SHARIFAH AINI LAYAK DIGELAR 'PERMATA NEGARA' oleh Raja Nurfatimah Mawar Mohamed (Berita Minggu: Bi-Pop – 26 Ogos 2007) |
Empat puluh tahun – bukanlah waktu yang singkat. Beliau membina nama, mengukuhkan kedudukan dan memperjuangkan kerjaya seninya disulami episod suka duka. Masa terus beredar, beliau masih memegang takhta sebagai penyanyi unggul negara biarpun sering dihambat kontroversi. Keunggulannya sebagai anak seni lebih terserlah dengan kejayaan Konsert Muzika Arabia yang berlangsung di Panggung Sari, Istana Budaya selama tiga hari bermula 16 Ogos lalu. Tiada apa yang perlu dipertikaikan semuanya sempurna di mata peminat. Dengan vokal lunak persembahan berwarna-warni serta penampilan yang anggun, Biduanita Negara Datuk Sharifah Aini selayaknya digelar 'Permata Negara'. Namun, beliau tak hidup dek puji, tak mati dek keji. Sikap merendah diri membuatkan dirinya terus dekat di hati peminat. Dan Konsert Muzika Arabia membuktikan perjuangan seni Sharifah Aini atau lebih mesra dengan panggilan Kak Pah tetap unggul di mata dan hati peminatnya. Di sebalik itu, Kak Pah pula sayu hati dengan sanjungan yang diterima biarpun sudah empat dekad berjuang. Dengan nada perlahan, Kak Pah akui, "Saya terharu dan sesekali agak emosional melihat sambutan penonton terhadap Konsert Muzika Arabia yang julung kali saya adakan sejak bergelar penyanyi. Tiga malam yang saya rasa begitu menikmati kepuasan, penat lelah saya bersama mereka yang terbabit berbaloi apabila melihat peminat memenuhi dewan yang gah itu. Saya tak sangka begitu ramai peminat lagu Arab. Berdebar juga pada mulanya, tapi perasaan takut akhirnya berlalu begitu saja apabila mendengar sorakan tepukan dan jeritan peminat. Dan itu semua tidak lekang daripada pendengaran saya sepanjang tiga malam menjayakan konsert," katanya.
Kemunculan Kak Pah selama tiga malam juga diserikan dengan sembilan gaun malam rekaan khas pereka terkenal, Jovian Mandagie pada malam pertama, diikuti Calvin Thoo dan Michael Shu. Beliau juga menggayakan aksesori jed, delima dan mutiara tajaan Rafflesia The Pearl Centre berharga kira-kira RM30 juta sepanjang tiga hari itu. Namun paling menyerlah apabila Kak Pah muncul dengan gaun merah rekaan Michael Shu di akhir persembahannya pada malam terakhir. Kedengaran segenap dewan bergema riuh rendah, malah ada juga terpegun melihat kejelitaan penyanyi berusia 50-an itu di segmen terakhir.
Hadir sama pada malam gala itu ialah Menteri Kebudayaan, Keseniaan dan Warisan, Datuk Seri Utama Dr Rais Yatim dan isteri, Datin Seri Masnah Rais, Pengerusi Legend Shine Sdn Bhd, Datuk Fuad Hassan dan Ketua Pengarang Kumpulan The New Straits Times Press (M) Berhad (NSTP), Datuk Hishamuddin Aun dan isteri, Datin Noor Linda Abu Talib. Artikel lain yang berkaitan:
|