SEMI FINAL MENTOR SENGIT

oleh Alif Abu Bakar  (Kosmo!: Sabtu, 21 Mei 2011)

Konsert Separuh Akhir Pertama Mentor Kelima baru-baru ini menyaksikan pertarungan sengit empat wanita.  Tekanan yang dirasai bagi merebut tempat ke peringkat akhir jelas kelihatan dalam persembahan kesemua peserta itu di mana masing-masing cuba menyampaikan yang terbaik.  Peserta pilihan ramai, Salma terus unggul memikat hati juri awam yang tanpa ragu-ragu memberikan markah penuh sebanyak 20 markah.  Protégé kepada Erra Fazira itu memukau audiens di auditorium dengan kelantangan vokalnya tatkala mendendangkan lagu Sedalam Mana Cintamu, nyanyian asal Safura. 

Namun, konsep kabaret dalam persembahan duet bersama mentornya nyata menjerat diri apabila juri profesional mengkritik pemilihan lagu Penipu (Rini) yang tidak bersesuaian dengan Salma.  "Kedua-dua lagu yang dipersembahkan Salma tidak meletakkan dirinya di tahap di mana dia sepatutnya berada," jelas ketua juri, Ramli MS pada sidang akhbar sejurus selepas konsert berakhir.

Memikat hati ramai orang pada malam itu ialah protégé kepada Datuk Sharifah Aini (Kak Pah), Shiha yang kelihatan selesa dan yakin ketika beraksi di pentas.  Membuka tirai konsert malam itu dengan menyampaikan lagu Memori Tercipta oleh Shila Amzah, peserta dari Kuala Lumpur itu tampil hanya dengan mempertaruhkan vokalnya.  Gandingan dengan mentornya menyampaikan medley lagu Sabar Menanti (Broery Marantika) dan Hapuslah Air Matamu (Datuk Sharifah Aini), Shiha konsisten cemerlang.  Sedondon berbaju ungu, kolaborasi Shiha dan mentornya membuatkan penonton terpegun dan ibarat memberi amaran kepada peserta lain bahawa Shiha bukan calang-calang pencabar.

Juri jemputan, Marcell mengakui bakat dimiliki Shiha dan memuji penghayatan yang dibawa wanita berumur 24 tahun itu.  "Anda kelihatan selesa di atas pentas dan anda tahu apa yang anda ingin sampaikan kepada penonton dan mesej itu dapat dirasai oleh semua orang," ujar penyanyi tanah seberang itu.

Selain Salma dan Shiha, dua lagi pesaing terdekat mereka iaitu Iqa dan Ratnah tetap menyinar dengan persembahan yang diserikan dengan gimik yang menghiburkan hati.  Walaupun persembahan pertama Iqa ketika menyampaikan lagu Khatimah Cinta (Sixth Sense) kelihatan hambar lantaran vokalnya yang mendatar, ia dapat diselamatkan dengan persembahan keduanya.  Tenaga 'Edriqa' (Edry dan Iqa) menyampaikan lagu Kitalah Bintang yang dipopularkan Ratu Rock tanah air, Ella itu membuatkan penonton turut sama berdiri menari dan bersorak tanda berpuas hati dengan gabungan ideal itu.

Sementara itu protégé kepada Afdlin Shauki, Ratnah kekal menyajikan kelebihan bakat tarian miliknya ketika mempersembahkan rangkaian lagu Bukannya Aku Takut (Mulan Jameela) dan Seksis (Anita Sarawak).  Bagaimanapun markah keseluruhan peserta-peserta itu hanya akan diumumkan pada malam Konsert Separuh Akhir Kedua esok malam yang akan menyaksikan penyingkiran sebelum Konsert Akhir Mentor pada 29 Mei ini.

Artikel lain yang berkaitan:

  Kak Pah Kecewa Komen Ramli (Harian Metro Sabtu, 4 Jun 2011)

  Gelaran Juara Bukan Penentu (Utusan Malaysia Rabu, 1 Jun 2011)

  Tidak Mahu Emosi Terganggu (Harian Metro Selasa, 17 Mei 2011)

  Shiha Penuhi Impian Bapa (Harian Metro Jumaat, 13 Mei 2011)

  Anggap Shiha Seperti Anak Sendiri (Utusan Malaysia Jumaat, 29 April 2011)

  Tak Mungkin Tarik Diri (Berita Harian Rabu, 27 April 2011)

  Jangan Menyanyi Ikut Anak Tekak (Berita Minggu: Bi*Pop 17 April 2011)

  Protege Masih Kekok (Harian Metro Rabu, 16 Mac 2011)

  Enam Protege Miliki Kelebihan Tersendiri (Harian Metro Rabu, 2 Mac 2011)