Bekas peserta Bintang RTM, Noraniza Idris mula diperkenalkan oleh Life Records sebagai penyanyi rakaman melalui album MELAYU DELI pada tahun 1985. Album bergenre tradisional ini telah menggabungkan Noraniza Idris dengan artis-artis veteran seperti L Ramli, S Jibeng & A Dayang dan bintang baru seangkatannya Sham. Di awal pembabitannya sebagai artis rakaman, Noraniza Idris hanya berpeluang merakam lagu-lagu rakaman semula bersama-sama artis-artis lain melalui album projek memartabatkan irama Melayu-Nusantara dalam album KERONCONG AIDILFITRI (1986) dan LAGU LAGU DARI FILEM (1986). Bagaimanapun namanya mula menjadi sebutan apabila menghasilkan dua album rakaman semula (cover version) lagu-lagu hits kontemporari Malayisa dan Indonesia (Malindo) menerusi album PUJAAN MALINDO vol 1 dan 2 (1986 & 1987). Syarikat rakaman Life Records kemudiannya menggandingkan Noraniza Idris bersama bintang veretan Abdullah Chik untuk merakam lagu lagu klasik filem lama menerusi album LAGU LAGU DARI FILEM & KENANGAN LAMA vol 2 (kesinambungan dari album LAGU LAGU DARI FILEM, 1986) yang menerima sambutan baik di kalangan peminat. Natijah kerana sering merakam lagu-lagu penyanyi-penyanyi lain, Noraniza Idris telah digelar Ratu Ciplak. Bagaimanapun gelaran ini juga membantu menaikkan populariti Noraniza Idris sehingga Life Records memberi peluang Noraniza Idris muncul dengan lagu-lagu baru menerusi album solonya yang ketiga MENGEMIS RINDU (1987) dan diikuti INGIN KU SANDARKAN HARAPAN (1988). Walaupun kedua-dua album tersebut melahirkan lagu hit Mengemis Rindu & Ingin Ku Sandarkan Harapan tetapi ianya tidak cukup ampuh untuk melonjakkan nama Noraniza Idris sebaris dengan nama-nama artis popular wanita yang cukup berjaya ketika itu seperti Francissca Peters, Azlina Aziz, Siti Fairuz, Rohana Jalil, Zaiton Sameon & Ramlah Ram. Populariti yang dikecapi turut memberi ruang kepada Noraniza Idris untuk muncul sebagai pelakon utama filem airmata, SAYANG IBU (1988) arahan Omar Rojik. Setakat ini, SAYANG IBU merupakan filem pertama dan terakhir lakonan Noraniza Idris manakala INGIN KU SANDARKAN HARAPAN menjadi album solo terakhir Noraniza Idris bersama Life Records kerana selepas itu Noraniza Idris hanya berpeluang merakam lagu-lagu rakaman semula petikan dari filem bergandingan bersama Abdullah Chik. Mereka menjadi pasangan duet yang serasi dan berjaya menghasilkan 4 album LAGU LAGU FILEM & KENANGAN LAMA vol 2, 3, 4 & 5 sebelum Noraniza Idris berhijrah ke syarikat rakaman yang lain. Pada tahun 1990 Noraniza Idris melahirkan album MASIHKAH DIRIMU MENYAYANGIKU terbitan Omar Nawab, keluaran Artiste Media Audio Vision dan kemudiannya pada tahun 1991 menjadi artis Sony Music dengan melahirkan dua album. Album perdananya duet bersama Ibnor Riza, SEINDAH BUDIMU vol 2 dan kemudiannya Ahmad Ali (dikenali Jimmy Ali) menjadi penerbit album solonya, NORANIZA IDRIS (1992) yang berkonsepkan pop etnik. Ketiga-tiga album ini kurang mendapat sambutan dan gandingan Noraniza Idris & Ibnor Riza tidak menjadi. Akhirnya Noraniza Idris kembali bersama Life Records dan bergandingan semula dengan Abdullah Chik untuk meneruskan kesinambungan penerbitan album LAGU LAGU FILEM & KENANGAN LAMA vol 9 (1994) dan kemudian berduet bersama Nassier Wahab, Raza, Jatt dan bintang veteran Ahmad Daud untuk siri terakhir album LAGU LAGU