JANJI PERSEMBAHAN MENARIK

oleh Muhamad Fairoz Azizan  (Berita Harian: Khamis, 24 November 2011)

Kah Pah simpan hasrat bina sekolah agama

Sikap pemurah penyanyi ini sudah lama diketahui, namun apa pun yang ditonjolkannya itu tidak sesekali berniat untuk meraih publisiti sebaliknya menganggap ia sebagai tanggungjawab.  Meskipun tidak memiliki kemewahan yang melimpah ruah seperti diakuinya, tetapi Datuk Sharifah Aini atau lebih mesra disapa Kak Pah kaya dengan budi dan amal.  Baginya, kurniaan rezeki yang diberikan Ilahi perlu dikongsi dengan insan yang memerlukan.  Berhasrat terus membantu dengan cara beramal, Kak Pah menganjurkan Makan Malam Amal Tiga Sahabat pada 17 Disember di Hotel Royale Chulan, Kuala Lumpur.  Kalau sebelum ini Kak Pah pernah tampil dengan penyanyi tempatan seperti Anuar Zain dan Datuk Ahmad Jais, kali ini beliau mahu mahu membuat penampilan yang bersifat menggamit kenangan silamnya.

Bergandingan dengan tiga sahabatnya dari Indonesia, Grace Simon dan Dewi Yull, Kak Pah yakin persembahan amalnya itu nanti akan memberi impak tersendiri kerana kedua-duanya adalah penyanyi hebat yang turut mempunyai peminat mereka tersendiri di negara ini.  "Sebenarnya susah nak cari artis tempatan yang dapat datang untuk buat kerja amal macam ini, lagi pun, Kak Pah sudah lama mengenali Grace dan Dewi, malah mereka tidak menolak bila diundang untuk buat persembahan amal ini.  Persembahan pada malam itu nanti, kami bertiga akan berpadu suara menyanyikan lagu Sepanjang Jalan Kenangan dan Kak Pah jangkakan akan menarik perhatian 800 tetamu," katanya.

Persembahan selama dua jam 45 minit itu bakal menampilkan persembahan bertenaga daripada tiga artis hebat itu yang mana Dewi Yull dan Grace Simon dijangka mempersembahankan tujuh lagu setiap seorang.  Walaupun sudah berusia, Kak Pah tetap bertenaga untuk membuat persembahan hebatnya itu.  Selama dua jam Kak Pah bakal menyanyikan 28 lagu baru dan lama daripada albumnya sebelum ini.  "Sebenarnya Kak Pah lebih suka buat persembahan dengan satu baju saja, tetapi kali ini Kak Pah akan cuba tampil dengan dua baju hasil rekaan Ezuwan Ismail.

"Tiket sudah mula dijual sejak empat minggu lalu dan Alhamdulillah sambutan mengalakkan sehingga 50 peratus sudah terjual," jelasnya.  Gandingannya bersama dua penyanyi Indonesia itu akan menggamit kenangan mereka ketika pada era 70-an semasa berganding hebat bersama mendiang Broery Marantika.

Majlis amal di Hotel Royale Chulan pada 17 Disember itu adalah yang keenam dan bertujuan membantu dua sekolah agama, Madrasah Tahfiz Tahsin Al-Quran, Puchong dan Baitul Ehsan, Taman Maluri.  "Selain Royale Chulan, majlis amal ini turut ditaja oleh Omar Air dan Jamu Mak Dara dari segi cabutan bertuah dan cenderamata.  Alhamdulillah sejak Kak Pah anjurkan majlis amal sebegini tidak putus-putus mendapat sokongan daripada syarikat korporat, malah meja yang terjual adalah sokongan daripada mereka juga," terangnya.

Dalam pada itu, naluri keibuan terserlah pada wajah wanita berusia 58 tahun ini.  Malah keinginannya untuk terus beramal kian terserlah tatkala berhasrat membuka sekolah agamanya sendiri.  Hasrat itu disuarakan Kak Pah selepas melihat kesempitan yang dihadapi sekolah agama persendirian kini yang hanya bergantung kepada sumbangan orang ramai.  "Itu hasrat Kak Pah sebelum menutup mata sekurang-kurangnya dapat buka sekolah agama yang kecil sudah memadai kerana ingin melahirkan ramai ilmuwan agama daripada golongan muda.

"Kak Pah mempunyai 2,500 anak angkat di seluruh negara yang terdiri daripada tahfiz, malah ada di antara mereka yang kini sedang menuntut di Afrika Selatan, Yaman dan Jordan," katanya.  Dek kerana hatinya dekat dengan anak-anak ini, Kak Pah merasakan hatinya tenang dan damai, bahkan sering mengadakan majlis ilmu di rumahnya.  Meskipun dirinya lahir dari dunia seni, namun kecenderungannya untuk membantu anak-anak tahfiz terserlah di wajahnya dalam usaha mencari keredaan Ilahi.  "Ini tanggungjawab Kak Pah untuk melakukan apa yang terbaik untuk mereka.  Dengan mengadakan majlis amal sebegini dan sumbangan suara, Kak Pah berharap bantuan yang disalurkan akan sampai kepada mereka," katanya yang bakal lahir dengan album baru ini nanti.

Artikel lain yang berkaitan:

  Kak Pah Penat Tapi Puas (Berita Minggu: B*Pop – 25 Disember 2011)

  43 Tahun Dalam Industri (Sinar – Ahad, 25 Disember 2011)

  Konsert Luar Jangkaan Kak Pah (Kosmo! – Jumaat, 23 Disember 2011)

  Sharifah Aini Serik Kena Tipu (Utusan Malaysia – Rabu, 21 Disember 2011)

  Berhibur Sambil Bersembang (Berita Harian – Selasa, 20 Disember 2011)

  Malam Amal Penuh Bermakna (Harian Metro – Isnin, 19 Disember 2011)

  Misi Kerja Amal Kak Pah (Utusan Malaysia – Isnin, 28 November 2011)

  Semangat Kak Pah Membara (Harian Metro – Khamis, 24 November 2011)

  Kak Pah Terus Gigih Anjur Acara Amal (Kosmo! – Rabu, 23 November 2011)

  Teruja Nanti Malam Amal Tiga Sahabat (Berita Minggu: Bi*Pop – 20 November 2011)

  Kak Pah Sudah Bersiap Sedia (Harian Metro – Khamis, 3 November 2011)

  Tiga Sahabat Kongsi Pentas (Harian Metro – Selasa, 11 Oktober 2011)

  Kak Pah Ajak Dewi, Grace Beramal (Berita Minggu: B*Pop – 9 Oktober 2011)

  Susahnya Cari Penghibur Sejati (Berita Harian – Khamis, 6 Oktober 2011)