TIGA SAHABAT KONGSI PENTAS

oleh Ridzuan Abdul Rahman  (Harian Metro: Selasa, 11 Oktober 2011)

Kah Pah buat persembahan AMAL UNTUK RUMAH KEBAJIKAN BERSAMA DEWI YULL DAN GRACE SIMON

Dalam mencari kelainan dari sudut persembahan, kualiti tetap menjadi keutamaan Datuk Sharifah Aini.  Sebelum ini, Biduanita Negara itu pernah mengundang dua penyanyi antara yang terbaik di Malaysia, Anuar Zain dan Adibah Noor untuk berkongsi pentas dengannya.  Buat kali ini, Datuk Sharifah atau Kak Pah, akan beraksi lagi, tetapi kali ini mengalih kompas pula dengan mengundang dua rakan seperjuangannya dari Indonesia untuk beraksi dalam satu persembahan paling istimewa.

Masih lagi dengan misi membantu rumah kebajikan di Malaysia, konsert amal terbaru Kak Pah itu akan menonjolkan dua penyanyi terkenal era 1970-an dan 1980-an, Dewi Yull dan Grace Simon.  Kali ini skala persembahannya lebih besar apabila Kak Pah menerusi syarikatnya, Seri Dewi Productions Sdn Bhd dan Lime Events Management menganjurkan persembahan yang bertemakan Makan Malam Amal Tiga Sahabat itu.  Tanggal yang dipilih adalah 17 Disember ini bertempat di Hotel Royale Chulan Kuala Lumpur yang juga salah satu rakan penaja utama.

"Memang saya cuba mencari kelainan dalam setiap persembahan saya agar peminat akan rasa terhibur.  Sudah lama saya impikan sebuah persembahan yang turut menonjolkan rakan-rakan artis yang ada nama besar di Indonesia.  Jadi persetujuan Dewi dan Grace sangat-sangat menggembirakan saya apatah lagi mereka juga berbesar hati untuk membantu rumah kebajikan kita.  Pertemuan kami nanti amat istimewa kerana kami sendiri sudah lama tidak berjumpa.  Kali ini saya cuba panjangkan pula rezeki buat Madrasah Tahfiz Tahsin Al-Quran Batu 13, Kampung Sri Langkas, Puchong yang menempatkan 24 pelajar dari seluruh Malaysia.  Ia baru beroperasi sejak sembilan bulan lalu.  Mereka sangat perlukan bantuan kewangan termasuk untuk mendirikan surau dan tempat belajar yang selesa.  Sumbangan kedua pula akan dibuat bagi Baitul Ehsan, Jalan Wirawati 6, Taman Maluri, Kuala Lumpur yang menempatkan 45 penghuni yang terdiri daripada anak yatim dan anak miskin terbiar.  Alhamdulillah ini kali ketujuh saya anjurkan konsert sebegini.  Sebagaimana yang anda tahu, saya buat bukan untuk mencari duit tetapi setiap persembahan tetap memerlukan kos dan penajaan," kata Kak Pah pada sidang media di Hotel Royale Chulan, baru-baru ini.

Mengenai konsep persembahan nanti, Mentor kepada Shina itu berkata, Grace dan Dewi akan menyanyikan tujuh hingga lapan lagu.  Selepas itu dia pula akan berduet dengan mereka dalam lagu-lagu yang lama yang merdu.  "Saya sendiri akan beraksi selama satu jam setengah.  Sebagaimana peminat tahu, saya akan beraksi dengan cara tersendiri untuk mendekati penonton.  Saya juga akan berduet dengan Grace menerusi lagu Jatuh Cinta dan Biarkan Bulan Bicara serta lagu popular Dewi, Kini Baru Kau Rasa.

"Grace dan Dewi dipilih kerana senang bekerja dengan mereka.  Saya juga tak ada masalah berkomunikasi dengan mereka.  Saya mahu kerja dengan artis semacam ini kerana biarpun perbincangan hanya berjalan dalam tiga minggu saja, mereka sangat profesional.  Persembahan kami akan diiringi lima pemuzik yang diketuai Lok U dan tiga penyanyi latar," katanya yang bakal mengenakan dua pasang busana rekaan Ezuwan Ismail pada malam itu.  Mengenai pembabitan Hotel Royale Chulan sebagai lokasi konsert amalnya, Kak Pah akui dia sudah lama berhasrat beraksi di situ dan tempahan sudah dibuat sebelum beliau mengerjakan ibadah haji, tahun lalu.