FILEM & KENANGAN LAMA vol 10 (1996). Bagaimanapun tragedi kematian pasangan duet Noraniza Idris, biduan veteran Abdullah Chik pada tahun 1995 telah menyebabkan Noraniza Idris menyepi seketika sebelum bangkit semula menjadi penyanyi pop etnik tersohor selepas menjadi artis rakaman SRC pada tahun 1997. Bersama SRC, Noraniza Idris telah bekerjasama dengan penerbit album Pak Ngah (Suhaimi Mohd Zain) & S Atan untuk melahirkan album eksperimental yang bercorak pop tradisional/etnik kontemporari, ALA DONDANG (1997). Album ini mendapat sambutan hebat dan mencecah jualan melebihi 100,000 unit dan bersaing dengan sebuah lagi album pop tradisional/etnik kontemporari yang juga mendapat sambutan luarbiasa, CINDAI (juga terbitan Pak Ngah) nyanyian pendatang baru yang cukup berjaya ketika itu, Siti Nurhaliza yang juga menjadi artis sebumbung dengan Noraniza Idris di SRC. Tidak dinafikan hasil kreativiti Pak Ngah secara tidak langsung telah mengangkat martabat irama etnik dan amat membanggakan apabila irama tersebut menguasai arus perdana muzik tempatan di awal era Melinium. Berbanding dengan Siti Nurhaliza, Noraniza Idris terus konsisten dengan perjuangannya untuk memartabatkan irama tradisional/etnik kontemporari dengan melahirkan album-album yang banyak bereksperimen dengan muzik sejagat/pribumi hingga diberi gelaran Ratu Irama Tradisional Malaysia dan Ratu Pop Tradisional. Populariti hebat yang dikecapi oleh Noraniza Idris dan Siti Nurhaliza dalam muzik bergnre pop tradisional/etnik kontemporari telah menggabungkan mereka dalam album SERI BALAS (1999), sebuah album yang cukup untuk dikenang oleh peminat kedua-dua penyanyi tersebut bukan sahaja kerana lagu hit Hati Kama ataupun keserasian mereka sebagai pasangan duet tetapi juga perang dingin yang membadai kedua penyanyi popular tersebut. ALA DONDANG dan SERI BALAS merupakan album yang memberi impak yang besar ke atas kejayaan Noraniza Idris sebagai pejuang irama tradisional/etnik kontemporari sehingga mencetuskan fenomena. Album ALA DONDANG telah diiktiraf sebagai Album Pop Etnik Terbaik Anugerah Industri Muzik 1998 manakala SERI BALAS memenangi kemenangan berganda Anugerah Industri Muzik 2000 melalui kategori Album Pop Etnik Terbaik dan Album Terbaik. Lagu hit Hati Kama pula memenangi Juara Kategori Irama Malaysia menerusi Anugerah Juara Lagu 1999 terbitan TV3. Noraniza Idris terus aktif melahirkan album baru iaitu BEKABA (1999) dan IKTIRAF (2000) yang berterusan menyaksikan kejayaan Noraniza Idris menerusi lagu hit Tinting, Ngajat Tampi, Iboq dan Manira. Bagaimanapun sebelum menamatkan kontrak dengan SRC pada tahun 2003, Noraniza Idris telah tampil dengan pembaharuan dengan memilih bekas suami, Fareez untuk penerbitan album AURA (2002) yang lebih fokus kepada muzik etnik yang lebih segar melalui karya, Hala Timur, Tandang Bermadah dan Layar Battuta. Sebelum ini kesemua album Noraniza Idris diterbitkan oleh Pak Ngah. Setelah tamat kontraknya dengan syarikat rakaman SRC (2003), Noraniza Idris yang ketika itu telahpun mempunyai label sendiri Gerak Budaya Sdn Bhd dengan kerjasama Universal Music telah melahirkan album SAWO MATANG (2004). Hit utama dari album ini ialah Hatinya Tak Tahan'. Album ini telah meraih kejayaan apabila AIM 12 telah mengiktiraf SAWO MATANG sebagai Album Pop Etnik Terbaik manakala lagu Hatinya Tak