KAK PAH CARI BEKAL AKHIRAT

oleh Nor Akmar Samudin  (Harian Metro; Rabu, 14 April 2010)

Semakin meniti hidup yang matang, tiada apa yang difikirkan Biduanita Negara, Datuk Sharifah Aini (Kak Pah) melainkan memperbanyakkan amal kerana itu sajalah bekalan yang bakal dibawa ke akhirat nanti.  Sehubungan itu pada Sabtu ini, jam 8 malam, bertempat di Dewan Utama, Hotel Concorde Kuala Lumpur, Kak Pah sekali lagi MASIH JELITA ... Kak Pah hiburkan peminat di Hotel Concorde, Kuala Lumpur, Sabtu inimenganjurkan pertunjukan amal bagi mengisi dana Sekolah Ijabah, sekolah anak yatim dan tahfiz yang beroperasi di Subang Jaya, Selangor.  Ketika dihubungi Harian Metro, kelmarin, Kak Pah berkata, persembahan yang dinamakan Up, Close and Personal With Sharifah Aini itu diharap akan merapatkan lagi hubungan dengan tetamu setia yang dianggarkan berjumlah sekitar 350 hingga 400 orang.

"Saya mahu berjalan ke setiap meja dan bermesra dengan mereka yang datang.  Kalau dalam persembahan lain yang biasanya ada banyak meja, agak sukar untuk saya bermesra lebih lama dengan penonton.  Saya faham mereka yang datang bukan saja ingin menyaksikan persembahan saya tapi mahukan bergambar dan bermesra secara lebih dekat.  Jadi inilah yang dinamakan Up, Close and Personal.  Bagaimanapun saya sedar penonton Malaysia juga suka membuat tempahan meja pada saat akhir dan kalau datang lagi banyak permintaan, mungkin saya terpaksa menambah bilangan meja pada malam itu.  Alhamdulillah, setakat ini hampir semua meja sudah pun dijual sejak sebulan lalu.  Khusus untuk peminat yang sentiasa menyokong perjalanan kerjaya seni saya sejak dulu hingga sekarang, saya sudah menyusun khas 30 lagu termasuk secara medley untuk didendangkan malah ada peminat yang membuat permintaan.

Saya rasa sangat berbesar hati.  Sebagaimana mereka menyanjung bakat seni saya selama ini, begitulah perasaan saya terhadap mereka.  Hanya yang terbaik akan diberikan kepada peminat demi membalas kesetiaan mereka terhadap saya dalam bidang seni.  Setiap kali mengadakan persembahan, memang menjadi kebiasaan saya akan menyanyikan lebih daripada jumlah lagu yang ditetapkan.  Misalnya ketika membuat persembahan di Dewan Perdana Felda, Julai lalu, mereka sanggup menunggu sehingga ke jam 1 pagi untuk mendengar nyanyian saya," katanya dengan nada terharu.

Antara lagu yang bakal diperdengarkan Sabtu ini adalah Seri Dewi Malam, Hapuslah Air Matamu, Kau Tinggi Di Awan Biru, Tiada Maaf Bagimu, Terbang Helang, Kenang Daku Dalam Doamu, Seiring Sejalan dan Bunga Tanjung.  Ini ditambah dengan lapan lagu Inggeris gabungan melodi lama dan baru.  Kata Kak Pah, harga semeja untuk pertunjukan amal itu adalah antara RM3,500 dan RM6,500.  Katanya, ia setimpal dengan caj yang ditetapkan kerana beliau akan memberikan persembahan terbaik dan berbeza dengan sebelumnya.  Ada peminat akan turun dari Terengganu, Sabah, Sarawak dan Brunei Darussalam.

Sebelum ini, Kak Pah pernah menganjurkan majlis di tempat yang sama pada November lalu.  Ia membabitkan rakan artis Adibah Noor dan Anuar Zain.  Ketika itu, Kak Pah berjaya mengumpul dana untuk Sekolah Darul Khufazz, Puchong.  "Apa lagi yang Kak Pah boleh harapkan pada usia begini melainkan keredaan Allah, doa anak yang soleh dan rakan-rakan yang mengasihi kita.  Saya ingin menyanyi dalam persembahan amal sebanyak yang boleh.  Dengan apa yang dilakukan sekarang ia banyak memberi ketenangan dan kebahagiaan kepada diri saya.  Selagi tidak dapat melakukan sesuatu untuk mengurangkan bebanan mereka yang malang, saya tidak lena tidur dibuatnya.  Banyak mana harta yang kita ada pun, hanya amalan yang baik menjadi bekalan apabila menemui Pencipta kita kelak.  Apa yang saya lakukan ini sebagai 'saham' untuk akhirat kelak.  Kediaman saya sekarang pun sudah menjadi tumpuan 150 pelajar tahfiz dari Puchong dan sekitar Subang.  Setiap Khamis malam Jumaat, kami akan berkumpul di rumah saya. Biasanya, tiga kali sebulan kami mengadakan majlis khatam al-Quran yang berlangsung selama tiga malam berturut-turut," katanya.

Artikel lain yang berkaitan:

  Datuk Sharifah Aini Lega (URTV – 1 Jun 2010)

  Kak Pah Beramal (Harian Metro – Sabtu, 8 Mei 2010)

  Resah Yang Terlerai (Berita Minggu – 25 April 2010)

  Lembaran Rahsia Sharifah Aini (Utusan Malaysia – Khamis, 22 April 2010)

  Kekuatan Vokal Tiada Tandingan (Harian Metro – Rabu, 21 April 2010)

  With Love From Sharifah Aini (New Straits Times – Monday, 8 February 2010)

  Konsert Amal Kak Pah (Utusan Malaysia – Selasa, 2 Februari 2010)

  Serlah Sisi Romantis (Berita Harian – Jumaat, 29 Januari 2010)

  Kak Pah Terus Beramal (Harian Metro – Rabu, 27 Januari 2010)
  Tidak Betah Duduk Diam (Berita Harian – Jumaat, 15 Januari 2010)