KAK PAH LAWAN SAKIT HIBUR PEMINAT

oleh Norhayati Nordin  (Harian Metro: Sabtu, 18 Ogos 2007)

BERGAYA ... Kak Pah anggun memakai busana rekaan Jovien MandagiePersembahan kak Pah pada Konsert Muzika Arabia di Istana Budaya tetap menghiburkan walapun sakit tekak

Jika sebelum ini 'tidur' Datuk Sharifah Aini Syed Jaafar mungkin diganggu resah menunggu kehadiran malam 16 Ogos, kini segala kerisauan itu pastinya berakhir dengan indah.  Malam impian biduanita negara yang pernah meletup dengan lagu Bunga Tanjung itu sudah menjadi kenyataan.  Konsert Muzika Arabia yang diidamkan selama ini berlangsung dengan meriahnya di Panggung Sari, Istana Budaya (IB) selama tiga malam sejak Khamis lalu.

Konsert anjuran Legend Shine Sdn Bhd itu mengetengahkan lagu dari Timur Tengah dan turut dijayakan Yasin, Habibah Yaacob dan Mastura Hassan.  Tempoh dua jam persembahan sungguh menghiburkan apabila penonton dihidangkan kira-kira 20 lagu popular.  Persembahan dimulakan oleh Yasin dengan lagu Bad Haddah Al A'lam dan Sadagny Khalas.  Dua lagu itu dipopularkan Saber Al Roba'i dan Amr Diab.

Tidak ketinggalan, Habibah muncul dengan lagu Habibi dendangan Julia Boutrous dan Mastura menyanyikan lagu Oneboka Geddan (Magida El Rumi) pada persembahan segmen pertama.  Sekalipun Habibah dan Mastura kurang dikenali, mereka mampu menyanyikan lagu Arab dengan baik.   Sekadar menyanyikan dua lagu, vokal Habibah begitu mempersona hingga mendapat tepukan gemuruh.  Persemabahan juara Bintang Radio 1968 itu amat bersahaja serta tidak menghampakan.  Begitu juga dengan Mastura, memandangkan konsert itu bertemakan irama padang pasir, Mastura yang fasih berbahasa Arab juga tidak menghampakan.

Apapun, Sharifah Aini yang mesra dengan panggilan Kak Pah mengetengahkan lima lagu nyanyian Fairuz, Aatini Nay, El Bent Chalabia, Habbaitak Bil Sittin, Akhir Iya Mil Saifiyih dan Sa'lu Lin Nas dengan vokal mantap.  Malah, ketika di pentas Kak Pah sempat menyuarakan hasrat bertemu penyanyi pujaannya itu (Fairuz).  Namun, beliau tetap sedar impiannya tidak akan menjadi kenyataan.  Mengakui membesar dengan lagu Arab yang dipopularkan Fairuz, penyanyi evergreen ini mengambil inisiatif mengabadikan salah satu lagu idolanya ke dalam bahasa Melayu.  Lagu Di Malam Persandingan yang pernah mengangkat nama Kak Pah di persada seni tanahair sekitar tahun 70-an dulu adalah lagu Fairuz yang diubah senikatanya.  Kak Pah berkata, walaupun vokalnya tidak sehebat Fairuz, dia cuba menyanyikan setiap lagu dengan baik dan sebutan betul.  Segalanya demi menghiburkan penonton yang hadir.   Kemunculan Kak Pah diserikan dengan tiga gaun malam rekaan khas pereka terkenal, Jovian Mandagie.  Beliau juga menggayakan aksesori jed, delima dan mutiara tajaan Rafflesia The Pearl Centre.