Tahan berjaya mengungguli Persembaahan Terbaik di AJL ke 18 dan Lagu Etnik / Global Pilihan di Anugerah ERA 2004. Pada tahun 2006, Noraniza Idris kembali berkerjasama dengan Life Records untuk penerbitan album kompilasi berkembar khas sempena 20 tahun penglibatan beliau dalam industri muzik, LENGGOK 20 TAHUN. Terdapat 2 lagu baru, Racau Sang Khalifah (duet bersama Liza Hanim) dan Asyik Bisikan Hubah dan sebuah lagu klasik yang diolah semula, 'Dayung Sampan' (menampilkan pemain erhu, He Yun dari negara China). Terdapat juga prolog yang dizahirkan melalui syair, gurindam, ulek dan kisah barat. Selebihnya adalah lagu-lagu popular yang pernah Noraniza Idris rakamkan di bawah label Life Records termasuk 3 buah lagu istimewa yang dirakam semula iaitu 'Mengemis Rindu', 'Tandang Bermadah' dan 'Ayuh Juragan/Juklah! Guru Abe'. Noraniza Idris kemudiannya menubuhkan syarikat produksinya sendiri Noraniza Idris Production Ventures Sdn Bhd (NIPVSB) yang bertindak untuk menguruskan kerjaya seninya dan menerbitkan album artis dibawah label NIPVSB. NIPVSB telah berkerjasama dengan eRama Records untuk penerbitan album Noraniza Idris yang seterusnya, CINTAKU SATU (2011) yang menyaksikan beliau berduet dengan ramai penyanyi baru seperti Jaclyn Victor, Marsha, Bob AF, Dior, Elji Henava, Black dan Karen Tan. Pada penghujung tahun 2011, Noraniza Idris telah mengumumkan projek untuk menerbitkan album PRIMADONA. Album PRIMADONA akan merakamkan lagu-lagu popular primadona seni suara dekad 70an yang amat disegani, Sharifah Aini, Rafeah Buang dan Sanisah Huri sebagai penghargaan ke atas penyanyi yang diminatinya. Sayangnya, walaupun senarai lagu-lagu telah dipilih, projek ini sehingga kini tidak menjadi dan hanya single 'Dekatlah Padaku' (nyanyian asal Sharifah Aini) berjaya diterbitkan dan dilancarkan pada penghujung Disember 2011. Pada Ramadhan 2016, RIA AIDILFITRI pula diterbitkan. Konsep album ini lebih menjurus kepada sketsa pendek yang diselang-seli lagu-lagu raya nyanyian beliau bersama artis-artis baharu dibawah produksinya sendiri, NIPVSB. Album raya RIA AIDILFITRI ia turut dimeriahkan dengan ucapan khas penyanyi jemputan. Selepas album ini Noraniza Idris hanya menghasilkan single, antaranya 'Wangikanlah Hatimu' (2017) berkolaborasi bersama penyanyi baru, Tyka yang dicungkil bakatnya daripada program realiti 3 JUARA dan 'Permata Saadah' (2017) dan sebelumnya berkolaborasi dengan L'Zzay untuk single 'Mohon Terasa' (2016). |
||
P laylist CD Pilihan:MELAYU DELI - Noraniza Idris, L Ramli, A Dyang, S Jibeng & Sham (1985) (dikemaskini 1 Disember 2021) |
|
RIA AIDILFITRI
Noraniza Idris & Various Artist
Sketsa 1: Suasana Malam Raya
Sketsa 2: Kasih Ibu Bapa
Sketsa 3: Nostalgia Aidilfitri
Sketsa 4: Kesyukuran
Sketsa 5: Cinta Remaja
Sketsa 6: Perantau Pulang Ke Kampung
Sketsa 7: Muhasabah Diri
Album raya ini menjadi buah tangan istimewa, Noraniza Idris sempena 30 tahun beliau aktif sebagai penggiat seni dalam Industri Muzik Malaysia. Album terbitan Noraniza Idris Ventures Sdn Bhd (NIPVSB) menghimpunkan lagu lagu nyanyian Noraniza Idris secara eksklusif bersama artis-artis baru di bawah naungan syarikatnya NIPVSB, Ihab Ismail, Dalili Amerda serta penampilan istimewa anak bongsunya, Fee Haiqal dan anak tirinya, Fadzlee Sufri. Album ini turut dimeriahkan dengan kehadiran artis undangan, Mimi