KAK PAH TUNGGU 40 TAHUN

oleh Mohd Nasif Badruddin  (Harian Metro: Khamis, 19 Julai 2007)

Muzika Arabia julung kali diadakan di Istana Budaya pada 16 Ogos ini

Muzika Arabia ini julung kali diadakan di tanah air dengan koleksi lagu Arab 'evergreen' dan popular dendangan Sharifah Aini dan juga artis lain, Yasin, Habibah Yaakob dan Mastura Hassan.  Persembahan mereka diiringi 40 pemuzik Orkestra Simfoni Kebangsaan (OSK) pimpinan konduktor muzik terkenal, Mustafa Fuzer dan Mirza Abdullah.  Ia akan menggabungkan seni muzik, tarian dan nyanyian rentak klasik dan moden.

Sharifah Aini akan menyanyikan lebih 20 lagu yang pernah dipopularkan penyanyi irama padang pasir seperti Fairuz, Amr Diab, Shereen dan Fadl Shaker.  Antaranya Aaatini Nay, Kalby Ekhtarak, Nassam Alayna, Nour El Ain dan Nahne Wel Amar Jirane (lagu asal Di Malam Persandingan).  Selain itu Sharifah Aini juga tidak ketinggalan menyelitkan lagu popular Melayunya untuk diketengahkan kepada pelancong asing seperti Teratai, Bunga Tanjung, Hapuslah Airmatamu dan Inikah Balasannya.

Sharifah Aini berkata, alunan merdu lagu Arab bukanlah sesuatu yang asing baginya dan dia sendiri membesar dengan rangkaian lagu popular nyanyian legenda lagu Arab tersohor, Fairuz yang begitu sinonim dengan dirinya.  Katanya, daripada lebih 10,000 koleksi cakera padat yang dimilikinya, hampir 1,000 daripadanya lagu Arab.

"Pengalaman menyanyikan lagu Arab tidak sama dengan lagu Melayu.  Ia begitu mencabar dan bukan senang kerana mempunyai 'makam' atau tingkatannya tersendiri.  Bagi orang yang mahir mengaji al-Quran, hal ini tidak menjadi masalah buat mereka.  Hampir 40 tahun saya tunggu saat ini.  Akhirnya hari yang dinanti itu semakin tiba.  Muzika Arabia yang julung kali dianjurkan di Malaysia benar-benar menguji kemampuan saya mendendangkan lagu Arab.

"Saya tak malu mengaku, saya memang gementar.  Inilah pertama kali dalam hidup saya menyanyikan rangkaian lagu Arab dalam sebuah konsert besar.  Walaupun saya sudah merakam lebih 1,000 lagu dan 50 daripadanya lagu berirama Arab, tetapi perasaannya tidak sama.   Dalam persembahan itu nanti, saya juga berduet dengan Yasin menyampaikan lagu popular Nour El Ain.  Meskipun tidak pernah menyanyi bersama OSK, saya berkeyakinan penuh mereka dapat menghasilkan yang terbaik bersandarkan kejayaan dan komitmen yang ditunjukkan mereka sebelum ini," katanya ketika sidang media Muzika Arabia, baru-baru ini.

Hadir sama Pengerusi Legend Shine Sdn Bhd, Datuk Fuad Hassan, Timbalan Ketua Pengarah (Operasi) Istana Budaya, Fauzia Sabiri, Yasin, Habibah dan Mastura.  Habibah Yaakob yang terkenal dengan lagu Malam Ini Kita Berpisah dalam filem Enam Jahanam dan penyanyi lagu nasyid 60-an pula menyifatkan, dia begitu teruja dan bangga apabila diundang menjayakan Muzika Arabia bersama Sharifah Aini selepas 35 tahun tidak menyanyi.   Manakala Mastura pula adalah adik Fuad Hassan dan pernah menjayakan rancangan Muqaddam yang dikelolakan ayahnya, Datuk Hassan Azahari.

Sementara itu Fuad berkata, Muzika Arabia adalah persembahan untuk mempromosi nilai budaya yang tinggi gabungan dua tamadun, Timur Tengah dan Melayu yang pertama kali dianjurkan seumpamanya.  "Ia bertujuan membantu negara dalam menjayakan program Tahun Melawat Malaysia dan sempena sambutan meraikan 50 tahun kemerdekaan negara.  Ia juga sebagai pengisian minat pelancong Arab secara berterusan bagi mencapai hasrat Malaysia meningkatkan jumlah pelancong asing termasuk dari Timur Tengah tercapai.

"Kita sekarang sudah ada banyak kemudahan khusus untuk pelancong Arab seperti makanan, pakaian, pusat beli-belah dan tempat menarik.  Jadi sudah tiba masanya untuk kita sediakan hiburan jiwa buat mereka di tempat kita.  Apa yang nyata, lagu Arab sekarang seperti juga lagu lain yang berkembang mengikut zaman dan bukan lagi dianggap klasik. Malah ia juga mengalami perubahan dan dipengaruhi unsur lain," katanya.

"Menerusi Muzika Arabia, kita memberanikan diri membuat pendedahan kepada masyarakat untuk kembali kepada kesinambungan lagu Arab yang mempunyai kaitan dengan budaya kita.  Kita ingin buktikan orang Melayu juga dapat menyanyikan lagu Arab dengan sebutan yang betul dan penuh penghayatan sepertimana orang kita selalu menjuarai Tilawah al-Quran.  Kami amat berharap Muzika Arabia yang julung kali dianjurkan ini akan mengisi kepelbagaian persembahan muzik dalam usaha menarik minat penggemar lagu bercorak padang pasir terutama peminat Sharifah Aini untuk datang menyaksikan persembahannya di tempat berprestij ini," katanya.

Tiket berharga RM58, RM138, RM238 dan RM338 boleh dibeli secara 'online' di laman web www.ticket2u.biz atau telefon 03-40265558, 03-41498600, faks 03-40265552 atau boleh dapatkan maklumat lanjut dengan melayari www.istanabudaya.gov.my

Artikel lain yang berkaitan:

  Sharifah Aini Layak Digelar 'Permata Negara' (Berita Minggu: Bi-Pop – 26 Ogos 2007)

  Arabian Splendour (New Straits Times – Monday, 20 August 2007)

  Jelmaan Fayrouz (Berita Harian – Isnin, 20 Ogos 2007)

  Kak Pah Lawan Sakit Hibur Peminat (Harian Metro – Sabtu, 18 Ogos 2007)

  Kelunakan Vokal Kah Pah Bergema Di IB Mulai Esok (Berita Harian – Rabu, 15 Ogos 2007)

  Misi Tiga Pereka Ubah Imej Kak Pah (Berita Harian – Selasa, 7 Ogos 2007)

  Aksesori RM30 Juta Iringi Nyanyian Sharifah Aini (Berita Minggu – 29 Julai 2007)

  Debar Tunggu 16 Ogos (Harian Metro – Jumaat, 27 Julai 2007)

  Kah Pah Teruja Konsert Muzika Arabia 16 Ogos (Berita Harian – Selasa, 24 Julai 2007)

  Kembali Gegar IB (Berita Harian – Jumaat, 13 Julai 2007)

  Sharifah Aini Bakal Gegar IB (Harian Metro – Isnin, 9 Julai 2007)

  Konsert Muzika Arabia Sharifah Aini Di Istana Budaya (Berita Minggu – 8 Julai 2007)