Sepanjang tahun lalu, 
		Biduanita Negara, Datuk Sharifah Aini antara yang tidak betah duduk diam 
		melakukan persembahan termasuk konsert dalam skala besar di Singapura. 
		Menutup tirai pada Disember lalu ialah siri persembahan amal Datuk 
		Sharifah Aini and Friends membabitkan Anuar Zain dan Adibah Noor.  
		Akui penyanyi lagu Jatuh Cinta itu, 2010 juga sebolehnya mahu diisi 
		dengan kerja menyanyi.  Pada masa yang sama beliau yang mesra 
		membahasakan diri sebagai kak Pah ini, akan terus melaksanakan berkongsi 
		sedikit kesenangan dengan mereka yang memerlukan.
		
		
		
"Kak 
		Pah tetap nak bekerja dan cepat naik bosan kalau terus duduk diam.  
		Tetapi Insya-Allah kalau jadi tahun ini juga kak Pah nak curi masa 
		bercuti dan mengembara ke negara orang.  Selepas penat bekerja, Kak 
		Pah nak lari daripada kesibukan pula.  Kak Pah ada ramai 
		kawan di Eropah.  Mungkin kak Pah akan bercuti ke Greece atau ke 
		negara Eropah yang lain.  Selain itu, Insya-Allah, pada April ini, 
		kak Pah akan menjayakan persembahan yang diberi nama Up, Close and 
		Personal with Sharifah Aini di Hotel Concorde, Kuala Lumpur," 
		katanya yang ditemui Hip di kediamannya di Petaling Jaya sewaktu 
		mengadakan acara majlis tahlil.
		
		Menurut Kak Pah, siri 
		persembahan Datuk Sharifah Aini and Friends masih diteruskan lagi.  
		Cuma untuk permulaan tahun ini, kak Pah memulakannya dengan persembahan 
		solo menerusi Up Close and Personal.  Persembahan ini juga 
		masih atas tujuan beramal untuk disalurkan kepada anak yatim dan sekolah 
		tahfiz di Subang Jaya pula.
		
		"Persembahan makan 
		malam ini akan diadakan pada 17 April di Grand Ballroom Hotel Concorde.  
		Ia dibuat bagi memenuhi permintaan peminat yang tak puas mendengar suara 
		kak Pah ketika persembahan bersama Anuar dan Adibah sebelum ini.  
		Insya-Allah, kak Pah akan menyanyikan sekitar 25 buah lagu dalam tempoh 
		dua jam setengah.  Persembahan ini lebih bersifat intim dan mesra.  
		Tempat juga terhad kerana penonton yang dijangka hadir dalam 350 orang.  
		Menu makanan yang akan disajikan terarah kepada gaya Inggeris.  
		Tiket atau jualan meja dijual pada harga RM5,500 dan 3,500.  Untuk 
		yang berminat boleh menghubungi pihak Lime Event di talian 019-3488054 
		atau 012-9332373.  
		Ataupun e-melkan pertanyaan ke limeevent@gmail.com," 
		ungkap kak Pah yang dijangka membuat persembahan bersama Anita Sarawak 
		menerusi persembahan Datuk Sharifah Aini and Friends pada hujung 
		tahun ini atau tahun depan. 
		
		
		
Serentak 
		pada majlis tahlil itu juga turut diadakan penyerahan cek kepada sekolah 
		tahfiz Darul Huffaz, Puchong, Selangor.  Cek diserahkan kak Pah 
		kepada Pengetua atau Mudir Darul Huffaz, Ustaz Aminurrasid Al Hafiz.  
		Turut menyaksikannya ialah 20 orang pelajar di sekolah terbabit.  
		Bagaimanapun, kak Pah memilih untuk merahsiakan jumlah cek yang 
		diserahkan.  Kata kak Pah, selepas ditolak perbelanjaan yang perlu 
		dilunaskan, jumlah yang diberikan adalah 100 peratus keuntungan tanpa 
		diambil sesen pun sewaktu siri pertama Datuk Sharifah Aini and 
		Friends diadakan.
		
		"Apa yang kak Pah 
		lakukan ini sebagai pelaburan untuk akhirat.  Kak Pah suka 
		melakukannya.  Ia sebagai 'saham' jangka panjang.  Anak murid 
		dari sekolah ini juga antara yang rapat dengan kak Pah dan mereka semua 
		sudah seperti anak.  Selepas ditolak bayaran kepada artis, pemuzik, 
		penyanyi latar, sistem bunyi, sewa studio untuk sesi latihan dan 
		termasuk beberapa hal lagi, kak Pah serahkan semuanya kepada sekolah ini.  
		Kiranya malam itu kak Pah menyanyi tanpa dibayar," kata kak Pah tulus.
    
		SENANGI KAK PAH
	
	
	
Sementara 
	itu, Ustaz Aminurrasid yang ditemui mengucapkan jutaan terima kasih kepada 
	kak Pah atas sumbangannya itu.  "Pada saya secara peribadi susah 
	sebenarnya nak jumpa artis seperti kak Pah.  Kesayangannya terhadap 
	orang agama sangat tebal.  Kak Pah selalu menganjurkan majlis keagamaan 
	di rumahnya termasuk khatam al-Quran.  Persaudaraan sesama Islam ini 
	sesuatu yang sangat abstrak.  Kami banyak mempelajari kasih sayang 
	dengannya.  Begitu juga halnya dengan menghormati orang yang lebih tua 
	dan menyayangi kanak-kanak.  Hubungan tenaga pengajar di sini dengannya 
	sudah seperti kakak dan adik.  Malahan, kak Pah sudah dianggap seperti 
	umi oleh murid-murid di sini," katanya sambil memberitahu duit sumbangan itu 
	akan digunakan untuk membaikpulih bangunan sekolah dan menampung keperluan 
	lain.
	
	Artikel lain yang berkaitan:
		
  
 Datuk Sharifah Aini Lega 
(URTV 
		
		– 1 Jun 2010)
  
		
Kak Pah 
		Beramal 
(Harian 
		Metro 
– Sabtu, 8 Mei 2010)
  
		
Resah Yang Terlerai 
		(Berita 
		Minggu 
– 25 April 2010)
	
  
		 
		
		Lembaran Rahsia 
		Sharifah Aini 
		(Utusan 
		Malaysia 
	
	– Khamis, 22 April 2010)
  
		
		
Kekuatan Vokal 
		Tiada Tandingan 
		(Harian 
		Metro 
– Rabu, 21 April 2010)
	
  
		
		Kak Pah Cari 
		Bekal Akhirat 
		(Harian 
		Metro 
	
	– Rabu, 14 April 2010)
  
		
		With Love From 
		Sharifah Aini 
		(New Straits Times 
– Monday, 8 February 2010)
	
  
		
		
		Konsert Amal Kak 
		Pah 
		(Utusan 
		Malaysia 
	
	– Selasa, 2 Februari 2010)
	
  
		
		
		Serlah Sisi 
		Romantis 
		(Berita 
		Harian 
	
	– Jumaat, 29 Januari 2010)
  
		
		
		Kak Pah Terus 
		Beramal 
		(Harian 
		Metro 
	
	– Rabu, 27 Januari 2010)