Fly (One Nation Emcee), Royce Sa'ayan, L'zzay & Azmir Arif. Lebih istimewa, album raya turut dimeriahkan dengan pengisian sketsa pendek dan ucapan khas artis-artis terlibat yang membawa pesanan bertema mengikut setiap lagu yang turut dilakonkan secara santai oleh artis-artis terlibat. Kesemua lagu adalah rakaman baru kecuali 2 lagu yang pernah dipasarkan secara digital pada tahun 2014 'Kalimah Lebaran'. Manakala 'Akar Kita Zapin' nyanyian solo pendatang baru Ihab Ismail diberi nafas baru dan dinyanyikan oleh Ihab Ismail bersama Noraniza Idris, Fee Haiqal & L'zzay. Versi baru ini diberi tajuk 'Akar Kita Zapin Aidilfitri'. |
|
REVIVAL 80'an Noraniza Idris (Life Records, 2012) CD 1: Mengemis Rindu (1987)
CD 2: Inginku Sandarkan Harapan (1988)
Melalui siri REVIVAL 80'AN, 2 album studio terawal Noraniza Idris yang mengandungi lagu-lagu ciptaan baru MENGEMIS RINDU dan INGIN KU SANDARKAN HARAPAN diterbitkan semula. |
|
|
CINTAKU SATU Noraniza Idris(NIVPSB / E-Rama Records, 2011)
Apa yang menarik tentang album ini 9 dari 10 lagu merupakan duet Noraniza Idris dengan artis undangan. terdapat dua buah lagu dari album SAWO MATANG (2004, Gerak Budaya Sdn Bhd) dirakam semula dengan susunan muzik baru, termasuk lagu duet bersama David Arumugam 'Sama Tak Serupa'. Manakala 'Tandang Bermadah' dari album AURA (2002, SRC) juga dirakam semula tetapi kali ini turut menampilkan bintang muda program realiti AF, Bob dan ini juga merupakan versi ke 3 lagu 'Tandang Bermadah'. Versi ke 2 telah dirakam oleh Noraniza Idris untuk album LENGGOK 20 TAHUN (2006) juga berduet dengan Bob. |
|
|
LENGGOK 20 TAHUN
Noraniza Idris CD 1: Lenggok
CD 2: 20 Tahun (1986-1995)
Setelah 20 tahun berada di persada muzik tanahair dan namanya berada dipuncak kerana kejayaannya memartabatkan irama Malaysia, Noraniza Idris kembali ke syarikat rakaman pertamanya, Life Records dan melahirkan buat tangan terbarunya yang istimewa LENGGOK 20 TAHUN (CD berkembar). CD 1 menampilkan lagu-lagu baru termasuk beberapa lagu hit Noraniza yang dirakam semula dengan susunan muzik baru yang lebih segar dan moden seperti 'Mengemis Rindu', 'Tandang Bermadah' (daripada album AURA) dan 'Ayuh Juragan/Juklah! Guru Abe' (daripada album SAWO MATANG) ditampilkan dalam dwibahasa, bahasa Melayu & bahasa orang asli Semai. 'Asyik Bisikan Hubah' pula diambil dari album instrumental pemain seruling, Mohram dan kemudiannya diberi susunan muzik baru untuk disesuaikan dengan vokal Noraniza Idris. Paduan vokal Noraniza dan Liza Hanim untuk lagu 'Racau Sang Khalifah' juga menarik tetapi pertembungan vokal mereka dalam bait-bait tertentu menjadikan lagu ini agak kelam kabut. Manakala pemain erhu dari China, He Yun ditampilkan dalam lagu klasik gubahan baru 'Dayung Sampan'. CD 2 pula menghimpunkan lagu-lagu popular rakaman awal Noraniza Idris bersama syarikat Life Records. |
|
|
LAGU-LAGU DARI FILEM
DAN KENANGAN LAMA (Kompilasi)
Abdullah Chik, Noraniza Idris, Rafeah Buang,
Zaleha Hamid, Nassier Wahab, Sham &
Sulaiman Yasin CD 1: duet Abdullah Chik & Noraniza Idris
CD 2: Various Artist
