LEMBARAN RAHSIA SHARIFAH AINI

oleh Metra Syahril Mohamed  (Utusan Malaysia; Khamis, 22 April 2010)

SHARIFAH AINI menurunkan tandatangan sebagai kenangan kepada mereka yang hadir ke persembahan amalnya, Up Close And Personal With Sharifah AiniAndai penghibur ini membina nama di persada seni Hollywood, barangkali, dia akan berada dalam senarai artis yang menerima pendapatan paling tinggi.  Suara emasnya yang tiada tolok banding saja sudah membolehkan dia membina empayar kekayaan.  Itu belum lagi dicampur dengan pendapatan hasil royalti daripada penjualan album.

Dan barangkali juga, dengan cara yang mudah, seniwati terbilang ini boleh memilih untuk bersara dengan aman kerana kewangan akaun banknya akan mantap andai penjualan kisah hidupnya yang dirakamkan dalam buku.

Namun begitu, semua itu tidak berlaku pada biduanita Datuk Sharifah Aini.  Menyedari akar umbi kelahirannya serta berpegang teguh pada prinsip hidup sebagai orang Melayu, segala keinginan dan fantasi untuk menjadi masyhur dengan cara mudah dipinggirkannya.  Barangkali juga, kerana prinsip itu, Sharifah yang sudah lebih empat dekad menjadi anak seni sudah cukup puas menimba pengalaman - baik yang manis mahupun yang pahit.

Kisah percintaan, kebahagiaan, duka dan segala kenangan di lembaran hiburan, semuanya membuatkan Sharifah kental sehingga laluan hidupnya sebagai penghibur masih bertahan hingga kini.  Beruntungnya Sharifah, dia melalui hidup sebagai anak seni dengan pengalaman yang sama sekali berbeza dengan apa yang dilalui oleh penyanyi muda hari ini.

Bukan sekadar menyanyi, penyanyi ini juga banyak menulis lirik antaranya lirik Kau Tinggi Di Awan Biru yang ditulisnya pada 1977 merupakan lagu yang cukup menyentuh perasaannya apabila mula bermain dengan cinta.  Lirik itu seperti yang diketahui ramai merupakan dedikasi istimewa Sharifah buat bekas kekasihnya seorang juruterbang yang berasal dari Iraq.  Pertemuan yang berlaku di sekitar tahun berkenaan sayang sekali membataskan pertemuan antara mereka berdua.  "Saya tidak beritahu keluarga tentang Ali.  Dia selalu tinggalkan saya kerana terpaksa 'terbang' ke sana sini.  Kalau berjumpa pun sekejap sahaja.  Sebab itu saya tulis lagu ini khas untuk dia," katanya membuka rahsia di hadapan peminat-peminatnya yang menghadiri Up Close And Personal With Sharifah Aini, sebuah konsert amal yang diadakan di Hotel Concorde, Kuala Lumpur baru-baru ini.

Hasil kutipan jualan meja untuk konsert tersebut akan disalurkan kepada Rumah Ijabah Anak Yatim dan Al Hafiz, Subang Jaya, Selangor.  Pada persembahan yang berlangsung lebih dua jam itu, Sharifah menyanyikan lebih 30 buah lagu-lagu popularnya termasuk beberapa lagu secara medley.  Antara lagu-lagu tersebut ialah Hapuslah Air Matamu, Kini Hatiku Telah Tertawan, Dari Masa Hingga Masa, Cemburu, Jangan Tinggalkan Daku, Ingatan Manis Di Bulan September, Tiada Maaf Bagimu, Sabar Menanti, Daun-Daun Berguguran, Seri Dewi Malam, Bunga Tanjung, Kau Racun Hidupku dan Terbang Helang.

