KEMBALI GEGAR IB oleh Zul Husni Abdul Hamid (Berita Harian: Jumaat, 13 Julai 2007) |
"Ia cukup istimewa dan belum pernah dibuat sebelum ini," kata Datuk Sharifah Aini dalam nada suara yang cukup teruja, tatkala berbicara mengenai perkembangan terbarunya. Ogos ini, selama tiga malam bermula 16 Ogos, penyanyi bersuara lunak ini akan menjayakan persembahan istimewa berjudul Muzika Arabia. Bakal berlangsung di Panggung Sari, Istana Budaya, keasyikan vokal Sharifah Aini mengalunkan lagu irama padang pasir akan berkumandang menghiburkan ribuan peminatnya.
"Memikirkan hari persembahan yang semakin dekat, hati saya tambah berdebar. Konsert ini sedikit berbeza dan agak mencabar. Saya berusaha keras untuk memastikan ia berjalan lancar. Apabila sudah diberi kepercayaan yang besar, mengapa tidak saya mencuba? Ada ketika saya sendiri tertanya mengapa saya diberi kepercayaan untuk menjayakan konsert yang belum pernah dilakukan artis tempatan? Selama 39 tahun menyanyi, konsert ini sangat bermakna dalam karier saya. Saya akan memberikan yang terbaik walaupun saya tahu ia tidak mudah dilaksanakan kerana melodi dan gaya nyanyian lagu Arab sangat berbeza," katanya yang pernah membuat persembahan di IB kira-kira tiga tahun lalu. Bakal mengundang penyanyi Yasin untuk berduet dengannya menerusi lagu Nour El Ain, Sharifah Aini berkata, ketika ini apa yang bermain di fikirannya ialah bagaimana untuk membina momentum persembahan itu. Meskipun tidak menghadapi kesukaran dengan bahasa indah itu, dia tetap risaukan masalah sebutan. Disebabkan itu, latihan memainkan peranan sangat penting dan ia sudah pun bermula sejak beberapa hari lalu. "Saya sendiri sudah tidak sabar lagi untuk menjayakan konsert ini," katanya mengenai persembahan bagi mengisi kalendar aktiviti Tahun Melawat Malaysia 2007 dan bakal diterajui pengarah muzik terkenal, Mustafa Fuzer Nawi dan Mirza Abdullah. Meminati lagu Arab terutama nyanyian Fairuz, Sharifah Aini berkata, dia kagum dengan penyanyi legenda itu yang disifatkannya mempunyai magis apabila berdiri di pentas. Lebih membuatkannya kagum, persembahan penyanyi itu sentiasa dinanti oleh peminat yang sanggup bersesak hanya kerana ingin melihat kemunculannya. "Bayangkan dia hanya perlu berdiri dan menyanyi. Suaranya saja sudah cukup membuat peminat terpesona," katanya pada satu pertemuan bersama pihak media dan kenalan terdekatnya di Restoran Rebung, Bangsar, Kuala Lumpur, baru-baru ini. Penyanyi yang bakal lahir dengan album baru yang mengangkat judul, Warisan Dan Irama Terindah Malaysia tidak lama lagi berkata, dia juga sedang mempersiapkan stamina untuk konsert itu dengan melakukan senaman ringan. Setiap pagi, dia akan berjalan kaki selama tiga kilometer di samping menjaga pemakanan dan kesihatan supaya tampil bertenaga untuk konsert itu. Untuk sebarang keterangan lanjut mengenai konsert ini hubungi Legend Shine di talian 03-91711245 / 91734890 (Noor Azila Othman) atau e-mel nora_zul@yahoo.com INFO Album terbaru Sharifah Aini
Artikel lain yang berkaitan:
|