Album kompilasi yang menghimpunkan seleksi lagu-lagu petikan filem dan pilihan nostalgia yang diambil dari siri album LAGU LAGU DARI FILEM DAN KENANGAN LAMA vol 1 hingga 10. Pada awalnya album ini hanya diberi tajuk LAGU-LAGU DARI FILEM dengan menampilkan pendatang baru Noraniza idris & Sham bergabung dengan penyanyi veteran Rafeah Buang dan Sulaiman Yasin. Tetapi untuk vol 2 hingga 10, album ini telah diberi tajuk LAGU-LAGU DARI FILEM & KENANGAN LAMA dengan menampilkan pasangan duet Abdullah Chik & Noraniza Idris untuk vol 2, 3, 4, 5 & 9; manakala Abdullah Chik berduet bersama Zaleha Hamid untuk vol 6, 7 dan 8. Siri terakhir album ini menampilkan Noraniza Idris berkolaborasi dengan ramai artis seperti Ahmad Daud, Ahmad Fauzee, Nassier Wahab, Jatt & Raza. |
|
|
THE BEST OF RATU POP TRADISIONAL
Noraniza
Idris
|
|
|
AURA
Noraniza Idris
Kali ini album terbaru Noraniza Idris, AURA berkonsepkan fusion ethnic. Malah ada kelainan kerana Noraniza Idris tidak lagi menyampaikan lagu-lagu ciptaan Pak Ngah seperti album-album sebelumnya. Sebaliknya beliau telah memberi peluang kepada komposer tersohor yang selama ini terkenal dengan lagu lagu genre pop mainstream, Adnan Abu Hassan dan Eddie Hamid untuk berkarya dalam landasan irama keMelayuan. Adnan mnenghasilkan lagu masri, 'Layar Batutta' dan Eddie dengan muzik segar dari pantai Timur, 'Hala Timur'. |
|
|
IKTIRAF
Noraniza Idris
Album IKTIRAF membawa Noraniza Idris kembali ke irama keMelayuan seperti album ALA DONDANG (1997) yang lebih banyak menonjolkan lagu lagu asli, zapin dan ghazal. Bagaimanapun susunan muziknya lebih kontemporari bagi menarik minat anak muda supaya meminati irama keMelayuan ini. Noraniza Idris tetap unik dengan misinya memartabatkan irama pribumi dan kali ini memilih budaya orang Asli bagi meneruskan sinambungan eksperimentasinya melalui lagu 'Iboq (Kita)'. |
|
|
BEKABA
Noraniza Idris
Terdapat catatan menarik menerusi inlay album dari Noraniza Idris untuk peminatnya, "Marilah kita khabar-khabarkan kepada dunia bahawa kita punya rentak yang cukup pencaknya. Kita punya seni yang tiada terperi. Dan sebelum melangkah lebih jauh lagi, sebelum kita mengkhabarkan kepada dunia, khabar-khabarkanlah dan yakinkanlah kepada diri kita sendiri dahulu bahawasanya kitalah yang terbaik. Di mana bumi dipijak, di situ langit dijunjung." |
|
|
THE BEST OF
NORANIZA
IDRIS
|
|
|
NOSTALGIA MALINDO
Noraniza Idris
|
|
|
KAPARINYO
Noraniza Idris
|
|
|
MASYHUR
Noraniza Idris
MASYHUR menyenaraikan alunan 10 rentak irama tradisi yang mengasyik dan menarik seperti, zapin, ghazal, inang, gambus zapin, joget, asli inang, rodat, masri, dikir barat dan asli. Sebagai introduksi terhadap album yang sarat dengan khazanah budaya dan baris kata yang indah ini, Noraniza Idris telah mengabadikan sebuah gurindam yang hanya pernah didengar namanya namun sukar didengar iramanya. Seperti album ALA DONDANG, album ini juga mendapat sambutan hangat dan MASYHUR telah diiktiraf sebagai ALBUM POP ETNIK TERBAIK AIM 1999. Irama dikir barat, Dikir Puteri menjadi hit utama manakala Dondang Dendang kemudiannya dirakam semula sebagai lagu duet Noraniza Idris & Siti Nurhaliza untuk dimuatkan dalam album etnik kolaborasi pertama mereka, SERI BALAS (1999). |
|
|
ALA DONDANG
Noraniza Idris