Sebetulnya, pada malam berkenaan, banyak lembaran kisah peribadi yang dikongsi oleh penghibur yang semakin anggun pada usianya itu.  Antara cerita yang menarik perhatian ialah mengenai kisah cintanya dengan seorang lelaki dari Titi Serong, Perak.  Rancak bercerita dengan lebih mendalam, tatkala hendak menyanyikan lagu berjudul Yang Sangat Ku Sayang, lagu ciptaan A Ryanto (1986), Sharifah membuka pula kisah perkahwinan pertamanya.  "Semua orang tahu yang saya pernah mengahwini dengan dua orang lelaki sebelum ini.  Suami yang pertama amat bermakna dan saya dikurniakan anak lelaki, Aliff Omar yang kini masih menuntut di Madinah, Arab Saudi.

"Ditakdirkan cerai, dalam idah, saya telah ke bank untuk membuat satu pinjaman.  Saya telah bertemu dengan seorang ahli perbankan ini.  Perkenalan kami menjadi rapat dan dia lelaki yang jujur.  Tidak lama itu, dia melamar saya," jelasnya yang kini sudah 14 tahun hidup keseorangan tanpa suami.  Kini, selepas melalui pelbagai pengalaman bersama bekas kekasih dan dua orang bekas suaminya, Sharifah yang ditanya mengenai rumah tangga sejurus selepas persembahan itu hanya mampu tersenyum penuh makna.

Bagi wanita yang hidupnya sarat dengan kasih sayang, semua itu kuasa Allah. Secara peribadi, Sharifah belum terfikir untuk kembali berumah tangga.  Pun begitu, jauh di sudut hati, biduanita yang dipuja ramai itu mengakui, ada waktunya dia berasa sangat sunyi.  "Saya hanya mampu berdoa.  Jika ada, adalah dan jika tidak ada rezeki berkahwin selepas ini, saya reda." luah Sharifah penuh makna.

Selain kisah-kisah percintaan dan rumah tangga, Sharifah turut membawa perhatian peminatnya mengenai pengalamannya menyanyi di fun fair bersama Allahyarham Datuk Sudirman Haji Arshad.

Namun, salah satu pengalaman yang sukar dilupakan adalah ketika diundang oleh seorang Ahli Parlimen dari Sarawak mengadakan konsert di sebuah perkampungan dalam kawasan Parlimennya.  "Ahli Parlimen berkenaan ada berjanji kepada pengundi kawasannya yang kalau dia menang, dia akan membawa saya menyanyi di sana.  Hendak ditakdirkan, dia telah menang.  Saya telah diterbangkan ke sana. Saya disambut bagaikan seorang menteri.  Bukan satu tugas yang mudah hendak buat persembahan di sana.  Bayangkan, dari perkampungan hendak ke lokasi konsert, saya terpaksa menaiki sampan kecil sambil memakai gaun mengerlip pada waktu malam sebab ketiadaan bilik persalinan di kawasan konsert.  Sampan itu boleh muat dua orang sahaja.  Saya dan pendayung.  Inilah antara pengalaman yang susah saya lupakan," katanya rancak bercerita sambil ketawa besar.

Apa yang dapat disimpulkan, persembahan Up Close And Personal With Sharifah Aini malam berkenaan bukan hanya malam untuk penghibur itu beramal.  Sebaliknya, malam, berkenaan juga turut membawa perhatian audiens kepada lembaran kisah hidup biduanita bernama Sharifah Aini yang hidupnya penuh dengan pelbagai warna!

Artikel lain yang berkaitan:

  Datuk Sharifah Aini Lega (URTV 1 Jun 2010)

  Kak Pah Beramal (Harian Metro Sabtu, 8 Mei 2010)

  Resah Yang Terlerai (Berita Minggu 25 April 2010)

  Kekuatan Vokal Tiada Tandingan (Harian Metro Rabu, 21 April 2010)

  Kak Pah Cari Bekal Akhirat (Harian Metro Rabu, 14 April 2010)

  With Love From Sharifah Aini (New Straits Times Monday, 8 February 2010)

  Konsert Amal Kak Pah (Utusan Malaysia Selasa, 2 Februari 2010)

  Serlah Sisi Romantis (Berita Harian Jumaat, 29 Januari 2010)

  Kak Pah Terus Beramal (Harian Metro Rabu, 27 Januari 2010)
  Tidak Betah Duduk Diam (Berita Harian Jumaat, 15 Januari 2010)