SHARIFAH AINI SERIK KENA TIPU

oleh Khadijah Ibrahim  (Utusan Malaysia: Rabu, 21 Disember 2011)

Pengalaman sering ditipu penganjur membuatkan Biduanita Datuk Sharifah Aini serik untuk menerima tawaran mengadakan persembahan pentas anjuran pihak lain.  Namun sebagai anak seni, alasan itu tidak boleh dijadikan kekangan kerana di luar sana ramai peminat yang tidak jemu untuk menonton persembahan pentasnya.

Lantaran itu tanpa pengalaman asas sebagai penganjur, Sharifah Aini atau mesra dengan panggilan Kak Pah menubuhkan syarikat Seri Dewi Production Sdn. Bhd sebagai medium meneruskan kerjaya seninya.  Menerusi syarikat tersebut, sehingga kini, Kak Pah berjaya menganjurkan enam persembahan makan malam amal termasuklah Majlis Makan Malam Tiga Sahabat yang diadakan di Hotel Royale Chulan, Sabtu lalu.

Menurut Kak Pah, untuk menjayakan persembahan amal yang turut menampilkan Grace Simon dan Dewi Yull dari Indonesia, dia dan rakan kongsinya mengambil masa selama empat bulan untuk mengendalikan segala urusan, termasuk penjualan meja kepada penaja.   "Alhamdulillah, kerja empat bulan Kak Pah berbaloi malam ini.  Memang penat tapi majlis ini sukses.  Sebelum ini Kak Pah cuma bersedia untuk menyanyi sahaja, tapi kali ini kena ambil tahu daripada A sampai Z.

"Bayangkan pukul 3 pagi, Kak Pah masih mengadap komputer untuk e-mel surat pada klien.  Malah tadi sebelum menyanyi, Kak Pah sempat menyusun kerusi meja sebab nak pastikan semua orang berpuas hati," katanya yang turut mendapat kerjasama Lime Event Management dan Islamic Aid Malaysia.  Malah untuk majlis yang bertujuan mengumpul serta memberi dana kepada Madrasah Tahfiz Tahsin Al-Quran, Kampung Sri Langkas, Puchong dan Baitul Ehsan, Taman Maluri, penyanyi tersohor itu hanya mencetak 350 keping tiket sahaja pada awalnya.

Bagaimanapun, pada saat akhir, ramai yang ingin turut serta dalam projek amal itu dan akhirnya kira-kira 760 orang hadir memeriahkan majlis Malam Tiga Sahabat.  "Awalnya Kak Pah takut nak cetak tiket banyak, maklumlah kita tidak boleh paksa orang untuk membeli.  Alhamdulillah semakin hampir dengan hari persembahan, permintaan bertambah.  Memanglah ini majlis amal dan kutipannya untuk diberikan kepada pihak yang telah terpilih.  Bagaimanapun, bukan 100 peratus diserahkan, kerana Kak Pah juga perlu modal untuk membayar artis dan pemuzik kerana kos persembahan ini menelan belanja sekitar RM190,000," jelasnya secara terperinci.

Apa pun kata Kak Pah, setakat ini dia sudah berjaya menyalurkan sumbangan sebanyak RM82,000 kepada beberapa sekolah tahfiz hasil daripada lima persembahan amalnya yang dibuat di sekitar Lembah Kelang.  Menyedari di negeri lain juga ada sekolah tahfiz yang memerlukan bantuan, maka penyanyi itu bercadang untuk menjayakan persembahan di luar Kuala Lumpur seperti di Johor Bahru.  "Tahun depan Kak Pah bercadang buat di negeri lain pula.  Mungkin pada persembahan akan datang, Kak Pah hanya undang seorang sahaja rakan artis dari Indonesia untuk satu lokasi.  Kak Pah amat terharu kerana Grace dan Dewi Yull sudi menerima undangan biarpun bayaran tidak seberapa.  Bukan tidak mahu jemput artis tempatan, tapi ada yang minta bayaran mahal.  Tapi kalau ada yang ingin bersama-sama Kak Pah menjayakan projek amal, dialu-alukan," katanya.

