KAK PAH TERUJA KONSERT MUZIKA ARABIA 16 OGOS

oleh Zainuri Misfar  (Berita Harian: Selasa, 24 Julai 2007)

Sharifah Aini akui lagu Arab banyak pengaruhi diri untuk jadi penyanyi pada peringkat awal

Biduanita Negara, Datuk Sharifah Aini tidak berasa gentar, sebaliknya amat selesa untuk mengadakan persembahan istimewa sempena Konsert Muzika Arabia di Istana Budaya, selama tiga hari berturut-turut bermula 6 Ogos ini.  Hati dan perasaannya sangat teruja kerana ini adalah kali pertama beliau tampil dalam satu persembahan besar dengan menyanyikan rangkaian lagu Arab.

Beliau yang berdarah Arab, berkata minatnya terhadap lagu Arab bukanlah sesuatu yang luar biasa kerana sudah mula mendapat pendedahan sejak zaman kanak-kanak lagi.  "Dari pengalaman yang ada, saya selesa dan tidak gentar untuk menjayakan konsert ini.  Muzik dan lagu Arab banyak mempengaruhi kerjaya saya.   Lewat tahun 60-an, Radio Singapura banyak memainkan lagu Arab, sama ada sebelah pagi atau petang.  Dari situ, saya sudah ada minat untuk menyanyikan lagu itu.  Sekarang pun saya ada koleksi yang menyimpan kira-kira 1,000 lagu Arab," katanya pada sidang media Konsert Muzika Arabia di ibu negara, baru-baru ini.

Pengaruh muzik Arab memang sudah lama dan ini boleh dikenal pasti menerusi beberapa lagu terawal yang dirakam iaitu saduran daripada lagu popular Arab.  Bagaimanapun, Sharifah berkata, menyanyikan lagu Arab tidak mudah kerana selain sebutan yang baik, ia juga memerlukan penghayatan yang tinggi.  "Kesukaran menyanyikan lagu Arab ini adalah ia bermain di hati dan agak susah untuk diterjemahkan dengan pergerakan biasa," jelasnya. 

Menerusi itu nanti, Sharifah Aini akan menyanyikan kira-kira 20 lagu yang pernah dipopularkan oleh penyanyi veteran Timur Tengah, Fairuz, Amr Diab, Shereen dan Fadl Shaker.  Antara yang bakal didendangkan ialah Aaatini Nay, Kalby Ekhtarak, Nassam Alayna, Nour El Ain dan Wahne Wel Amar Jirane (lagu asal untuk lagu Di Malam Persandingan).   Beliau juga tidak ketinggalan menyelitkan lagu popular bahasa Melayu untuk disajikan kepada pelancong asing seperti Teratai, Bunga Tanjung, Hapuslah Air Matamu dan Inikah Balasannya.

Sharifah ialah penyanyi utama Konsert Muzika Arabia kerana turut diundang pada persembahannya nanti ialah rakan seperjuangan, Habibah Yakob, Yasin dan Mastura Hassan.  Semua persembahan mereka akan diiringi oleh Orkestra Simfoni Kebangsaan pimpinan Mustapha Fuzer dan Mirza Abdullah.  Persembahan itu kelak turut menggabungkan seni muzik, tarian nyanyian rentak klasik dan moden.  Konsert Muzika Arabia dianjurkan Legend Shine dengan kerjasama Kementerian Kebudayaan, Kesenian & Pelancongan, Istana Budaya dan mendapat sokongan daripada Astro dan Rafflesia.

Bagi Habibah, persembahan di Konsert Muzika Arabia adalah kemunculan pertamanya selepas 35 tahun tidak menyanyi secara terbuka kerana memberi tumpuan kepada keluarga.  Beliau yang pernah terkenal dengan lagu Malam Ini Kita Berpisah yang dimuatkan dalam filem Enam Jahanam, berkata hatinya terbuka untuk menyanyi semula di konsert itu selepas dipujuk rakan lamanya, Sharifah Aini.

Muzik Arab sudah banyak pengaruh asing

Sementara itu, Pengerusi Legend Shine, Datuk Fuad Hassan berkata, beliau sendiri bersama individu lain akan mengawasi persiapan semua penyanyi dengan tumpuan diberikan kepada sebutan bahasa Arab.  "Tapi sebenarnya sebutan Arab daripada orang Melayu lebih baik daripada bangsa lain.  Bahkan orang Arab sendiri memperakui, orang Melayu mampu bertutur bahasa Arab lebih baik daripada orang sendiri," katanya.

Dalam pada itu, Fuad juga menjelaskan, menerusi Konsert Muzika Arabia, orang Melayu dapat mengubah persepsi atau tanggapan bahasa Arab bukanlah untuk agama semata-mata tetapi sebenarnya digunakan bagi tujuan lain, termasuk kebudayaan.  "Bagi orang Melayu, sudah tertanam dalam fikiran kita, Arab itu Islam, Islam itu Arab.  Itu tidak betul.  Orang Arab juga macam kita yang bercakap pasal cinta, kasih sayang, putus cinta, kecewa dan semua itu boleh dibawakan dalam bentuk lagu.

"Muzik Arab juga tidaklah terlalu klasik lagi.  Muzik Arab sudah moden, sudah ada pengaruh Perancis, Latin dan India.  Bagi Konsert Muzika Arabia, penyanyi akan menyanyikan lagu Arab yang popular dari era 1960-an sehingga 2006," katanya.  Beliau berkata, selain masyarakat tempatan, pihaknya juga akan mempromosikan konsert itu di tempat strategik seperti hotel atau restoran besar yang menjadi tumpuan pelancong Arab untuk sama-sama menikmati konsert Muzika Arabia.

Artikel lain yang berkaitan:

  Sharifah Aini Layak Digelar 'Permata Negara' (Berita Minggu: Bi-Pop – 26 Ogos 2007)

  Arabian Splendour (New Straits Times  – Monday, 20 August 2007)

  Jelmaan Fayrouz (Berita Harian – Isnin, 20 Ogos 2007)

  Kak Pah Lawan Sakit Hibur Peminat (Harian Metro – Sabtu, 18 Ogos 2007)

  Kelunakan Vokal Kah Pah Bergema Di IB Mulai Esok (Berita Harian – Rabu, 15 Ogos 2007)

  Misi Tiga Pereka Ubah Imej Kak Pah (Berita Harian – Selasa, 7 Ogos 2007)

  Aksesori RM30 Juta Iringi Nyanyian Sharifah Aini (Berita Minggu – 29 Julai 2007)

  Debar Tunggu 16 Ogos (Harian Metro – Jumaat, 27 Julai 2007)

  Kah Pah Tunggu 40 Tahun (Harian Metro – Khamis, 19 Julai 2007)

  Kembali Gegar IB (Berita Harian – Jumaat, 13 Julai 2007)

  Sharifah Aini Bakal Gegar IB (Harian Metro – Isnin, 9 Julai 2007)

  Konsert Muzika Arabia Sharifah Aini Di Istana Budaya (Berita Minggu – 8 Julai 2007)