KAK 
	PAH KONGSI PENGALAMAN SEBAGAI PENGHIBUR SELAMA 43 TAHUN BERSAMA PEMINAT
		
		Sesiapa saja boleh muncul sebagai 
		penyanyi ketika ini tetapi bukan semua mampu jadi penghibur yang 
		mempunyai ramai peminat.  Begitulah pengalaman yang dilalui 
		Biduanita Negara, Datuk Sharifah Aini atau mesra dengan gelaran Kak Pah 
		yang masih terus menyanyi dan meraih permintaan mengadakan persembahan 
		pentas.  Malah, apa yang mencatat pencapaian peribadi buatnya 
		beliau masih berjuang dalam bidang nyanyian sejak 43 tahun lalu.  
		Tempoh itu bukan suatu yang mudah untuk dicapai apatah lagi penyanyi 
		baru dan lama bersilih ganti.
		
		Bagi Kak Pah, cinta pada nyanyian 
		masih utuh dan selagi dikurniakan kesihatan yang baik, beliau masih 
		bersemangat menghiburkan peminatnya.  Merakam kenangan terindah Kak 
		Pah sepanjang berada dalam bidang seni suara, beliau berkesempatan 
		mengadakan persembahan Up, Close & Personal With Sharifah Aini di 
		Hotel Concorde, Kuala Lumpur pada malam Sabtu lalu.
		
		Merujuk pada judul persembahan kali 
		ini, Kak Pah tidak hanya menyanyi sebaliknya berkongsi pengalaman hidup 
		yang pernah dilalui sebelum ini.  Mungkin Kak Pah pernah bercerita 
		serba sedikit pengalaman di awal pembabitan sebagai penyanyi dalam acara 
		lain sebelum ini tetapi kali ini, apa yang ingin disampaikan lebih 
		bersifat peribadi.  Kak Pah, 56, berkata, setiap lagu mempunyai 
		kenangan dalam hidupnya termasuk mencipta lirik lagunya sendiri.  
		Mengimbau kembali kenangan lalu, beliau mula menyanyi pada usia lapan 
		tahun dan tampil membuat persembahan pembukaan untuk Datuk Jeffrydin, 
		Datuk Ahmad Jais dan Allahyarham Toh Puan Rafeah Buang.
		
		
		
"Pengalaman 
		itu membuatkan saya ke sini hingga menjangkau 43 tahun.  Jutaan 
		terima kasih pada anda semua kerana hadir pada acara ini.  Saya 
		berharap anda semua dapat terima saya seadanya.  Malam ini, saya 
		akan bawakan anda kembali ke zaman 70-an," katanya ketika membuka 
		persembahan.  Memulakan lagu popularnya seperti Ingatan Manis Di 
		Bulan September, Tiada Maaf Bagimu dan Sabar Menanti, 
		Kak Pah membuktikan kekuatan vokalnya masih tiada tandingan.  
		Menerusi lagu Kau Tinggi Di Awan Biru, Kak Pah berkongsi kisah 
		cinta silamnya bersama seorang juruterbang iaitu Ali yang meninggal 
		dunia dalam satu kemalangan jalan raya.
		
		
		
Bercerita 
		pengalaman ketika menyanyi bersama Rafeah, Kak Pah menyatakan penyanyi 
		itu mempunyai suara merdu. Baginya, walaupun ramai penyanyi bagus muncul 
		tetapi sukar menemui vokal yang merdu.  Begitu juga, Kak Pah sering 
		menyanyikan lagu yang banyak berlaku dalam hidupnya.  Sebelum 
		menyampaikan lagu Inikah Balasannya, Kak Pah merendah diri 
		menyatakan dia tidak sepopular penyanyi masa kini tetapi tidak berasa 
		kecil hati.  Baginya, pengalaman yang dilalui sepanjang 43 tahun 
		tidak dapat dibeli dengan wang.  Atas pengalaman itu juga, Kak Pah 
		merasakan dia adalah insan bertuah.
		
		Lebih bermakna, pada 
		persembahan kali ini Kak Pah terbuka hati untuk membantu menghulurkan 
		sumbangan pada Sekolah Ijabah, Subang Jaya Selangor, yang menempatkan 
		anak yatim dan pelajar tahfiz.  "Kanak-kanak adalah masa depan kita 
		semua.  Oleh itu, saya berasa terpanggil untuk membantu mereka.  
		Ini adalah tanggungjawab sosial saya dan berharap lebih banyak 
		persembahan amal seperti ini diadakan.
		