MASIH TEGUH DI PENTAS

Sudah menjadi kebiasaan Sharifah Aini, ketika beraksi di pentas dia suka berinteraksi dengan penonton dan sebab itulah penyanyi tersebut hanya akan muncul mengadakan persembahan selepas selesai acara makan malam.  Meskipun Sharifah Aini muncul pada pukul 10.40 malam, selepas Grace dan Dewi Yull tampil mendendangkan beberapa buah lagu popular mereka, penyanyi itu tetap mendapat tepukan gemuruh.

Dia yang mengena pakaian berwarna biru firus rekaan Ezuwan Ismail memberitahu, biarpun sudah 42 tahun bergelumang dalam seni, namun perasaan gemuruh tetap ada untuk memulakan persembahan.  "Percayalah, perasaan gemuruh itu sentiasa ada walaupun saya sudah lama dalam bidang ini.  Apa pun saya tetap akan menghibur anda semua yang sentiasa menyokong saya," katanya yang memulakan persembahan dengan lagu Seri Dewi Malam yang dirakam tahun 1968.

Dengan iringan muzik pimpinan Belle, Sharifah Aini meneruskan persembahan dengan lagu Sayangku (I Do), Putus Kasih yang dirakam pada 1982.  Pada persembahan yang berakhir pukul 12.40 tengah malam, Sharifah Aini berkata yang dia tidak puas hati kerana tidak mampu mendendangkan 30 buah lagu seperti yang dirancang.  Sebaliknya, penyanyi itu hanya mampu mendendangkan 19 buah lagu termasuk lagu dua lagu duet dan lima lagu medley.

"Kak Pah boleh menyanyi sampai lewat pagi, tapi kasihanlah pada Menteri Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat, Datuk Seri Sharizat Abdul Jalil dan penonton lain.  Rupa-rupanya segmen cabutan bertuah itu banyak mencuri waktu persembahan Kak Pah. Lain kali segmen itu akan dibuat ketika tetamu sedang makan supaya Kak Pah boleh menyanyi banyak lagu," katanya.  Meskipun Sharifah Aini merasa sedikit kecewa kerana tidak mampu mendendangkan banyak lagu kerana kekangan waktu, namun peminat sebaliknya.

Sewaktu dia mendendangkan medley lagu popular era 70-an seperti Ingatan Manis Di Bulan September, Oh Di Mana, Surat Dari Seberang dan Jangan Tinggalkan Daku, ramai peminat yang bangun menari.  Apa yang pasti, setiap kali dia mengadakan persembahan pentas skala besar atau kecil, jumlah penonton tidak pernah mengecewakan.  Justeru itulah, Sharifah Aini ingin terus menggunakan suaranya untuk menghibur orang ramai sambil mengumpul dana untuk disalurkan kepada pihak yang memerlukan.

Artikel lain yang berkaitan:

  Kak Pah Penat Tapi Puas (Berita Minggu: B*Pop – 25 Disember 2011)

  43 Tahun Dalam Industri (Sinar – Ahad, 25 Disember 2011)

  Konsert Luar Jangkaan Kak Pah (Kosmo! – Jumaat, 23 Disember 2011)

  Berhibur Sambil Bersembang (Berita Harian – Selasa, 20 Disember 2011)

  Malam Amal Penuh Bermakna (Harian Metro – Isnin, 19 Disember 2011)

  Misi Kerja Amal Kak Pah (Utusan Malaysia – Isnin, 28 November 2011)

  Janji Persembahan Menarik (Berita Harian – Khamis, 24 November 2011)

  Semangat Kak Pah Membara (Harian Metro – Khamis, 24 November 2011)

  Kak Pah Terus Gigih Anjur Acara Amal (Kosmo! – Rabu, 23 November 2011)

  Teruja Nanti Malam Amal Tiga Sahabat (Berita Minggu: Bi*Pop – 20 November 2011)

  Kak Pah Sudah Bersiap Sedia (Harian Metro – Khamis, 3 November 2011)

  Tiga Sahabat Kongsi Pentas (Harian Metro – Selasa, 11 Oktober 2011)

  Kak Pah Ajak Dewi, Grace Beramal (Berita Minggu: B*Pop – 9 Oktober 2011)

  Susahnya Cari Penghibur Sejati (Berita Harian – Khamis, 6 Oktober 2011)