Pada segmen kedua, Kak Pah menghiburkan penonton dengan lagu popularnya, Di Malam Persandingan, Hapuslah Airmata, Bunga Tanjung, Inikah Balasan dan Teratai.  Bagi menyemarakkan kemeriahan malam itu, beliau juga menyanyikan dua lagu Inggeris, You're Still You dendangan Josh Groban dan Smile.  Kak Pah menjelaskan, beliau turut menyanyikan lagu Melayu pada konsert itu bertujuan memperkenalkan budaya dan seni di negara ini.  Sekurang-kurangnya penonton yang hadir tahu apa dia lagu Melayu.

Apapu, Kak Pah sedikit kecewa apabila masalah paling 'ditakutinya' iaitu sakit tekat tidak dapat dielak.  Namun, beliau tidak patah semangat meneruskan persembahannya.  Menyedari masalah itu, Kak Pah amat profesional apabila memaklumkan kepada penonton masalah dialaminya tetapi beliau tetap berjanji akan melakukan yang terbaik.  Penonton di dalam Panggung Sari memahamainya dan terus bertepuk tangan tanda sokongan kepada Kak Pah.

Selepas 15 minit berehat, Yasin sekali lagi memulakan segmen ketiga dengan lagu Omri Kellou nyanyian Wael Kfury dan Aicha (Cheb Khaled).  Ia diikuti Habibah dengan lagu Ta'awadna Alayk (Julia Boutrous).  Rata-rata lagu pada segmen akhir ini berirama rancak.  Justeru, Kak Pah muncul dengan lagu seperti Ma'ool dendangan Fadhil Shaker, Kalby Ekhtarak (Amr Diab), Ah Law Gani Tani (Shereen Wagby) dan Nassam Alayna (Fairuz).  Di tengah kerancakan menghiburkan penonton, Kak Pah mengakui tidak malu memberitahu keadaan dirinya jika tidak sihat.

"Mungkin latihan yang padat sebelum ini membuatkan saya tidak sihat.  Apapun, sebagai penyanyi saya hendak menangis kerana apa yang ingin dibuat tidak mampu dilakukan.  Disebabkan kurang sihat, vokal saya pancit sikit.  Justeru, saya memohon maaf daripada anda semua dari hujung rambut hingga kaki.  Malah, saya harap anda terhibur," katanya.  Orkestra Simfoni Kebangsaan yang mengiringi persembahan malam itu dipimpin Mirza Abdullah sebagai Konduktor Muzik.  Hadir sama, Pengerusi Legend Shine, Datuk Fuad Hassan dan Pengarang Kumpulan Berita Harian Sdn Bhd, Datuk Manja Ismail.  Anak kesayangan Kak Pah, Aliff Omar turut meraikan saat manis ibunya.

Artikel lain yang berkaitan:

  Sharifah Aini Layak Digelar 'Permata Negara' (Berita Minggu: Bi-Pop – 26 Ogos 2007)

  Arabian Splendour (New Straits Times – Monday, 20 August 2007)

  Jelmaan Fayrouz (Berita Harian – Isnin, 20 Ogos 2007)

  Kelunakan Vokal Kah Pah Bergema Di IB Mulai Esok (Berita Harian – Rabu, 15 Ogos 2007)

  Misi Tiga Pereka Ubah Imej Kak Pah (Berita Harian – Selasa, 7 Ogos 2007)

  Aksesori RM30 Juta Iringi Nyanyian Sharifah Aini (Berita Minggu – 29 Julai 2007)

  Debar Tunggu 16 Ogos (Harian Metro – Jumaat, 27 Julai 2007)

  Kah Pah Teruja Konsert Muzika Arabia 16 Ogos (Berita Harian – Selasa, 24 Julai 2007)

  Kah Pah Tunggu 40 Tahun (Harian Metro – Khamis, 19 Julai 2007)

  Kembali Gegar IB (Berita Harian – Jumaat, 13 Julai 2007)

  Sharifah Aini Bakal Gegar IB (Harian Metro – Isnin, 9 Julai 2007)

  Konsert Muzika Arabia Sharifah Aini Di Istana Budaya (Berita Minggu – 8 Julai 2007)