TAK MUNGKIN TARIK DIRI

oleh Serimah Mohd Sallehuddin  (Berita Harian: Rabu, 27 April 2011)

Sharifah Aini bertekad tidak mahu kecewakan protegenya

Kontroversi dan program realiti sudah cukup sinonim.  Tidak pasti sama ada ia sengaja direka pihak produksi bagi memancing 'ratings' siaran atau ia sememangnya berlaku secara kebetulan.  Sudah namanya program realiti, Mentor musim kelima terbitan TV3 juga tidak terlepas dari kontroversi. 

Pada Isnin lalu, menerusi ruangan Dengarnya ... Normah Becok mendedahkan ura-ura Datuk Sharifah Aini, iaitu mentor Shiha mahu menarik diri dari program itu akibat kecewa dengan komen kurang enak daripada juri profesional terhadap protégénya.  Berita Sharifah Aini mahu menarik diri cukup mengejutkan kerana belum pernah mana-mana mentor pada empat musim yang terdahulu 'merajuk'.  Andai cerita itu benar, ia bakal mencatat sejarah tersendiri kepada program berkenaan.

Bagi mendapatkan kesahihan cerita itu, Hip menghubungi penyanyi bersuara merdu itu.  Suaranya kedengaran terkejut di hujung talian.  Diiringi tawa kecil, Datuk Sharifah Aini atau lebih betah membahasakan dirinya sebagai Kak Pah mengakui terkejut dengan perkhabaran berkenaan.  Namun, biduanita ini enggan berselindung.  Katanya, memang pernah timbul keinginan untuk tarik diri.  Tetapi apabila memikirkan nasib protégénya, hasrat itu dibatalkan saja kerana menyedari tanggungjawab besar yang harus dipikul.

Bagi beliau, adalah dianggap kurang bertanggungjawab untuk menarik diri terutama kepada Shiha yang sudah tentu masih mengharapkan bimbingan dan tunjuk ajar daripadanya.  "Suka atau tidak, Kak Pah perlu berlaku adil pada Shiha.  Tanggungjawab Kak Pah padanya besar, oleh kerana ingin memberikan tumpuan kepada program ini, Kak Pah tidak menerima sebarang jemputan menyanyi.  Memang Kak Pah ada terlintas untuk tarik diri berikutan satu tekanan hebat yang Kak Pah terima kira-kira dua minggu lalu.  Ia berpunca daripada beberapa pihak yang tidak boleh Kak Pah nyatakan di sini.

"Dakwaan Kak Pah mahu menarik diri sebab tidak berpuas hati dengan komen dari juri serta kedudukan Shiha yang digugat oleh Ratna adalah tidak benar.  Shiha juga bukanlah punca Kak Pah mahu menarik diri.  Sepanjang bersama dengan dia, Kak Pah tidak mempunyai sebarang masalah dengannya kerana dia seorang anak didik yang bagus. Shiha tidak pernah menimbulkan masalah kepada Kak Pah, dia seorang protégé yang baik, sangat berdisplin dan senang dilentur," katanya.

Kak Pah juga menegaskan walau macam mana pun tekanan yang terima, beliau memang tidak akan sesekali menarik diri kerana keputusan itu ternyata boleh mengecewakan Shiha.  "Dia terlalu mengharapkan Kak Pah.  Harapan dia jadi Kak Pah tidak boleh mensia-siakannya," kata penyanyi itu.

Terima kritikan secara positif

Mengulas mengenai perkembangan protégénya, Kak Pah berasakan Shiha bukan saja memiliki vokal yang merdu tetapi mempunyai penghayatan yang sangat baik.  Beliau menafikan berasa tergugat dengan kejayaan protégé Afdlin Shauki iaitu Ratnah yang mengatasi kedudukan Shiha.  Sebaliknya menyifatkan dia beruntung kerana protégé berada di kalangan peserta wanita yang terbaik.  "Kak Pah melihat peserta wanita pada musim ini semuanya berbakat dan mempunyai vokal yang baik.  Justeru Kak Pah berasa amat bersyukur dan beruntung kerana Shiha berada dalam kelompok itu."

"Kak Pah tidak boleh menyamakan Shiha dengan peserta wanita yang lain.  Bagi Kak Pah, setiap seorang dari mereka mempunyai kelebihan dan kekurangan masing-masing.  Mereka tidak boleh jadi orang lain, sebaliknya mereka perlu menjadi diri sendiri.  Cuma, setiap peserta harus berusaha untuk memberikan persembahan yang terbaik," katanya lagi.  Menurutnya, beliau sendiri bukanlah bukanlah mentor yang tidak boleh menerima kritikan, malahan menjadikan kekalahan itu sebagai panduan untuk memperbaiki lagi kekurangan yang ada pada Shiha.  Kalau ditanya apakah Kak Pah mahu menang?  Sebagai manusia, kita mesti ada keinginan untuk menang.  Memanglah bukan semua orang akan menang kerana ada juga yang akan kalah tetapi Kak Pah tetap mempunyai semangat tinggi untuk menang," katanya.

Sementara itu, Shiha menegaskan dia tidak tahu menahu langsung mengenai ura-ura Kak Pah hendak menarik diri sebagai mentornya.  "Saya tidak tahu langsung pasal perkara itu (Kak Pah menarik diri).  Tapi kalau Umi (panggilannya pada Kak Pah) kecewa kerana markah saya merosot pada persembahan minggu lepas, saya mengaku itu adalah kesilapan saya sendiri," katanya.  Shiha berkata demikian ketika ditanya wartawan selepas semua protégé program Mentor 5 dibawa oleh TV3 mengunjungi Balai Berita untuk sesi bertemu dengan Pengarang dan wartawan hiburan dalam akhbar kumpulan News Straits Times Press Berhad (NSTP), Isnin lalu.

Artikel lain yang berkaitan:

  Kak Pah Kecewa Komen Ramli (Harian Metro Sabtu, 4 Jun 2011)

  Gelaran Juara Bukan Penentu (Utusan Malaysia Rabu, 1 Jun 2011)

  Semi Final Mentor Sengit (Kosmo! Sabtu, 21 Mei 2011)

  Tidak Mahu Emosi Terganggu (Harian Metro Selasa, 17 Mei 2011)

  Shiha Penuhi Impian Bapa (Harian Metro Jumaat, 13 Mei 2011)

  Anggap Shiha Seperti Anak Sendiri (Utusan Malaysia Jumaat, 29 April 2011)

  Jangan Menyanyi Ikut Anak Tekak (Berita Minggu: Bi*Pop 17 April 2011)

  Protege Masih Kekok (Harian Metro Rabu, 16 Mac 2011)

  Enam Protege Miliki Kelebihan Tersendiri (Harian Metro Rabu, 2 Mac 2011)