KONSERT AMAL KAK PAH

oleh Norliza Mohamad Zakaria  (Utusan Malayisa: Selasa, 2 Februari 2010)

Biduanita Datuk Sharifah Aini memang cukup terkenal dengan kelunakan dan kelantangan vokal yang tersendiri, kerana itulah setelah lebih 40 tahun memegang pasport sebagai penyanyi, dia masih lagi diminati bukan sahaja di kalangan peminat yang membesar dengan lagu-lagunya malah generasi muda hari ini.  Menghargai sokongan yang diberikan, biduanita terkenal itu bakal menghiburkan para peminat setianya dalam konsert amal, Up Close And Personal With Sharifah Aini yang dijadualkan pada 17 April, pukul 8 malam di Grand Ballroom, Hotel Concorde, Kuala Lumpur.

Ini persembahan terbaru darinya selepas terlibat dalam hampir 3,000 buah persembahan termasuk konsert amal.  Seperti insan lain, Sharifah Aini juga punya rasa dan berkeinginan dalam membantu pihak-pihak yang memerlukan.  Baginya, perkara utama dalam nyanyian bukan hanya dengan 'menjual' suara sahaja, tetapi turut membantu dan melakukan kerja-kerja amal setakat yang termampu.

Menjanjikan yang terbaik, Sharifah Aini dalam persembahan yang dijangka selama tiga jam itu bakal menyanyikan 30 rangkaian lagu-lagu popularnya di era 70-an hingga 80-an.  Ia merangkumi 80 peratus lagu-lagu Melayu dan selebihnya lagu-lagu Inggeris yang pernah dirakam olehnya.  Sehingga kini, kata Sharifah Aini yang ditemui pada sidang akhbar konsert tersebut di Hotel Concorde, Kuala Lumpur baru-baru ini sebanyak tiga buah meja telah terjual.

Sharifah bagaimanapun mahu mengehadkan jumlah penonton supaya tidak terlalu ramai untuk konsert tersebut.  "Saya tidak mahu jual banyak meja kerana ini persembahan secara dekat dan personal.  Ia memudahkan saya untuk pergi dari satu meja ke satu meja yang lain untuk lebih dekat dengan peminat saya.  Selepas 42 tahun terlibat dalam industri, saya takut nak janjikan apa-apa kejutan buat peminat.  Namun, persembahan saya kali ini memang berbeza dengan yang sebelum ini dan akan diiringi oleh enam pemuzik.  Dari segi persembahan, ada lagu yang saya nyanyikan diiringi oleh petikan piano dan nanti saya akan mengundang beberapa peminat yang hadir untuk menyanyi bersama saya," katanya.

Biduanita itu turut menggambarkan suasana ruang dalaman dewan persembahan pada malam tersebut bakal digubah mengikut konsep taman dilengkapi bunga-bungaan segar dan cahaya lilin.  Hasil kutipan jualan meja untuk konsert tersebut akan disalurkan kepada Rumah Ijabah Anak Yatim dan Al Hafiz, Subang Jaya.

Kepada sesiapa yang berminat untuk menyaksikan konsert tersebut, meja masih lagi dijual pada harga RM3,500 dan RM6,500.  Untuk tempahan atau sebarang pertanyaan, sila hubungi talian 0193488054 dan 0129332373 atau email kepada limeevent@gmail.com

RANCANG KONSERT BERSAMA AHMAD JAIS

Belum pun bermula konsert Up Close And Personal With Sharifah Aini, biduanita itu sudah pun berkira-kira untuk mengadakan sebuah lagi konsert pada penghujung tahun ini.  Menariknya, kali ini Sharifah Aini berhasrat mengadakan konsert Nostalgia 60-an bersama penyanyi terkenal, Ahmad Jais.  "Sehingga kini saya belum memaklumkan apa-apa kepada Ahmad Jais.  Bagaimanapun saya akan berjumpa dan berbincang dengannya tentang rancangan saya tidak lama lagi.  Dalam sibuk membuat pelbagai persiapan persembahan beberapa bulan lalu timbul puila idea untuk mengadakan konsert bersamanya (Ahmad Jais)," katanya.

Artikel lain yang berkaitan:

  Datuk Sharifah Aini Lega (URTV – 1 Jun 2010)

  Kak Pah Beramal (Harian Metro – Sabtu, 8 Mei 2010)

  Resah Yang Terlerai (Berita Minggu – 25 April 2010)

  Lembaran Rahsia Sharifah Aini (Utusan Malaysia – Khamis, 22 April 2010)

  Kekuatan Vokal Tiada Tandingan (Harian Metro – Rabu, 21 April 2010)

  Kak Pah Cari Bekal Akhirat (Harian Metro – Rabu, 14 April 2010)

  With Love From Sharifah Aini (New Straits Times – Monday, 8 February 2010)

  Serlah Sisi Romantis (Berita Harian – Jumaat, 29 Januari 2010)

  Kak Pah Terus Beramal (Harian Metro – Rabu, 27 Januari 2010)
  Tidak Betah Duduk Diam (Berita Harian – Jumaat, 15 Januari 2010)