SHARIFAH AINI BAKAL GEGAR IB

oleh Rudy Imran Shamsudin  (Harian Metro: Isnin, 9 Julai 2007)

Teruja dua perancangan iaitu konsert, album baru menjadi kenyataan

Selepas kemelut yang menghantui hidup Datuk Sharifah Aini berakhir, kini tiba masanya untuk Biduanita Negara itu kembali memberikan tumpuan terhadap kerjaya seni sekali gus memeriahkan industri muzik tempatan dengan mengadakan konsert dan album baru.  Dua perancangan dianggap mega itu penting bagi Sharifah Aini atau lebih mesra dengan panggilan Tok Pah, sebagai menghargai 39 tahun pembabitannya dalam industri muzik sekali gus meletakkan dirinya penghibur unggul.

Sharifah Aini berkata, dia teruja menantikan dua perancangan itu menjadi kenyataan selepas menerima maklum balas positif media dan peminat terhadap persembahannya sempena hari Ibu Mei lalu.  Katanya, kejayaan itu sekali gus berjaya menarik minat perhatian penganjur yang mahu mengadakan konsertnya.  "Persembahan yang dijadualkan berlangsung pada 16, 17 dan 18 Ogos di Istana Budaya (IB) itu cukup istimewa kerana ia menampilkan kelainan yang belum pernah saya lakukan sepanjang 39 tahun bergelar penyanyi," katanya ketika di majlis mesra bersama media kumpulan The New Straits Times Press (NSTP), baru-baru ini.

Ia juga konsert kedua Sharifah Aini di IB dan kali ini bakal 'menghidangkan' lagu yang pernah dipopularkan penyanyi popular negara Timur Tengah seperti Fairuz dan Amr Diab.  "Dalam konsert ini, saya akan mendendangkan lagu Teratai dan Bunga Tanjung serta satu lagu Inggeris yang dipopularkan Josh Groban, You Still You.  Ini senarai lagu di peringkat perbincangan", katanya.

Mengenai tema konsert menampilan muzik Arab, Sharifah Aini berkata, ia dilakukan atas beberapa sebab pertama kerana irama sedemikian dekat dengan dirinya dan sebagai penyanyi lama berkecimpung dalam dunia seni suara pastinya ia memberikan satu cabaran baru.  "Dalam waktu sama konsert akan berlangsung dalam musim pelancong dari Timur Tengah datang bercuti di sini dan tahun ini Tahun Melawat Malaysia 2007," katanya.

Sharifah Aini turut menunjukkan kesungguhan bagi memastikan konsert bakal diadakan itu berjaya.  Sebagai persediaan dia kini sibuk menjalani latihan intensif di samping melakukan senaman.  "Menyanyi lagu Arab ini bukan mudah kerana ia mempunyai lenggok tersendiri dan kawalan nafas penting.  Bagi memastikan saya dapat melakukannya dengan baik saya melakukan senaman ringan di gimnasium.  Di samping itu selepas Subuh biasanya saya akan berjalan sejauh tiga kilometer," katanya.

Pada malam konsert itu Sharifah Aini turut menjemput penyanyi dan komposer Yasin menyanyi secara duet lagu Nour El-Ain dan menggunakan pengarah muzik Mirza Abdullah dan Mustafa Fuzir Nawawi.

Mengenai pembikinan albumnya, Sharifah Aini berkata, setakat ini segala proses gubahan sudah selesai dilakukan penerbitnya Ramli MS dan menanti waktu sesuai bagi menjalani rakaman suara.  Album yang dirancang sudah lama saya idamkan di mana ia menggunakan muzik orkestra sepenuhnya.  Bagi memastikan ia menepati apa yang saya mahukan saya sanggup mengeluarkan wang sendiri," katanya.

Artikel lain yang berkaitan:

  Sharifah Aini Layak Digelar 'Permata Negara' (Berita Minggu: Bi-Pop – 26 Ogos 2007)

  Arabian Splendour (New Straits Times – Monday, 20 August 2007)

  Jelmaan Fayrouz (Berita Harian – Isnin, 20 Ogos 2007)

  Kak Pah Lawan Sakit Hibur Peminat (Harian Metro – Sabtu, 18 Ogos 2007)

  Kelunakan Vokal Kah Pah Bergema Di IB Mulai Esok (Berita Harian – Rabu, 15 Ogos 2007)

  Misi Tiga Pereka Ubah Imej Kak Pah (Berita Harian – Selasa, 7 Ogos 2007)

  Aksesori RM30 Juta Iringi Nyanyian Sharifah Aini (Berita Minggu – 29 Julai 2007)

  Debar Tunggu 16 Ogos (Harian Metro – Jumaat, 27 Julai 2007)

  Kah Pah Teruja Konsert Muzika Arabia 16 Ogos (Berita Harian – Selasa, 24 Julai 2007)

  Kah Pah Tunggu 40 Tahun (Harian Metro – Khamis, 19 Julai 2007)

  Kembali Gegar IB (Berita Harian – Jumaat, 13 Julai 2007)

  Konsert Muzika Arabia Sharifah Aini Di Istana Budaya (Berita Minggu – 8 Julai 2007)