AKSESORI RM30 JUTA IRINGI NYANYIAN SHARIFAH AINI oleh Raja Nurfatimah Mawar Mohamed (Berita Minggu: Bi-Pop, 29 Julai 2007) |
Sharifah Aini atau lebih mesra dengan panggilan Kak Pah akan menggayakan sembilan set aksesori terkenal iaitu Rafflesia dan Mandalay yang berbeza mengikut sembilan busana yang direka khas oleh tiga pereka fesyen terkenal, Jovian Mandagie, Calvin Thoo dan Michael Shu. Set Rafflesia berkenaan terdiri daripada mutiara hitam Tahiti, mutiara putih, emas, baroque dan laut selatan, manakala set Mandalay pula adalah batu delima dan jed. Tentunya penampilan penyanyi evergreen yang sentiasa anggun, tak ditelan dek usia itu semakin menawan. Beliau mendapat tajaan Rafflesia The Pearl Centre untuk Konsert Muzika Arabia yang berlangsung di Istana Budaya pada 16 hingga 18 Ogos ini. Kak Pah berkata, beliau terharu masih dihargai walaupun sudah 39 tahun berada dalam dunia persada seni suara. Sambil menyifatkan, penajaan itu sebagai penghargaan yang tidak ternilai, Kak Pah turut menyuarakan kebimbangannya memakai aksesori semewah itu, takut keselamatan terancam. "Masya-Allah, sukar saya luahkan dengan kata-kata. Saya memang suka pada barang kemas tetapi untuk memiliki aksesori Rafflesia yang berharga berjuta ringgit, saya tak mampu. Namun saya bertuah diberi penghormatan menggayakan aksesori semewah itu bersama sembilan busana rekaan Jovian Mandagie, Calvin Thoo dan Michael Shu ketika tampil menjayakan Konsert Muzika Arabia, Ogos ini," katanya ketika sidang akhbar, di sini, petang Rabu lalu. Terdahulu, Kak Pah yang kelihatan semakin kurus mengenakan gaun berwarna kuning keemasan rekaan Michael Shu memakai set aksesori mutiara hitam Tahiti bernilai RM1.1 juta. Beliau turut memperkenalkan tiga pereka fesyen yang menaja sembilan busana untuk konsertnya selama tiga hari. Kak Pah berkata, dia juga memberikan kebebasan kepada tiga pereka fesyen berkenaan untuk menggubah penampilannya pada malam itu namun masih mengekalkan ciri wanita Timur. Sambil tersenyum, Kak Pah berkata, "Saya yakin dengan hasil kerja mereka walaupun pertama kali menggunakan khidmat Jovian, Calvin dan Michael untuk rekaan busana saya. "Saya hanya mengingatkan mereka biarlah pakaian itu sesuai untuk wanita pertengahan seperti saya, tidak terlalu terdedah. Saya bukanlah supermodel yang memiliki bentuk badan tinggi dan langsing, jadi biarlah sepadan dengan saya. Saya rasa ada kebaikannya menggunakan pereka fesyen yang baru meningkat naik seperti Jovian, Calvin dan Michael. Saya tak risau langsung kerana saya tahu mereka mampu menghasilkan rekaan busana yang terbaik buat saya."
Calvin berkata, dia menggunakan kain creep dan sifon dengan warna seperti merah jambu, ungu dan jingga untuk menampilkan Kak Pah sebagai wanita elegan. "Kita tahu Kak Pah sering bergaya elegan dan imej itu tidak seharusnya dikikis. Saya menyediakan tiga rekaan yang simple tapi nampak eksklusif dengan menggunakan kain creep dan sifon," katanya. Sementara itu, Michael Shu yang menggunakan imej batik untuk rekaannya mahu menjadikan penyanyi lagu Bunga Tanjung seperti permaisuri. "Saya percaya rekaan batik yang ditampilkan menyerlahkan lagi penampilan Kak Pah. Saya mahu Biduanita Negara itu kelihatan lain daripada yang lain pada malam persembahan itu nanti," katanya. Konsert Muzika Arabia anjuran Legend Shine Sdn Bhd dan mendapat kerjasama Kementerian Kesenian, Kebudayaan dan Warisan yang akan berlangsung di Panggung Sari akan diiringi 40 pemuzik Orkestra Simfoni Kebangsaan (OSK) pimpinan Mustafa Fuzer Nawi. Bagi peminat yang ingin mendapatkan maklumat lanjut mengenai konsert berkenaan serta harga tiket, mereka bolehlah menghubungi Legend Shine di alamat Wisma Zelan, Suite 19.08, Tingkat 19, Jalan Tasik Permaisuri 2, Bandar Tun Razak, Kuala Lumpur atau telefon 03-9171 1245 / 9173 4890. Artikel lain yang berkaitan:
|