KELUNAKAN VOKAL KAK PAH BERGEMA DI IB MULAI ESOK oleh Farihad Shalla Mahmud (Berita Harian: Rabu, 15 Ogos 2007) |
Pagi Isnin lalu, Biduanita Negara itu meneruskan rutinnya dengan mengadakan latihan intensif bersama kumpulan Orkestra Simfoni Kebangsaan di bawah pimpinan Mirza Abdullah sempena Konsert Muzika Arabia yang bakal menjengah khalayak, malam esok selama tiga malam. Selain berlatih sambil diiringi muzik orkestra, sesi latihan itu juga menyaksikan bagaimana penyanyi malar segar ini menghayati setiap lirik dan menterjemahkannya dalam bentuk persembahan. "Kalau kita lihat, bahasa Arab ini ada pelbagai bunyi dan setiap negara sebutannya berbeza. Misalnya, Lubnan bunyinya lain, Mesir juga lain. Jadi, Kak Pah ada juga meminta pandangan mereka yang mahir bagaimana hendak menyebut sesuatu ayat itu dengan betul supaya maksud yang disampaikan jelas dan betul," ujar si pelantun Seri Dewi Malam ini ketika ditemui sejurus selepas sesi latihan itu berhenti rehat selama satu setengah jam. Ditanya bagaimanakah persiapannya setakat ini memandangkan acara sebenar semakin menghampiri, Sharifah Aini atau lebih mesra di sapa Kak Pah berkata aspek mental adalah persiapan yang lebih diberi penekanan menjelangnya konsert itu. "Kak Pah akui bukan mudah untuk menyanyikan lagu dalam bahasa Arab terutama dalam konsert besar-besaran seperti ini. Tapi seperti apa yang Kak Pah beritahu sebelum ini, Kak Pah akan beri yang terbaik untuk memastikan penonton yang datang malam itu terhibur dengan nyanyian Kak Pah," janji anak jati Johor ini. Menerusi konsert itu nanti, Kak Pah akan menyanyikan kira-kira 20 lagu yang pernah dipopularkan oleh penyanyi veteran Asia Barat seperti Fairuz, Amr Diab, Shereen dan Fadl Shaker. Antara yang bakal didendangkan ialah Aaatini Nay, Kalby Ekhtarak, Nassam Alayna, Nour El Ain dan Wahne Wel Amar Jirane (lagu asal untuk lagu Di Malam Persandingan). Beliau juga tidak ketinggalan menyelitkan lagu popular bahasa Melayu untuk disajikan kepada pelancong asing seperti Teratai, Bunga Tanjung, Hapuslah Air Matamu dan Inikah Balasannya. "Kak Pah begitu meminati penyanyi Fairuz dan pernah bermimpi untuk bertemu dengannya. Tapi Kak Pah tahu itu tidak akan menjadi kenyataan. Justeru, apabila Kak Pah diberi peluang mengadakan konsert lagu Arab, Kak Pah mahu gunakan kesempatan ini untuk menyanyikan lagu popular penyanyi itu. Inilah satu kenangan terindah buat Kak Pah," katanya dalam nada teruja.
"Pada permulaannya, memang saya dan Mustafa Fuzer diberikan amanat untuk memikul tanggung jawab itu tetapi tiba-tiba Mustafa mengalami kecederaan di tangan dan tidak dapat meneruskan tugasnya. Jadi, saya terpaksa mengambil alih tugasnya berseorangan. Dari segi persediaan, memang mencabar. Bayangkan dalam masa dua minggu, saya dan tiga penggubah lain perlu menggubah 30 lagu ini dalam bentuk orkestra. Selain itu, walaupun lima hari yang diperuntukkan untuk mengadakan latihan memang cukup singkat tapi kami tak jadikan itu satu halangan. Yang penting, kami berusaha memberikan yang terbaik kepada penonton," kata Mirza sambil mengakui berbesar hati kerana dapat bekerjasama dengan penyanyi bersuara lunak itu. Artikel lain yang berkaitan:
|