KAK PAH KECEWA KOMEN RAMLI

oleh Norhadiani Baharom  (Harian Metro: Sabtu, 4 Jun 2011)

Anggap kritikan yang diberi kurang membina terhadap Shiha

Program realiti Mentor musim ke-5 yang bersiaran sejak hampir empat bulan lalu, sudah pun menemukan pemenangnya apabila Salmah A Asis (Salma), 21, diumumkan sebagai juara, Ahad lalu.  Keputusan itu dibuat sebulat suara oleh penonton termasuk barisan juri profesional, Datuk Ramli MS yang sejak mula berperanan sebagai juri tetap manakala juri undangan malam itu, produser dan komposer Azmeer serta Ziana Zain.

Program pencarian bakat nyanyian yang diperkenalkan TV3 ini unik kerana bukan saja menyerahkan kuasa memilih juara kepada penonton melalui SMS, malah juri awam dan juga profesional.  Salma memperoleh 16 markah daripada juri awam dan keseluruhan 85 markah manakala dua peserta lagi, Nurshiha Mohd Zikir (Shiha), 24, juga protégé Datuk Sharifah Aini memperoleh 63 markah diikuti Nursyafiqah Nasratullah Mohd Nor (Iqa), 25, protégé Edry Abdul Halim (56 markah).

Jelas sekali tiada apa yang boleh mengubah keputusan itu.  Malah, tiada siapa boleh menafikan kehebatan vokal Salma kerana bakat nyanyian wanita kelahiran Tawau, Sabah itu sememangnya layak.  Bagaimanapun, khabarnya ada pihak tidak berpuas hati dengan kemenangan Salma dan ia bukan membabitkan penonton sebaliknya di kalangan mentor sendiri.  Individu yang dimaksudkan adalah Datuk Sharifah Aini.  Tambahan pula, Salma sepatutnya tidak layak ke final apabila undian untuknya paling rendah berbanding Shiha dan Iqa, tetapi penganjur membuat kejutan dengan memilih tiga peserta ke final.

Sejauh mana kebenaran dakwaan ini, Sharifah Aini atau mesra dengan panggilan Kak Pah menjelaskan hal ini.  Katanya, dia tidak pernah mengeluarkan sebarang kenyataan bahawa Salma tidak layak menang atau mempersoalkan keputusan TV3 untuk menyerapkan Salma ke final.  "Selesai saja konsert akhir, saya memaklumkan tidak mahu komen apabila ada wartawan bertanya adakah saya rasa keputusan malam itu adil apabila Salma yang sepatutnya tersingkir akhirnya menjadi juara.  Saya sangat menghormati keputusan penganjur, malah juri profesional yang terbabit meskipun ada antaranya suka memberi komen yang kritis dan terlalu keras buat Shiha.  Sebagai mentor, saya menjalankan tanggungjawab dengan baik.  Shiha sudah melakukan yang terbaik tapi rezeki Allah SWT sudah tetapkan.  Saya pasrah dan tak pandang ia sebagai satu kekecewaan dan kekalahan kerana ia adalah adat bertanding," katanya.

Berulang kali mengingatkan bahawa dia tidak pernah menafikan kehebatan Salma sekali gus kemenangan protégé Erra Fazira itu sebaliknya apa yang mengguris perasaannya adalah tindakan konduktor dan pengarah muzik tersohor, Ramli MS yang sering memberi kritikan pedas kepada Shiha.  Pada malam akhir itu, komen Ramli ialah, "Untuk persembahan solo Shiha yang pertama untuk lagu Kisah Hati itu cantik, tetapi terdapat sedikit kekurangan dari segi 'inner energy' (tenaga dalaman).  Saya mengharapkan persembahan yang lebih bertenaga."

"Manakala untuk persembahan kedua lagu Ghazal Untuk Rabiah dan Balqis duet bersama Black, saya lihat tidak banyak perubahan yang dibuat, kreativiti yang saya ingin lihat tidak menonjol.  Lagu solo terbaru Shiha, Bila Bertemumu pula agak 'shaking' di awal persembahan tetapi kembali 'ok' ketika pertengahan lagu."  Rasa kecewa dan tidak puas hati itu diluahkan biduanita itu melalui laman sembang facebook (fb) pada 1 Jun lalu.  Malah, dengan terang-terangan menyebut nama Ramli MS.

Status fb penyanyi Seri Dewi Malam itu berbunyi, "Salam everyone.  Thank you very2 much for all your support.  I am ok with Shiha to be at second place, itu dah rezeki dia but let me be honest for the first time I AM SICK WITH RAMLI MS.  HE IS NEVER BEEN KIND TO SHIHA FROM THE DAY ONE!"  Shiha is not good enough for him, why?  hummmmmmmm!.  Kak Pah mengaku berkecil hati dengan Ramli dan tidak faham mengapa dia selalu memberikan komen yang kritis dan kurang membina terhadap Shiha.

"Saya tidak kisah kalau dia ingin memberi komen untuk kebaikan, tetapi kritikan perlu disampaikan dengan cara beralas.  Komen Ramli kadang-kadang menyakitkan bagi saya dan tidak mustahil penonton turut terpengaruh sekali gus menganggap persembahan Shiha tidak baik.  Hakikatnya, persembahan Shiha tidak seburuk mana pun.  Biarpun terkilan, apa yang boleh saya lakukan adalah menasihati Shiha dan mengambil setiap komen itu secara positif kerana kita perlu menghormati pandangan juri.  Apapun, di luar gelanggang Mentor, saya dengan Ramli tetap berkawan dan kita tetap juga perlu bekerjasama," katanya.

Sementara itu, Ramli ketika dihubungi enggan mengulas kerana tidak mahu memanjangkan isu ini.  Baginya, apa yang dilakukan sepanjang menjadi juri dalam Mentor 5 adalah atas dasar profesional dan tidak kaitan dengan masalah peribadi dengan Sharifah Aini atau mana-mana mentor.

Artikel lain yang berkaitan:

  Gelaran Juara Bukan Penentu (Utusan Malaysia Rabu, 1 Jun 2011)

  Semi Final Mentor Sengit (Kosmo! Sabtu, 21 Mei 2011)

  Tidak Mahu Emosi Terganggu (Harian Metro Selasa, 17 Mei 2011)

  Shiha Penuhi Impian Bapa (Harian Metro Jumaat, 13 Mei 2011)

  Anggap Shiha Seperti Anak Sendiri (Utusan Malaysia Jumaat, 29 April 2011)

  Tak Mungkin Tarik Diri (Berita Harian Rabu, 27 April 2011)

  Jangan Menyanyi Ikut Anak Tekak (Berita Minggu: Bi*Pop 17 April 2011)

  Protege Masih Kekok (Harian Metro Rabu, 16 Mac 2011)

  Enam Protege Miliki Kelebihan Tersendiri (Harian Metro Rabu, 2 Mac 2011)