		 
		
"Pada zaman 70-an, saya sering menyanyi di funfair.  Ketika itu saya 
		bersama Allahyarham Sudirman Hj Arshad berebut kumpul duit dan hingga 
		kini, saya tidak menyangka dapat terus menyanyi.  Tidak dinafikan 
		saya banyak menyanyikan lagu saduran seperti Dekatlah Padaku yang 
		diambil dari lagu Jepun dan Ingatlah Sayang dan Kerana Cinta.  
		Jika tidak silap, saya sudah hasilkan lebih 300 lagu yang saya tulis dan 
		tema lagu ini berkait rapat dengan kasih sayang antara lelaki dengan 
		wanita serta ibu dengan anak," katanya.
		
		Persembahan secara 
		santai itu turut menyaksikan Kak Pah menyampaikan lagu Kenangan Indah 
		(Yang Menyayat), Di Malam Persandingan, Dekatlah Padaku 
		sebelum mengajak dua wartawan hiburan, Huzz bersama Syed Wafa naik ke 
		pentas menyanyikan lagu Seiring Sejalan.  Tidak menghampakan 
		peminat yang hadir, Kak Pah turut menyanyikan lagu popular lain seperti
		Seri Dewi Malam, Bunga Tanjung, Jatuh Cinta, 
		Hey 
		(pernah dipopularkan Julio Iglesias), Yang Sangat Ku Sayang dan 
		kemudian mengajak peminat menari menerusi lagu Let's Twist Again 
		(dipopularkan kumpulan The Beatles).
		
		Ketika diminta 
		peminat menyampaikan lagu Burung Punggok, Kak Pah menyatakan lagu 
		itu memerlukan kekuatan muzik orkestra tetapi beliau tetap sudi menyanyi 
		beberapa bait.  Pada sidang media selepas persembahan selama tiga 
		jam, Kak Pah menyatakan dia bersemangat menyanyi tanpa rasa penat kerana 
		sokongan peminat yang hadir pada malam itu.  Buktinya, dia berjaya 
		menyampaikan 36 lagu termasuk medley.
		
		
		
"Persembahan kali ini 
		dianggap personal kerana setiap lagu mempunyai ceritanya tersendiri.  
		Saya percaya peminat yang hadir kali ini adalah mereka yang pernah 
		membesar dengan lagu saya termasuk peminat baru.  Biarpun saya 
		membelanjakan lebih RM100,000 untuk persembahan sebegini, saya berhasrat 
		menyumbang antara 30 hingga 40 peratus 
		dari kutipan malam ini.  Sumbangan seperti ini penting untuk 
		membantu mereka.  Sebenarnya, saya sudah kenal pasti 15 sekolah di 
		Lembah Klang untuk menghulurkan sumbangan.  Sebolehnya, saya mahu 
		mencari penaja agar dapat memberikan lebih banyak sumbangan selepas ini.  
		Pada 28 Mei nanti, saya akan menjayakan persembahan sempena Hari Ibu 
		manakala selepas Aidilfitri pula, saya mengadakan rumah terbuka bersama 
		Ahmad Jais yang diberi nama, Nostalgia 60-an.  Soal cinta, jika ada 
		atau tidak, alhamdulillah.  Saya tetap gembira kerana mempunyai 
		kebebasan dan ramai yang sayangkan saya.  Selepas berpisah selama 
		14 tahun, saya tidak pernah keluar dengan sesiapa.  Saya reda 
		dengan keadaan itu dan bohong jika saya tidak akui perasaan itu datang 
		bila bersendirian.  Apapun, ibu saya tetap hadir menyaksikan 
		persembahan kali ini dan hakikatnya, saya tidak akan kecapi hidup hari 
		ini tanpanya," katanya.
	
	Artikel lain yang berkaitan:
		
  
 Datuk Sharifah Aini Lega 
(URTV 
		
		– 1 Jun 2010)
  
		
Kak Pah 
		Beramal 
(Harian 
		Metro 
– Sabtu, 8 Mei 2010)
  
		
Resah Yang Terlerai 
		(Berita 
		Minggu 
– 25 April 2010)
	
  
		 
		
		Lembaran Rahsia 
		Sharifah Aini 
		(Utusan 
		Malaysia 
	
	– Khamis, 22 April 2010)
	
  
		
		Kak Pah Cari 
		Bekal Akhirat 
		(Harian 
		Metro 
	
	– Rabu, 14 April 2010)
	
  
		
		With Love From 
		Sharifah Aini 
		(New Straits Times 
	
	– Monday, 8 February 2010)
	
  
		
		
		Konsert Amal Kak 
		Pah 
		(Utusan 
		Malaysia 
	
	– Selasa, 2 Februari 2010)
	
  
		
		
		Serlah Sisi 
		Romantis 
		(Berita 
		Harian 
	
	– Jumaat, 29 Januari 2010)
	
  
		
		
		Kak Pah Terus 
		Beramal 
		(Harian 
		Metro 
	
	– Rabu, 27 Januari 2010)
  
		
		
		Tidak Betah Duduk 
		Diam 
		(Berita 
		Harian 
	
	– Jumaat, 15 Januari 2010)