Album tradisional kontemporari, ALA DONDANG dengan hit utama 'Awallah Dondang', akhirnya berjaya mendominasi industri muzik tanahair yang ketika itu lebih tertumpu dengan muzik genre pop (balada) & rock. Penghijrahan Noraniza Idris ke syarikat SRC memang tidak sia-sia kerana album eksperimental yang bertujuan untuk memartabatkan irama tradisional ini membuahkan hasil. ALA DONDANG diilhamkan dengan hasrat agar dapat mengembalikan khazanah muzik tradisional yang menjadi warisan pusaka turun temurun untuk generasi terkini menikmatinya menerusi album ini. Penghasilan album ini adalah merupakan koleksi lagu lagu tradisional yang tidak ternilai dengan sentuhan dan gubahan muzik yang diberikan nafas baru serta ilham rasa oleh penulis lirik dan pencipta bersesuaian dengan peredaran masa. Album ini bukan saja terjual melebihi 100,000 unit tetapi turut diiktiraf sebagai Album Pop Etnik Terbaik di majlis AIM 1998. |
|
|
LAGU-LAGU DARI FILEM
& KENANGAN LAMA vol
10
Noraniza Idris & Various Artist
Album ini merupakan album studio terakhir Noraniza Idris bersama Life Records yang menampilkan lagu lagu rakaman baru walaupun seleksi lagu-lagunya adalah lagu klasik lama ataupun dari petikan filem yang dirakam semula bersama artis-artis lainnya. Album ini juga menjadi 'penamat' ke atas siri album LAGU LAGU DARI FILEM & KENANGAN LAMA yang telah diterbitkan sehingga 10 volume. |
|
|
LAGU-LAGU DARI FILEM
& KENANGAN LAMA vol
9
Abdullah Chik &
Noraniza Idris
Penghijrahan Noraniza Idris ke syarikat rakaman lain termasuk syarikat rakaman antarabangsa Sony Music tidak dapat menaikkan nama Noraniza Idris sebagai penyanyi popular dan akhirnya beliau kembali bersama Life Records untuk meneruskan kesinambungan album bersiri LAGU LAGU DARI FILEM & KENANGAN LAMA vol 9 bersama pasangan duetnya yang serasi. Abdullah Chik. |
|
|
LAGU-LAGU DARI FILEM
& KENANGAN LAMA vol
5
Abdullah Chik &
Noraniza Idris
Berbanding untuk siri-siri sebelumnya, koleksi LAGU LAGU DARI FILEM & KENANGAN LAMA vol 5 lebih menonjolkan Abdullah Chik sebagai penyanyi solo kerana hanya terdapat 3 lagu duet Noraniza Idris bersama Abdullah Chik. |
|
|
LAGU-LAGU DARI FILEM
& KENANGAN LAMA vol 4
Abdullah Chik &
Noraniza Idris
|
|
|
LAGU-LAGU DARI FILEM
& KENANGAN LAMA vol
3
Abdullah Chik &
Noraniza Idris
|
|
|
LAGU-LAGU DARI FILEM
& KENANGAN LAMA vol 2
Abdullah Chik &
Noraniza Idris
|
|
|
LAGU-LAGU DARI FILEM
Noraniza
Idris, Rafeah Buang, Sham & Sulaiman Yasin
INFO RINGKAS mengenai siri album LAGU-LAGU DARI FILEM & KENANGAN LAMA. Ia telah diterbitkan sebanyak 10 vol. Pada awalnya album ini hanya diberi tajuk LAGU-LAGU DARI FILEM dengan menampilkan pendatang baru Noraniza idris & Sham bergabung dengan penyanyi veteran Rafeah Buang dan Sulaiman Yasin. Tetapi untuk vol 2 hingga 10, album ini telah diberi tajuk LAGU-LAGU DARI FILEM & KENANGAN LAMA dengan menampilkan pasangan duet Abdullah Chik & Noraniza Idris untuk vol 2, 3, 4, 5 & 9; manakala Abdullah Chik berduet bersama Zaleha Hamid untuk vol 6, 7 dan 8. Siri terakhir album ini menampilkan Noraniza Idris berkolaborasi dengan ramai artis seperti Ahmad Daud, Ahmad Fauzee, Nassier Wahab, Jatt & Raza. |
|
|
MELAYU DELI
L Ramli,
A Dayang, S Jibeng, Sham & Noraniza Idris
Album ini merupakan album pengenalan Noraniza Idris sebaik saja menjadi artis rakaman syarikat Life Records. Sebelum muncul dengan album solo yang mengandungi lagu-lagu ciptaan baru, MENGEMIS RINDU (1987), Noraniza Idris hanya tampil sebagai penyanyi 'cover version' yang merakamkan lagu-lagu dari penyanyi lain melalui album bergenre tradisional, keroncong, lagu-lagu petikan filem dan lagu-lagu pop popular Malindo (Malaysia & Indonesia).
|