkan peminatnya lagu-lagu seperti Pinta Hamba, Dealova, Jangan Ada Dusta Di Antara Kita dan Kini Baru Kau Rasa sebagai pengubat rindu.  Trio tiga sahabat itu diteruskan dengan membawakan lagu-lagu yang pernah popular sekitar era 1980-an termasuk Kemayoran, Kau Laksana Bulan, Jatuh Cinta (tribute untuk Broery Marantika) serta Sepanjang Jalan Kenangan.

Terus larut dibuai alunan lagu-lagu biduanita negara itu, acara yang berlangsung selama hampir empat jam itu tidak lengkap tanpa nyanyian solo Kak Pah.  Kembali mengembara menerusi lagu-lagu yang penuh bermakna dalam hidup Kak Pah, tanpa kering celoteh dan jenaka dibikinnya sepanjang majlis.  Selain lagu-lagu popular Kak Pah seperti Sayangku, Putus Kasih, Terbang Helang, Kau Pergi Tanpa Pesan, Malam Persandingan dan Halimun Malam, Kak Pah turut mengalunkan empat buah lagu yang masing-masing pernah dipopularkan kumpulan Flybaits, Charlie Chaplin, Broery Marantika dan Diana Ross iaitu Kenangan Lalu, Smile, Biarlah Bulan Bicara dan When You Tell Me That You Love Me.

Kata Kak Pah mengenai lagu Putus Kasih: "Lagu ini banyak kenangan, ketika itu saya sedang mengandung sembilan bulan pada tahun 1982 dan ini merupakan lagu kegemaran saya ketika itu berbadan paling besar berada dalam sebuah studio rakaman."  Pertengahan konsert, lagu-lagu seperti Ingatan Manis Bulan September, Oh Di Mana, Surat Dari Seberang dan Jangan Tinggalkan Daku dijadikan medley selama lebih 15 minit.

Bunga Tanjung

Menutup tirai persembahan malam penuh nostalgia itu, Zapin Budi dan Joget Bunga Melati.  Bagaikan tidak lengkap tanpa lagu Bunga Tanjung, Kak Pah menurut permintaan peminat untuk menambah sebuah lagu penghujung acara.  Konsert amal yang dijadual sepatutnya memuatkan satu slot tribute untuk Datuk Ahmad Jais bagaimanapun gagal direalisasikan berikutan kesempitan masa.  "Susunan lagu sudah ada dan sedap-sedap semuanya, tapi pada malam ini kita mengejar masa dan slot tribute itu akan mengambil masa selama 15 minit," ujar Kak Pah yang mungkin mengadakan konsert seterusnya pada bulan April atau Mei tahun depan.

Artikel lain yang berkaitan:

  Kak Pah Penat Tapi Puas (Berita Minggu: B*Pop 25 Disember 2011)

  43 Tahun Dalam Industri (Sinar Ahad, 25 Disember 2011)

  Sharifah Aini Serik Kena Tipu (Utusan Malaysia Rabu, 21 Disember 2011)

  Berhibur Sambil Bersembang (Berita Harian Selasa, 20 Disember 2011)

  Malam Amal Penuh Bermakna (Harian Metro Isnin, 19 Disember 2011)

  Misi Kerja Amal Kak Pah (Utusan Malaysia Isnin, 28 November 2011)

  Janji Persembahan Menarik (Berita Harian Khamis, 24 November 2011)

  Semangat Kak Pah Membara (Harian Metro Khamis, 24 November 2011)

  Kak Pah Terus Gigih Anjur Acara Amal (Kosmo! Rabu, 23 November 2011)

  Teruja Nanti Malam Amal Tiga Sahabat (Berita Minggu: Bi*Pop 20 November 2011)

  Kak Pah Sudah Bersiap Sedia (Harian Metro Khamis, 3 November 2011)

  Tiga Sahabat Kongsi Pentas (Harian Metro Selasa, 11 Oktober 2011)

  Kak Pah Ajak Dewi, Grace Beramal (Berita Minggu: B*Pop 9 Oktober 2011)

  Susahnya Cari Penghibur Sejati (Berita Harian Khamis, 6 Oktober 2011)