SEMANGAT KAK PAH MEMBARA

oleh Elrafaei Sapi  (Harian Metro: Khamis, 24 November 2011)

Adakan konsert makan malam amal untuk bantu pusat tahfiz dan rumah anak yatim

Ketika ini Biduanita Negara, Datuk Sharifah Aini atau Kak Pah mempunyai semangat berkobar untuk bertemu peminatnya pada 17 Disember nanti.  Pada hari itu, Kak Pah akan menghiburkan peminat dalam satu persembahan istimewa dikenali Makan Malam Amal Tiga Sahabat.  Menariknya, dia bukan saja beraksi secara solo tetapi tampil bersama dua rakan lamanya, Dewi Yull dan Grace Simon.  Sudah tentu, kemunculan semula Kak Pah di pentas bersama dua penyanyi popular Indonesia suatu yang dinantikan.

Malah, Kak Pah berbesar hati menghiburkan peminatnya menerusi 25 hingga 28 lagu popularnya dalam persembahan selama tiga jam.  Persembahan yang julung kali diadakan menemukan tiga penyanyi hebat ini pasti mengubat kerinduan peminat antara dua negara jiran untuk bersama berhibur.  Kak Pah berkata, persembahan pada malam itu nanti akan dimeriahkan dengan cabutan bertuah untuk peminat.  Antara hadiah menarik dua tiket penerbangan ekonomi tajaan Oman Air ke mana-mana destinasi negara Eropah.  Begitu juga, Kak Pah akan memilih dua peminat bertuah untuk makan malam bersamanya dalam suasana lebih mesra dan eksklusif.

Acara kali ini kali keenam anjuran syarikatnya, Seri Dewi Productions Sdn Bhd yang turut bekerjasama dengan Lime Events Management manakala Hotel Royale Chulan tampil sebagai penaja utama lokasi persembahan.  “Jualan tiket buat masa ini memberangsangkan.  Saya menjangkakan 800 peminat akan hadir menyaksikan persembahan.  Setakat ini 50 peratus tiket sudah terjual.  Berbanding acara lalu, sumbangan hanya dapat diberikan pada satu tempat tetapi kali ini, saya menyumbang kepada dua penerima iaitu Madrasah Tahfiz Tahsin Al-Quran Batu 13, Kampung Sri Langkas, Puchong menempatkan 24 pelajar dan Baitul Ehsan di Taman Maluri, Kuala Lumpur yang mempunyai 45 penghuni terdiri dari anak yatim dan anak miskin terbiar.

“Saya berasakan ini menjadi tanggungjawab saya pada mereka.  Saya bukan orang kaya tetapi saya cuba membantu apa yang terdaya.  Mengikut acara lalu, saya berpeluang membantu lima sekolah tahfiz dan kali ini dua lagi penerima sumbangan dapat saya hulurkan,” katanya pada sidang media acara berkenaan diadakan di kediamannya di Petaling Jaya, Selangor baru-baru ini.  Bercerita lanjut mengenai persembahan, Kak Pah masih dalam proses memilih lagu yang akan disampaikan.  Namun, beliau menyatakan lagu wajib Bunga Tanjung tetap dinyanyikan jika tidak peminat marah.  Jangkaan saya terhadap peminat sama saja apabila mahu peminat menyanyi bersama dan berkongsi perjalanan seni saya selama ini.  Persembahan ini mengingatkan saya bersama Grace ketika pernah menyanyi bersama pada era 70-an di Thailand, Indonesia dan Singapura.  Grace juga seperti saya, walaupun sudah lama menyanyi tetapi kami masih mahu terus menyanyi.  Antara kami bertiga mempunyai persamaan kerana kami pernah bekerja dengan Broery Marantika,” katanya.

Sebagai orang lama yang banyak pengalaman, Kak Pah mengakui kerja amal seperti ini berdepan banyak dugaan antaranya ada artis tempatan enggan turut serta tanpa bayaran.  "Susah sebenarnya nak cari artis kita yang sanggup terbabit dalam acara sebegini.  Bersama Grace dan Dewi, usaha mendapatkan kerjasama mereka menjayakan acara ini tidak sukar hanya mengambil masa seminggu.  Ketika mengajak mereka, kedua-duanya bersemangat untuk bertemu peminat di sini.  Sepanjang menyanyi, saya pernah melalui pengalaman ditipu apabila tidak dibayar.  Saya percaya kes tipu seperti ini masih berlaku di kalangan artis kita.  Dibandingkan persembahan lalu, kali ini ada cabutan bertuah dan saya berharap ia dapat tarik perhatian ramai peminat untuk datang,” katanya yang masih mengharapkan sokongan peminat.

Dalam pada itu, Kak Pah menyatakan dia akan tampil dengan album baru tidak lama lagi.  Berpengalaman selama 38 tahun bernaung di bawah syarikat rakaman EMI Music, beliau berhasrat merakam mini album.  “Saya bersyukur kerana masih berada di sini menghiburkan peminat.  Saya gembira apabila ramai peminat termasuk golongan korporat yang menjadi peminat setia saya.  Menerusi sokongan peminat berikan, saya harus membalasnya dengan mengadakan acara amal seperti ini.  Malah, menyanyi untuk menghiburkan peminat memang memenatkan tetapi saya tetap gembira apabila balik ke rumah,” katanya yang turut mendapat tajaan produk kesihatan, Jamu Mak Dara.  Pada acara ini, Kak Pah menyatakan mereka akan berduet menyampaikan lagu Sepanjang Jalan Kenangan

Bagi yang ingin menyaksikan persembahan ini, tiket dijual menerusi jualan meja untuk 10 tetamu pada harga, RM10,000, RM7,500, RM5,500 dan RM3,500. Maklumat lanjut boleh menghubungi Shameem di talian, 019-2495277 atau faks, 03-7956 8557 atau emel, limeevent@gmail.com.

Artikel lain yang berkaitan:

  Kak Pah Penat Tapi Puas (Berita Minggu: B*Pop – 25 Disember 2011)

  43 Tahun Dalam Industri (Sinar – Ahad, 25 Disember 2011)

  Konsert Luar Jangkaan Kak Pah (Kosmo! – Jumaat, 23 Disember 2011)

  Sharifah Aini Serik Kena Tipu (Utusan Malaysia – Rabu, 21 Disember 2011)

  Berhibur Sambil Bersembang (Berita Harian – Selasa, 20 Disember 2011)

  Malam Amal Penuh Bermakna (Harian Metro – Isnin, 19 Disember 2011)

  Misi Kerja Amal Kak Pah (Utusan Malaysia – Isnin, 28 November 2011)

  Janji Persembahan Menarik (Berita Harian – Khamis, 24 November 2011)

  Kak Pah Terus Gigih Anjur Acara Amal (Kosmo! – Rabu, 23 November 2011)

  Teruja Nanti Malam Amal Tiga Sahabat (Berita Minggu: Bi*Pop – 20 November 2011)

  Kak Pah Sudah Bersiap Sedia (Harian Metro – Khamis, 3 November 2011)

  Tiga Sahabat Kongsi Pentas (Harian Metro – Selasa, 11 Oktober 2011)

  Kak Pah Ajak Dewi, Grace Beramal (Berita Minggu: B*Pop – 9 Oktober 2011)

  Susahnya Cari Penghibur Sejati (Berita Harian – Khamis, 6 Oktober 2011)