TERUJA NANTI MALAM AMAL TIGA SAHABAT

oleh Zaidi Mohamad  (Berita Minggu: Bi-Pop, 20 November 2011)

Kah Pah tak gusar hadapi saingan konsert Ruth, Search pada tarikh sama

Tanggal 17 Disember ini bakal melihatkan tiga nama besar yang mempunyai kelompok peminat masing-masing beraksi untuk persembahan.  Bukan hanya kumpulan Search dan artis seberang, Ruth Sahanaya sebaliknya penyanyi malar segar, Datuk Sharifah Aini atau Kak Pah turut berkongsi tarikh yang sama untuk membuat persembahan.  Ruth meraikan konsert bersempena 25 tahun usia pembabitan seninya di Dewan Plenary, Pusat Persidangan Kuala Lumpur (KLCC), manakala Search pula meneruskan lokasi akhir Konsert Fenomena 30 Tahun Search di Padang Asataka, Petaling Jaya selepas Pulau Pinang dan Johor Bahru, Kak Pah pula meneruskan kesinambungan misi amalnya.

Selepas berjaya dengan lima konsert amalnya sebelum ini termasuk dengan beberapa deretan artis seperti allahyarham Datuk Ahmad Jais, Anura Zain dan Adibah Nor, Kak Pah kini sedang rancak dan teruja membuat persiapan untuk Makan Malam Amal Tiga Sahabat membabitkan persembahan Datuk Sharifah Aini, Grace Simon dan Dewi Yull pula.

Kak Pah yang pernah terbabit dalam Mentor 5 dan menjadi protégé Shiha sudah membantu mengurangkan beban lima sekolah tahfiz, selain madrasah, ibu tunggal dan anak yatim di sekitar Lembah Klang seterusnya akan membantu dua lagi pertubuhan berkaitan.  Pertubuhan itu ialah Madrasah Tahfiz Tahsin Al-Quran di Kampung Sri Langkas, Puchong.  Selain itu, Kak Pah akan menyerahkan bantuan kepada Baitul Ehsan di Taman Maluri, Cheras, Kuala Lumpur untuk membantu fakir, anak yatim piatu dan miskin yang terbiar dengan hasil kutipan persembahan amal itu.

"Kak Pah dimaklumkan mengenai Ruth dan Search akan membuat persembahan pada tarikh sama.  Pada Kak Pah ia sangat sihat dan masing-masing mempunyai peminat tersendiri.  Kak Pah sendiri pun tak bersaing dengan seisapa.  Kak Pah doakan kejayaan konsert mereka dan harap mereka juga begitu,” katanya yang ditemui di kediamannya di Petaling Jaya, Selasa lalu sempena sidang media konsert berkenaan.

Bercerita lanjut mengenai Malam Amal Tiga Sahabat anjuran Seri Dewi Production Sdn Bhd dan Lime Events Management yang bakal berlangsung di Hotel Royale Chulan, Kuala Lumpur, sekali gus bertindak menjadi penaja utama persembahan amal berkenaan, Kak Pah memberitahu tiket sudah 50 peratus habis dijual sejak dipromosikan sebulan lalu.  Menariknya persembahan dijangka berdurasi tiga jam itu turut mendapat tajaan Jamu Mak Dara (JMD) dan penerbangan Oman Air.  "Terima kasih kepada Omar Air yang menaja dua tiket penerbangan ke lokasi di Eropah.  Tak lupa juga JMD yang membantu 'anak dara’ macam Kak Pah ini.  JMD bukan saja menaja sebaliknya sudah membeli dua meja menonton konsert ini,” kata Kak Pah yang akan membawa dua penonton bertuah pada malam konsert itu bersama pasangan masing-masing ke restoran kegemarannya.

Untuk persembahan malam konsert nanti, Kak Pah akan mengambil set persembahan sekitar 45 minit ke satu jam mendendangkan sekitar 25 hingga 28 lagu popular termasuk didendangkan secara medley.  Dewi Yull dan Grace Simon masing-masing menyanyikan tujuh lagu.  Kak Pah juga akan berduet dan berpadu suara bersama dua penyanyi itu.  Kak Pah akan mengenakan busana rekaan Ezuwan Ismail.  Selalunya, Kak Pah malas berganti baju atau paling kurang pun beliau hanya akan menggayakan dua rekaan pereka fesyen terbabit saja.

