KAK PAH BERAMAL

oleh Nor Akmar Samudin  (Harian Metro: Sabtu, 8 Mei 2010)

PENYAYANG ... Kak Pah serahkan sumbangan kepada Ustaz MohamadSERAHKAN SUMBANGAN RM25,000 KEPADA YAYASAN AL-IJABAH UNTUK ANAK YATIM DAN PELAJAR TAHFIZ

Rabu lalu, Biduanita Negara, Datuk Sharifah Aini (Kak Pah), 56, mengotakan janjinya apabila menyerahkan sumbangan wang RM25,000 kepada Yayasan Al-Ijabah yang menguruskan Rumah Ijabah Anak Yatim dan Al-Hafiz, Subang Jaya, Selangor.

Wang sumbangan itu hasil daripada jualan mejanya pada persembahan Up, Close & Personal with Sharifah Aini di Hotel Concorde, Kuala Lumpur, April lalu.  Majlis yang ringkas tetapi amat bermakna itu diadakan di Kompleks 3C, Subang Jaya yang menempatkan sekolah yayasan itu, Sekolah Rendah Sri Pintar Al-Amin dan Maahad Sains Al-Quran Al Amin.  Sumbangan itu diserahkan terus kepada pengasas dan pemegang amanah yayasan itu, Ustaz Mohamad Abdullah Al-Amin.

Ketika ditemui, Kak Pah berkata, beliau enggan melengahkan penyerahan itu dan terus mengatur pertemuan dengan pihak berkenaan sebaik saja segala urusan persembahan makan malamnya selesai, baru-baru ini.  "Biarlah penyerahan sumbangan itu diuruskan secepat yang boleh agar tidak timbul sebarang spekulasi.  Saya mesti tunaikan janji saya yang dibuat sebelum mengadakan persembahan dan semuanya demi membantu golongan anak yatim dan pihak yang sangat memerlukan termasuk mereka yang belajar tahfiz secara persendirian di sini.  Dalam senarai saya, ada kira-kira 15 sekolah tahfiz yang mana sumbangan akan diberikan mengikut giliran, insya-Allah.  Kalau tidak mampu memberi bantuan wang ringgit, saya akan berikan dalam bentuk lain seperti makanan, pakaian dan sebagainya.

"Ada pegawai khas membantu saya mencari rumah anak yatim yang terpinggir dan daif.  Sebenarnya sudah 15 tahun saya mendekati pelajar tahfiz kita.  Anak-anak ini bukan setakat memerlukan belanja sekolah tetapi perbelanjaan untuk sakit demam dan kos menghantar mereka belajar di luar negara.  Penghuni yayasan ini semuanya orang yang terpelajar dan ramai sudah berjaya melanjutkan pelajaran di luar negara termasuk Jordan dan Mesir," katanya.

Sementara itu pada 28 Mei ini, jam 8 malam, Kak Pah akan menjayakan persembahan Hari Ibu bersama Mawi pula di Palace of the Golden Horses, Seri Kembangan.  "Persembahan Hari Ibu ini juga untuk bertujuan kebajikan seperti ini.  Saya sudah mula berlatih dan akan menyanyikan 20 hingga 25 lagu yang kebanyakannya lagu khusus untuk mereka yang bergelar ibu.  Saya juga akan berduet dengan Mawi," katanya dengan gembira.  Menariknya pada hari persembahan itu nanti, setiap ibu yang membeli meja pada hari itu akan dapat baucer pemeriksaan mamogram bernilai RM150.

Harga seorang untuk menyaksikan persembahan hebat itu adalah RM250, RM450 dan RM550.  Mereka yang ingin membuat tempahan sila hubungi 03-89443794 atau 03-89464888 sambungan 4924 dengan segera.  Inilah kali pertama Kak Pah beraksi dengan Mawi untuk Sambutan Hari Ibu dan ia dijangka satu malam yang penuh dengan kecerian dan menggamit emosi tetamu.

Artikel lain yang berkaitan:

  Datuk Sharifah Aini Lega (URTV – 1 Jun 2010)

  Resah Yang Terlerai (Berita Minggu – 25 April 2010)

  Lembaran Rahsia Sharifah Aini (Utusan Malaysia – Khamis, 22 April 2010)

  Kekuatan Vokal Tiada Tandingan (Harian Metro – Rabu, 21 April 2010)

  Kak Pah Cari Bekal Akhirat (Harian Metro – Rabu, 14 April 2010)

  With Love From Sharifah Aini (New Straits Times – Monday, 8 February 2010)

  Konsert Amal Kak Pah (Utusan Malaysia – Selasa, 2 Februari 2010)

  Serlah Sisi Romantis (Berita Harian – Jumaat, 29 Januari 2010)

  Kak Pah Terus Beramal (Harian Metro – Rabu, 27 Januari 2010)
  Tidak Betah Duduk Diam (Berita Harian – Jumaat, 15 Januari 2010)