DEBAR TUNGGU 16 OGOS oleh Norhayati Nordin (Harian Metro: Jumaat, 27 Julai 2007) |
Kak Pah berdoa badan sihat untuk puaskan peminat pada Konsert Muzika Arabia di Istana Budaya Pertama kali bersuda dengannya, terpegun melihat betapa jelita Datuk Sharifah Aini Syed Jaafar. Terus terang, biduanita negara itu nampak begitu menawan. Pastinya ada 'rahsia' di sebaliknya. Apakah kerana akan menjayakan Konsert Muzika Arabia di Istana Budaya (IB) pada 16 hingga 18 Ogos ini maka Sharifah Aini terpaksa berdiet? Sharifah Aini yang mesra dengan panggilan Kak Pah berkata, dia tidak mengamalkan apa-apa diet tetapi mengakui penjagaan stamina amat penting. "Sebagai penghibur, menjaga stamina cukup mustahak. Justeru saya memandang berat kesihatan diri. Mengambil kira itu, saya sentiasa memastikan tahap kesihatan sentiasa baik. Saya memang tidak mengamalkan sebarang petua. Kalau ada pun, cuma menjaga diri daripada penyakit seperti deman dan selsema. Malah paling ditakuti mengalami 'masalah tekak'. Terus terang, penyakit paling ditakuti setiap penyanyi ialah masalah tekak. Oleh itu, saya berdoa kepada Tuhan semoga semuanya berjalan lancar dari awal hingga akhir," katanya. "Kecantikan itu lahir dari dalam. Saya seorang yang sangat reda dan tidak pernah berdendam. Malah, saya juga jauhkan tekanan dalam diri. Saya jalani hidup dengan gembira," katanya. Penyanyi yang popular dengan lagu Hapuslah Airmatamu dan Seri Dewi Malam itu berkata, beliau juga gementar menjayakan persembahan di Konsert Muzika Arabia bulan depan.
Selain persiapan stamina, Kak Pah juga dipersiapkan dengan perhiasan mewah dan pakaian hebat rekaan pereka terkenal. Sharifah Aini menggayakan set aksesori Mutiara Hitam Tahiti bernilai RM1.1 juta tajaan Rafflesia The Pearl Centre (Rafflesia) di Hotel Parkroyal baru-baru ini. Pada konsert itu nanti, Kak Pah dijangka menggayakan aksesori mutiara, jed dan delima daripa Rafflesia bernilai hampir 30 juta selama tiga malam persembahan. Selain itu, Sharifah Aini juga akan menggayakan sembilan busana khas rekaan tiga pereka fesyen berbakat, Michael Shu, Calvin Thoo dan Jovian Mandagie. Mengenai persediaannya menjelang Konsert Muzika Arabia itu, Sharifah Aini akan memulakan latihan di IB bermula 5 Ogos sehingga 15 Ogos ini. Katanya, dia kini sedang mengumpul tenaga. "Saya akan menyanyikan kira-kira 20 lagu yang pernah dipopularkan penyanyi irama padang pasir epeerti Fairuz, Amr Diab, Shereen dan Fadlhil Shaker. Saya juga akan berduet dengan Yasin dalam lagu Nour El-Ain," katanya. Artikel lain yang berkaitan:
|