"Macam biasa, Kak Pah akan menyanyikan lagu kegemaran peminat, Kak Pah akan membawa penonton menyelusuri perjalanan dan memori seni.  Kak Pah tak boleh nak cakap lebih-lebih.  Kak Pah tak berani nak cakap apa bentuk persembahan nanti.  Kak Pah hanya menjadi diri sendiri dan semestinya Kak Pah tak akan menari seperti penari ligat lain,” katanya.

'BROERY SATUKAN KAMI BERTIGA'

Disebalik pemilihan Dewi Yull dan Grace Simon, Kak Pah berkata, selain mempunyai persamaan daripada segi pengalaman bergelar anak seni, ketiga-tiganya turut pernah berkerjasama dengan mendiang Broery Marantika.   Malah saat mengajak kedua-duanya untuk turut serta dalam konsert amal ini sejak dua bulan lalu, Kak Pah mengaku tidak mempunyai banyak songeh atau masalah berurusan dengan mereka.

“Pernah ada artis yang Kak Pah hubungi untuk mengusulkan cadangan kerja amal sebegini tetapi dipintas dengan jawapan ‘no money, no talk’.  Tapi tak mengapa.  Ia bukan alasan yang akan melemahkan semangat Kak Pah.  Malah saat ini Kak Pah sudah mula membayangkan artis mana pula yang boleh diajak bersama untuk persembahan mendatang.  Bila Kak Pah ajak Dewi Yull dan Grace Simon, masing-masing pun tak ada cakap 'ek’.   Pendek kata senang ajak mereka bekerjasama.  Mereka akan datang sehari sebelum konsert dan buat sesi latihan dan raptai,” kata Kak Pah yang membuat latihan bermula 14 Disember.

Kak Pah turut berkongsi cerita beliau bakal masuk studio rakaman tak lama lagi bersama syarikat rakaman tempatan yang boleh dianggap sudah terkenal.  Sekalipun industri seni disifatkan Kak Pah ada kalanya membosankan, minat Kak Pah untuk menyanyi tak pernah luntur.

“Ikutkan niat Kak Pah nak bersara seperti dihebahkan sebelum ini tetapi Kak Pah masih di sini.  Tak tahulah bila betul-betul nak bersara.  Sekurang-kurangnya sebelum berundur, Kak Pah mahu berikan sesuatu kepada masyarakat seperti apa yang direncanakan ini.  Alhamdulillah selama 15 tahun buat kerja amal, Kak Pah sudah mempunyai 2,500 anak angkat yang ditaja menerusi sekolah tahfiz.  Ada yang sudah belajar di Yaman, Jordan dan Afrika Selatan.  InsyaAllah, cita-cita Kak Pah dapat tubuhkan sekolah tahfiz kecil pun sudah memadai,” katanya.

Artikel lain yang berkaitan:

  Kak Pah Penat Tapi Puas (Berita Minggu: B*Pop – 25 Disember 2011)

  43 Tahun Dalam Industri (Sinar – Ahad, 25 Disember 2011)

  Konsert Luar Jangkaan Kak Pah (Kosmo! – Jumaat, 23 Disember 2011)

  Sharifah Aini Serik Kena Tipu (Utusan Malaysia – Rabu, 21 Disember 2011)

  Berhibur Sambil Bersembang (Berita Harian – Selasa, 20 Disember 2011)

  Malam Amal Penuh Bermakna (Harian Metro – Isnin, 19 Disember 2011)

  Misi Kerja Amal Kak Pah (Utusan Malaysia – Isnin, 28 November 2011)

  Janji Persembahan Menarik (Berita Harian – Khamis, 24 November 2011)

  Semangat Kak Pah Membara (Harian Metro – Khamis, 24 November 2011)

  Kak Pah Terus Gigih Anjur Acara Amal (Kosmo! – Rabu, 23 November 2011)

  Kak Pah Sudah Bersiap Sedia (Harian Metro – Khamis, 3 November 2011)

  Tiga Sahabat Kongsi Pentas (Harian Metro – Selasa, 11 Oktober 2011)

  Kak Pah Ajak Dewi, Grace Beramal (Berita Minggu: B*Pop – 9 Oktober 2011)

  Susahnya Cari Penghibur Sejati (Berita Harian – Khamis, 6 Oktober 2011)