Mengulas lebih lanjut pembabitan Grace dan Dewi kelak, Kak Pah menjelaskan kedua-duanya sudah diberitahu matlamat utama konsert itu.  "Saya beritahu mereka semua ini demi anak-anak yatim di panti asuhan.  Ternyata Grace mahupun Dewi tiada masalah untuk berbincang.  Walaupun saya tak pernah berurusan dengan mereka, kedua-duanya tidak banyak kerenah.  Dulu saya pernah menyanyi dengan Grace menerusi persembahan di negara-negara Asean seperti Filipina dan Thailand manakala Dewi pula pernah menyanyi dengan saya dalam satu persembahan di Malaysia," katanya.

Kak Pah terharu kerana ramai pihak tidak sabar-sabar menyaksikan persembahan itu.  Peminatnya berkata, gandingan itu tidak pernah dilakukan sebelum ini dan pastinya menggamit banyak nostalgia.  "Syukurlah, setakat ini ramai yang menyokong usaha saya.  Dari pengalaman yang lepas-lepas, pelik kerana biasanya meja yang mahal atau yang depan-depan dulu selalu habis ditempah dulu.  Selebihnya orang kita memang suka beli pada saat-saat akhir.  Saya juga sedari persembahan saya turut menarik golongan muda," ujarnya.

Sementara itu, Kak Pah turut melahirkan impiannya untuk bergandingan dengan Datuk Siti Nurhaliza dalam sebuah persembahan pada tahun depan.  Katanya, perkara ini masih dalam perbincangan dan dia tidak ada masalah untuk berbincang dengan Siti mahupun suami Siti, Datuk Khalid Muhd Jiwa.  "Mungkin kita boleh bahagikan konsert itu dalam segmen moden dan tradisional.  Malah, saya juga sedang rancang hendak buat persembahan duet dengan Ning Baizura kerana dia juga artis yang saya kagumi.  Saya suka beraksi dengan artis yang pandai berkomunikasi, bukan sekadar naik ke pentas untuk menyanyi semata-mata," ujar Kak Pah.

Bagi mereka yang mahu menyaksikan persembahan Makan Malam Amal Tiga Sahabat Bersama Datuk Sharifah Aini, Grace Simon & Dewi Yull, tiket bersama hidangan makan malam dijual pada harga RM10,000 semeja (10 orang), RM7,500, RM5,500 dan RM3,500.

Artikel lain yang berkaitan:

  Kak Pah Penat Tapi Puas (Berita Minggu: B*Pop – 25 Disember 2011)

  43 Tahun Dalam Industri (Sinar – Ahad, 25 Disember 2011)

  Konsert Luar Jangkaan Kak Pah (Kosmo! – Jumaat, 23 Disember 2011)

  Sharifah Aini Serik Kena Tipu (Utusan Malaysia – Rabu, 21 Disember 2011)

  Berhibur Sambil Bersembang (Berita Harian – Selasa, 20 Disember 2011)

  Malam Amal Penuh Bermakna (Harian Metro – Isnin, 19 Disember 2011)

  Misi Kerja Amal Kak Pah (Utusan Malaysia – Isnin, 28 November 2011)

  Janji Persembahan Menarik (Berita Harian – Khamis, 24 November 2011)

  Semangat Kak Pah Membara (Harian Metro – Khamis, 24 November 2011)

  Kak Pah Terus Gigih Anjur Acara Amal (Kosmo! – Rabu, 23 November 2011)

  Teruja Nanti Malam Amal Tiga Sahabat (Berita Minggu: Bi*Pop – 20 November 2011)

  Kak Pah Sudah Bersiap Sedia (Harian Metro – Khamis, 3 November 2011)

  Kak Pah Ajak Dewi, Grace Beramal (Berita Minggu: B*Pop – 9 Oktober 2011)

  Susahnya Cari Penghibur Sejati (Berita Harian – Khamis, 6 Oktober 2011)