ANGGAP SHIHA SEPERTI ANAK SENDIRI

oleh Shazryn Mohd Faizal  (Utusan Malaysia: Jumaat, 29 April 2011)

Sebaik sahaja melangkah masuk ke mahligai indah milik Biduanita Negara, Datuk Sharifah Aini di Petaling Jaya, Selangor, baru-baru ini, telinga ini terus menangkap alunan indah suara yang cukup merdu sambil diiringi oleh petikan piano.  Kelihatan Sharifah Aini dan Shiha begitu khusyuk dan fokus kepada sesi latihan yang berlangsung ketika itu sehinggakan kehadiran kami tidak disedari mereka berdua.

Usai memberi salam, Sharifah Aini bingkas bangkit dari kerusi piano lalu menyambut kedatangan penulis dan jurufoto dengan penuh mesra sambil diekori Shiha di belakangnya yang pantas menghulurkan tangannya dan bersalam dengan kami.  "Inilah rutin yang kami jalankan setiap minggu dan saya mahu memastikan Shiha berada dalam tahap terbaik agar dia mampu memberikan persembahan yang membanggakan pada konsert mingguan.

"Setakat ini, saya amat berpuas hati dengan prestasi Shiha.  Sebagai mentor, saya rasa bertuah kerana dapat memiliki Shiha sebagai protégé.  Alhamdulillah, sepanjang bersama dengan Shiha, saya tidak mempunyai sebarang masalah.  Dia memiliki bakat yang pada hemat saya cukup luar biasa dan segala apa yang saya ajar kepadanya, dia cepat tangkap dan aplikasi untuk setiap persembahannya," ucap Sharifah Aini dalam nada syukur sambil dipersetujui Shiha yang duduk di sebelahnya.

Mengulas tentang penglibatannya dalam Mentor 5, Sharifah Aini menyifatkan ia merupakan keputusan terbaik yang dilakukannya.  Apatah lagi, sepanjang lebih empat dekad menjadi seorang anak seni, inilah kali pertama dia melibatkan diri dalam program realiti seperti Mentor 5.  "Alhamdulillah, saya gembira apabila pihak TV3 sentiasa memberi ruang kepada saya untuk berkongsi idea bagi memantapkan lagi persembahan Shiha," kata Sharifah Aini atau nama penuhnya, Sharifah Aini Syed Jaafar ini bersungguh.

Sebagai seorang yang memiliki pengalaman luas dalam bidang seni, sudah pasti Sharifah Aini mahu berkongsi ilmu yang ada dalam dirinya kepada generasi muda agar mereka mampu menjadi seorang penyanyi unggul kelak.  "Acap kali saya tegaskan kepada Shiha, untuk menjadi seorang penyanyi yang baik bukan mudah.  Semuanya memerlukan pengorbanan, usaha dan kerja keras dalam membentuk diri menjadi seorang penyanyi yang versatil.  Atas alasan itu, saya amat menitik beratkan semua aspek termasuk kedudukan tubuh badan ketika menyanyi, sebutan, penghayatan dan lontaran suara.

"Sering kali, masyarakat menganggap seorang penyanyi itu perlu menjaga sebutan dalam nyanyiannya hanya untuk lagu-lagu Inggeris.  Sedangkan mereka tidak tahu bahawa sebutan itu juga amat penting dalam lagu bahasa Melayu.  Daripada pengamatan saya, bukan semua penyanyi hari ini khususnya penyanyi muda yang menitik beratkan soal itu.   Mungkin ia kedengaran agak remeh tetapi sebenarnya ia adalah elemen penting dalam memastikan persembahan kita mampu memberikan kepuasan kepada audiens," cerita pelantun lagu Kau Tinggi Di Awan Biru dan Rahsia Hati ini penuh bersungguh.

Berbekalkan tunjuk ajar dan bimbingan yang diberikan kepada Shiha, tidak hairanlah apabila Shiha sering mendapat pujian dan berada di carta teratas dalam Kumpulan A Mentor 5 lalu meninggalkan dua pencabarnya, Ayish dan Ratnah di belakangnya.  Namun, Sharifah Aini juga sering menasihatkan Shiha agar tidak berasa selesa dengan kedudukannya kerana dalam program realiti, sebarang kemungkinan boleh berlaku.

Dalam hal ini, protégé kepada Edry Abdul Halim iaitu Nursyafiqah Nasratullah Mohd. Nor atau Iqa dilihat Sharifah Aini sebagai bom jangka yang mampu mengejutkan ramai pihak sepanjang Mentor 5 berlangsung.  Begitu juga dengan Salma yang merupakan protégé kepada Erra Fazira yang menjadi perhatian dan sebutan ramai ketika ini.  "Kedua-dua protégé ini saya anggap sebagai pencabar terdekat Shiha dalam Mentor 5 kerana mereka memiliki keistimewaan tersendiri," ujarnya.

Untuk itu, selain kelas vokal yang turut dibantu oleh rakannya, Eja, Sharifah Aini juga memastikan Shiha mendapat bimbingan yang sewajarnya menerusi kelas tarian.  "Saya membimbing Shiha dengan cara yang cukup matang dan profesional di mana dia boleh meluahkan apa sahaja masalah kepada saya," jelas Sharifah Aini yang pernah membintangi filem Hapuslah Airmatamu dan Bintang Pujaan ini lagi.

Ketika ditanya mengapa Shiha tidak diberi peluang menyanyikan lagu-lagu popularnya: "Saya mahu Shiha menjadi penyanyi yang memiliki identiti sendiri.  Saya bimbang kalau saya beri lagu-lagu saya, nanti dia akan mengikut lenggok nyanyian saya.  Walaupun apa yang terjadi, saya akan terus menyokong Shiha walaupun Mentor sudah tamat kelak kerana yakin dengan pakej lengkap yang dimilikinya.  Saya mahu melihat bakat-bakat baru yang segar terus mewarnai industri hiburan kita."

Artikel lain yang berkaitan:

  Kak Pah Kecewa Komen Ramli (Harian Metro Sabtu, 4 Jun 2011)

  Gelaran Juara Bukan Penentu (Utusan Malaysia Rabu, 1 Jun 2011)

  Semi Final Mentor Sengit (Kosmo! Sabtu, 21 Mei 2011)

  Tidak Mahu Emosi Terganggu (Harian Metro Selasa, 17 Mei 2011)

  Shiha Penuhi Impian Bapa (Harian Metro Jumaat, 13 Mei 2011)

  Tak Mungkin Tarik Diri (Berita Harian Rabu, 27 April 2011)

  Jangan Menyanyi Ikut Anak Tekak (Berita Minggu: Bi*Pop 17 April 2011)

  Protege Masih Kekok (Harian Metro Rabu, 16 Mac 2011)

  Enam Protege Miliki Kelebihan Tersendiri (Harian Metro Rabu, 2 Mac 2011)