KONSERT LUAR JANGKAAN KAK PAH oleh Khairul Amri Hassan (Kosmo: Jumaat, 23 Disember 2011) |
Atmosfera lebih formal tetapi santai apatah majlis diserikan dengan kehadiran Menteri Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat, Datuk Seri Shahrizat Abdul Jalil. Kak Pah membuka tirai persembahan dengan lagu yang suatu masa dulu melonjakkan namanya; Seri Dewi Malam. Katanya, pengorbanan untuk menjayakan konsert amal kali ini berbaloi apabila ruang dewan Taming Sari terisi sepenuhnya dengan audiens, malah ada penambahan meja pada saat-saat akhir. Menjangkakan cuma 350 audiens saja pada awalnya, maklum Kak Pah sebanyak 400 keping tiket tambahan dicetak atas permintaan saat akhir. "Empat bulan saya membuat persediaan untuk konsert amal ini, Alhamdulillah segalanya berjalan lancar dan usaha ini akan diteruskan selepas ini mungkin ke Johor pula," ujarnya yang berjaya mengutip lebih RM80,000 untuk disalurkan ke rumah-rumah anak yatim dan tahfiz al-Quran. Lagu nostalgia Konsert amal kali ini yang menelan kos lebih RM100,000 turut dimeriahkan dengan penampilan khas penyanyi legenda Indonesia, Dewi Yull dan Grace Simon. Masing-masing mendendangkan empat buah lagu pada awal konsert. Bing, Begawan Solo, Kapan Lagi memang tidak dinafikan sudah serasi dengan imej Grace Simon. Pelengkap persembahan pembukaan, lagu yang dipopularkan kembali oleh Michael Buble Sway turut dinyanyikan Grace.
Terus larut dibuai alunan lagu-lagu biduanita negara itu, acara yang berlangsung selama hampir empat jam itu tidak lengkap tanpa nyanyian solo Kak Pah. Kembali mengembara menerusi lagu-lagu yang penuh bermakna dalam hidup Kak Pah, tanpa kering celoteh dan jenaka dibikinnya sepanjang majlis. Selain lagu-lagu popular Kak Pah seperti Sayangku, Putus Kasih, Terbang Helang, Kau Pergi Tanpa Pesan, Malam Persandingan dan Halimun Malam, Kak Pah turut mengalunkan empat buah lagu yang masing-masing pernah dipopularkan kumpulan Flybaits, Charlie Chaplin, Broery Marantika dan Diana Ross iaitu Kenangan Lalu, Smile, Biarlah Bulan Bicara dan When You Tell Me That You Love Me. Kata Kak Pah mengenai lagu Putus Kasih: "Lagu ini banyak kenangan, ketika itu saya sedang mengandung sembilan bulan pada tahun 1982 dan ini merupakan lagu kegemaran saya ketika itu berbadan paling besar berada dalam sebuah studio rakaman." Pertengahan konsert, lagu-lagu seperti Ingatan Manis Bulan September, Oh Di Mana, Surat Dari Seberang dan Jangan Tinggalkan Daku dijadikan medley selama lebih 15 minit. Bunga Tanjung Menutup tirai persembahan malam penuh nostalgia itu, Zapin Budi dan Joget Bunga Melati. Bagaikan tidak lengkap tanpa lagu Bunga Tanjung, Kak Pah menurut permintaan peminat untuk menambah sebuah lagu penghujung acara. Konsert amal yang dijadual sepatutnya memuatkan satu slot tribute untuk Datuk Ahmad Jais bagaimanapun gagal direalisasikan berikutan kesempitan masa. "Susunan lagu sudah ada dan sedap-sedap semuanya, tapi pada malam ini kita mengejar masa dan slot tribute itu akan mengambil masa selama 15 minit," ujar Kak Pah yang mungkin mengadakan konsert seterusnya pada bulan April atau Mei tahun depan. Artikel lain yang berkaitan:
|