PRotégé MASIH KEKOK oleh Rudy Imran Shamsudin (Harian Metro: Rabu, 16 Mac 2011) |
Tidak fokus serta tak dapat dendang lirik lagu ikut mood Sebaik Mentor musim kelima membuka tirai. Pelbagai komen diberikan penonton setia dan paling hangat diperkatakan mengenai arah tuju Mentor bagi tahun ini? Adakah artis dipilih menjadi Mentor sedia berkongsi pengalaman, sekali gus mengatur strategi masing-masing demi kejayaan anak didik mereka? Melihat kepada keseluruhan persembahan termasuk kumpulan A yang berlangsung minggu lalu di Auditorium Majlis Bandaraya Shah Alam (MBSA), kesemua enam protege diakui berbakat besar. Namun bakat saja tidak cukup, paling dinanti peminat adalah adakah mereka mampu memberi impak sekali gus mewarnai industri muzik tempatan. Konsert Ahad lalu memperlihatkan Nurshiha Mohd Zikir atau Shiha, 24, protégé kepada Datuk Sharifah Aini membuka persembahan dengan lagu Menghitung Hari manakala Muhammad Faris Mohamed Razali atau Ayish, 21, protégé Noh Hujan mendendangkan lagu Hanyut sementara Ratnah Awal, 26, Ratnah protégé Afdlin Shauki mendendangkan lagu Seribu Tahun Takkan Mungkin. Ternyata persembahan dilakukan mereka masih banyak kekurangan, ini dapat dilihat daripada kritikan yang diterima daripada pengkritik tetap iaitu Ramli MS dan pengkritik jemputan juga Mentor juara musim lalu, Ziana Zain. Bagi Ramli MS, kebanyakan peserta ini dilihat masih lagi kekok apabila beraksi di atas pentas. Malah ada yang tidak fokus dan tidak dapat mendendangkan lirik mengikut melodi. Dalam pertandingan seperti ini apatah lagi mendapat bimbingan penghibur berpengalaman perkara itu tidak seharusnya berlaku. "Masalahnya mereka ini boleh menyanyi dan mempunyai mutu vokal. Bagaimanapun jika persembahan tidak mampu memikat hati penonton dan tidak dapat memberikan corak persembahan menarik ia kelak akan menyebabkan mereka tersingkir. Kalau setakat menyanyi di atas pentas, rasanya ramai lagi yang boleh melakukan perkara seperti itu," katanya. Sementara itu bagi Ziana pula, setiap protégé seharusnya mengambil pendekatan untuk menimba ilmu daripada Mentor mereka sebaik mungkin. Walaupun ini minggu pertama ia bukanlah alasan kerana ke semua peserta yang ditampilkan mempunyai mutu vokal yang baik. "Bayangkan mereka ada Sharifah Aini sebagai Mentor, seorang penyanyi yang saya minati dan saya sendiri banyak belajar daripadanya. Jadi peluang yang ada ini seharusnya digunakan terutama dalam menampilkan persembahan menarik sekali gus mampu menarik perhatian penonton rancangan ini dan pengundi," katanya. Sementara itu Penerbit Eksekutif dan Pengarah Mentor musim kelima, Muhamad Sufian Isa berkata, malam konsert Ahad lalu adalah sangat penting bagi protégé kumpulan A untuk menunjukkan bakat sebenar setelah membuka konsert minggu lalu secara sederhana. "Ada yang mengatakan kesemua protégé masih lagi di tahap amatur dan belum lagi menunjukkan taring masing-masing. Bagi saya, setelah menerbitkan Mentor selama empat musim, perkara begini adalah biasa, protégé agak gugup dan serba-serbi kekurangan kerana kali pertama membut persembahan. Saya yakin dengan berkat bimbingan mentor dan usaha, mereka akan terus belajar dari sini dan mampu memberi persembahan mantap di minggu seterusnya," katanya. Mentor musim kelima masih mengekalkan format pemarkahan sama iaitu 50% daripada juri profesional, 30% melalui undian sistem pesanan ringkas (SMS) dan 20% daripada juri awam yang terdiri daripada pelajar-pelajar muzik, wartawan dan golongan semiprofesional dalam industri muzik. Persembahan minggu lalu turut memperlihatkan bakat protégé berduet dengan Mentor masing-masing di mana Shiha dan Datuk Sharifah Aini mendendangkan lagu Rindu, Ayish dan Noh Hujan dengan lagu Hijau manakala Ratnah dan Afdlin pula dengan lagu Sedang Ingin Bercinta. Juara Mentor musim kelima bakal membawa pulang wang tunai RM100,000 masing-masing dan sebuah kereta Chevrolet Cruze tajaan Chevrolet untuk protégé. Hadiah wang tunai bagi tempat kedua ialah RM 30,000 untuk mentor dan protégé. Protégé yang memenangi tempat kedua juga akan memenangi sebuah Vespa LX150 tajaan Naza World. Artikel lain yang berkaitan: Kak Pah Kecewa Komen Ramli (Harian Metro – Sabtu, 4 Jun 2011) Gelaran Juara Bukan Penentu (Utusan Malaysia – Rabu, 1 Jun 2011) Semi Final Mentor Sengit (Kosmo! – Sabtu, 21 Mei 2011) Tidak Mahu Emosi Terganggu (Harian Metro – Selasa, 17 Mei 2011) Shiha Penuhi Impian Bapa (Harian Metro – Jumaat, 13 Mei 2011) Anggap Shiha Seperti Anak Sendiri (Utusan Malaysia – Jumaat, 29 April 2011) Tak Mungkin Tarik Diri (Berita Harian – Rabu, 27 April 2011) Jangan Menyanyi Ikut Anak Tekak (Berita Minggu: Bi*Pop – 17 April 2011) Enam Protege Miliki Kelebihan Tersendiri (Harian Metro – Rabu, 2 Mac 2011) |