KAK PAH TERUS BERAMAL

oleh Wan Asrudi Wan Hasan  (Harian Metro: Rabu, 27 Januari 2010)

Lebih 40 tahun berkecimpung dalam dunia seni pelbagai dugaan dan cabaran dilalui Biduanita Negara, Datuk Sharifah Aini.  Begitupun, Sharifah Aini atau lebih mesra disapa kak Pah gigih mengukir nama dalam dunia hiburan sehingga mempunyai ramai peminat tidak kira dikalangan pelbagai lapisan masyarakat sama ada tempatan mahupun antarabangsa.

Tidak hanya menghiburkan peminat menerusi konsert-konsert hebat, kak Pah turut berkongsi kelunakan suara menghiburkan peminat dengan mengadakan pelbagai aktiviti hiburan bercorak amal.  Di samping beberapa siri persembahan termasuk konsert dalam skala besar di Singapura.  Menutup tirai Disember lalu siri persembahan amal Datuk Sharifah Aini and Friends membabitkan Anuar Zain dan Adibah Noor.  Bagi meneruskan kesinambungan konsert itu, Persembahan Makan Malam Amal Up Close and Personal With Datuk Sharifah Aini berlangsung di Grand Ballroom, Hotel Concorde Kuala Lumpur pada 17 April ini jam 8 malam.  Persembahan berkonsep Inggeris anjuran Seri Dewi Production Sdn Bhd, Lime Events Management dengan kerjasama Hotel Concorde.

Semua wang kutipan yang dikumpul menerusi persembahan itu akan disalurkan kepada Rumah Ijabah Anak Yatim dan Al Hafiz di Subang Jaya Selangor.  Rumah anak yatim itu antara dua daripada 15 sekolah tahfiz yang berada dalam senarai menerima bantuan daripada program amal yang dianjurkan kak Pah.  Menurut kak Pah, dia sanggup mengeluarkan wang simpanan sendiri demi memastikan konsert ini berjalan lancar.  Malah sebagai penyanyi ini adalah satu cara iaitu menjual suara untuk membantu golongan yang kurang bernasib baik.

"Saya sentiasa berminat untuk membantu mereka yang kurang bernasib baik dan golongan yang memerlukan.  Ini saja cara yang saya mampu lakukan untuk membantu golongan ini.  Biarpun kos untuk mengadakan setiap konsert mencecah ratusan ribu ringgit namun saya tidak pernah serik.  Malah saya menyerahkan hasil kutipan amal berkenaan kepada beberapa sekolah tahfiz yang sudah dikenal pasti menerusi perbincangan dengan beberapa kenalan dan ustaz.  Saya berasa terpanggil untuk membantu golongan kurang bernasib baik ini.  Saya gembira dengan cara ini.  Persembahan ini adalah kali kedua membabitkan persembahan amal yang berlangsung di Hotel Concorde.  Berbeza persembahan kali ini dengan konsep makan malam Inggeris.  Setiap peminat yang hadir berpeluang menyanyi bersama, berinteraksi dan mereka juga boleh membuat permintaan lagu dengan menghantar menerusi e-mail atau menghubungi penganjur dua minggu sebelum persembahan bermula.  Konsert itu akan diperkuatkan dengan enam pemuzik dan dibantu oleh tiga penyanyi latar.  Kemungkinan besar persembahan kali ini turut diiringi piano dan petikan gitar," katanya pada majlis sidang akhbar yang diadakan di ibu negara baru-baru ini.

Tambah kak Pah, dia berharap dapat menerima maklum balas yang positif daripada peminat terutama yang mahu membuat permintaan lagu supaya menempah meja dengan lebih awal.  "Dari segi persediaan menjelang konsert itu, saya masih membuat latihan suara dan kecergasan seperti biasa.  Tinggal lagi pemilihan lagu mungkin sekitar Mac nanti untuk konsert yang berlangsung selama tiga jam itu.  Kemungkinan saya akan bersedia dengan 25 hingga 30 himpunan lagu terbaik.  Jika masa tidak mencukupi mungkin saya akan sampaikan lagu dalam bentuk medley.  Persembahan dengan 30 lagu dengan hidangan makanan tidak terlalu mahal.  Pada saya ia cukup berbaloi.  Kos menjayakan konsert ini juga membabitkan sekitar RM60,000 kerana persembahan berkonsepkan makan malam Inggeris.  Setakat ini sudah beberapa meja berjaya dijual dengan sokongan yang diberikan daripada rakan-rakan media," kata kak Pah yang hanya mahu tampil dengan pakaian ringkas miliknya sendiri pada persembahan itu.  Pada majlis makan malam itu, pihaknya mensasarkan dapat menarik 350 orang untuk 35 meja yang dijual pada harga RM6,500 dan RM3,500.  Peminat yang hadir bakal dihiburkan dengan lagu-lagu nostalgia 60-an.  Sebarang pertanyaan dan maklumat lanjut sila hubungi 019-3488054 / 012-9332373 atau email ke limeevent@gmail.com

Artikel lain yang berkaitan:

  Datuk Sharifah Aini Lega (URTV – 1 Jun 2010)

  Kak Pah Beramal (Harian Metro – Sabtu, 8 Mei 2010)

  Resah Yang Terlerai (Berita Minggu – 25 April 2010)

  Lembaran Rahsia Sharifah Aini (Utusan Malaysia – Khamis, 22 April 2010)

  Kekuatan Vokal Tiada Tandingan (Harian Metro – Rabu, 21 April 2010)

  Kak Pah Cari Bekal Akhirat (Harian Metro – Rabu, 14 April 2010)

  With Love From Sharifah Aini (New Straits Times – Monday, 8 February 2010)

  Konsert Amal Kak Pah (Utusan Malaysia – Selasa, 2 Februari 2010)

  Serlah Sisi Romantis (Berita Harian – Jumaat, 29 Januari 2010)
  Tidak Betah Duduk Diam (Berita Harian – Jumaat, 15 Januari 2010)