MALAM AMAL PENUH BERMAKNA oleh Ridzuan Abdul Rahman (Harian Metro: Isnin, 19 Disember 2011) |
Sinonim dengan konsert terdahulu, mereka yang hadir rata-ratanya peminat yang setia menyokong perjuangan seninya sejak dahulu sehingga kini. Paling istimewa, Kak Pah menerima penghargaan terbesar apabila Menteri Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat, Datuk Seri Shahrizat Abdul Jalil sudi meluangkan masa menonton persembahannya. Sambil disajikan dengan makanan enak, Grace Simon tampil membuka acara tepat jam 9.20 malam dengan mendendangkan lagu Kapan Lagi. Seterusnya, dia membuai peminat menerusi kemerduan suaranya apabila mengalunkan lagu keroncong Begawan Solo dan Antara Pria Dan Wanita. Penonton bertepuk kesukaan apabila penyanyi berusia 58 tahun ini menyampaikan lagu popularnya, Bing sebelum mengakhiri persembahan dengan lagu Sway. Sebagai penyanyi berpengalaman, Grace tidak mempunyai masalah berkomunikasi dengan peminat. Selepas itu giliran Dewi Yull mengambil tempat dengan sedikit kejutan apabila tampil menyanyikan lagu Cinta Hampa dari kawasan belakang tempat duduk penonton. Penyanyi bernama sebenar Raden Ayu Dewi Pujiati berusia 50 tahun ini seterusnya menyampaikan lagu Dealova, Jangan Ada Dusta Diantara Kita dan mengakhiri persembahan dengan Kini Baru Kau Rasa. Ramai terpegun dan mengakui kemantapan vokal Dewi yang juga aktres popular Indonesia ini terutama ketika menyampaikan lagu Dealova yang bernada tinggi.
"Kalau ada sambutan macam ini lagi, saya tak bimbang bekerja keras untuk menganjurkannya. Sebenarnya jam empat pagi ini (Sabtu) baru saya habis rehearsal (latihan)," katanya berkongsi cerita yang disambut tepukan gemuruh mereka yang hadir. Kebanyakan lagu saya ada kisah tersendiri. Seperti lagu Putus Kasih ini, ia bukan bermaksud apa-apa tapi ketika usia kandungan saya sembilan bulan pada 1982, ia lagu kegemaran saya. Bayangkan saya berbadan besar ketika di studio semasa merakamkan lagu ini," tambahnya lagi sebelum menyampaikan lagu yang dimuatkan dalam album Rahsia Hati terbitan tahun 1982 ini. Sambil menghibur, Kak Pah tidak lupa berkongsi matlamat penganjuran makan malam ini yang bertujuan membantu golongan kurang bernasib baik. Ceritanya, sejak menganjurkan beberapa persembahan amal pelbagai ragam manusia sudah mereka jumpa. "Saya akhirnya pilih buat sendiri kerana jika anjuran orang lain lebih memihak kepada penganjur. Banyak artis kena tipu. Ini detik yang bagus untuk saya buat kebajikan. Dengan bantuan lapan hingga sembilan komiti, kami cari rumah yang nak roboh dan sekolah budak-budak miskin. Saya tolong mereka menerusi suara. "Saya bekerja sampai subuh untuk siapkan pelbagai perkara. Kadang-kadang lepas subuh pun saya masih mengadap komputer. Saya nak kongsi cerita lucu, ada juga pihak tertentu yang berikan cek atas nama Seri Dewi Malam, sedangkan syarikat saya ialah Seri Dewi Production Sdn Bhd," katanya. Hadir sama, Pengarang Kumpulan Berita Harian, Datuk Mior Kamarul Shahid dan Pengasas Jamu Mak Dara, Halimah Shuib. Hasil kutipan acara anjuran bersama Lime Events Management dan kerjasama Hotel Royal Chulan ini disumbangkan kepada Madrasah Tahfiz Tahsin Al-Quran Batu 13, Kampung Sri Langkas, Jalan Klang Puchong dan Baitul Ehsan di No 49, Jalan Wirawati 6, Taman Maluri, Kuala Lumpur. Berbekalkan pengalaman luas, Kak Pah yang masak dengan cita rasa peminatnya terus menghiburkan mereka dengan barisan lagu hebat seperti Kenangan Lalu, Terbang Helang, Smile, Kau Pergi Tanpa Pesan, Malam Persandingan, Halimun Malam dan Biarkan Bulan Bicara. Dia tidak ketinggalan menyelitkan info setiap kali menyampaikan sesebuah lagu. Kehebatan Kak Pah terserlah kerana peminat akan menyanyi bersamanya setiap kali dia buka mulut. Malah, Kak Pah pandai memancing pembabitan peminat setiap kali menyanyikan lagu Kau Pergi Tanpa Pesan yang menjadi lagu wajibnya.
Tidak lupa, dia turut mengadakan segmen tribute buat mendiang Broery Marantika sebagai mengenang bekas rakan duetnya itu apabila menyampaikan lagu Jatuh Cinta dan Sepanjang Jalan Kenangan bersama Grace dan Dewi. Selesai mendendangkan lagu ini, Kak Pah minta diri untuk berundur namun peminat meminta dia terus menyanyi. Tidak mahu mengecewakan mereka, dia menyampaikan lagu bonus Pantun Budi. Sekali lagi dia minta diri untuk menutup tirai persembahan selepas menyanyikan lagu itu namun sekali lagi peminat memintanya terus menyanyi. Kak Pah akur dan menyampaikan lagu Bunga Tanjung sebagai lagu terakhir, sekali gus membuatkan peminatnya pulang dengan senyuman puas. Artikel lain yang berkaitan:
|