GELARAN JUARA BUKAN PENENTU (Utusan Malaysia: Rabu, 1 Jun 2011) |
Bagi Biduanita Negara, Datuk Sharifah Aini yang meraih tempat kedua bersama protégénya, Shiha menyifatkan anak didiknya itu sudah pun melakukan yang terbaik. Walaupun tidak memenangi tempat pertama, namun, apa yang penting bagi Sharifah Aini adalah untuk melihat kejayaan Shiha sebagai seorang penghibur selepas ini. Menafikan dia berasa kecewa kerana gelaran juara yang tidak berpihak kepadanya dan Shiha, apa yang penting Sharifah Aini sudah melunaskan tanggungjawabnya sebaik mungkin sebagai mentor. Sehinggakan dia sendiri tidak menerima sebarang tawaran persembahan selama tiga bulan hanya kerana mahu menumpukan fokus kepada Shiha. "Apa yang penting sekarang adalah untuk melihat Shiha berjaya sebagai seorang penyanyi dan penghibur kerana dia memiliki pakej yang lengkap. Gelaran juara bukanlah penentu kejayaan seseorang kerana sejarah juga sudah membuktikan sebelum ini. Lihat sahaja bagaimana Faizal Tahir membina nama dan meluaskan pengaruh muziknya biarpun dia bukan juara One In A Million musim pertama," kata Sharifah Aini dalam nada tenang. Sementara itu, bagi Shiha atau nama sebenarnya Nurshiha Mohd Zikir dia bersyukur dengan kemenangannya di tempat kedua. Sambil mendedikasikan kemenangannya kepada arwah bapanya, Mohd Zikir Abdul Hamid, Shiha juga menyifatkan rezekinya pada malam itu sebagai membalas pengorbanannya selama ini. "Alhamdulillah, semua perit-jerih dan penat-lelah saya selama ini sudah berbalas. Terima kasih kepada Ummi (panggilan untuk Sharifah Aini) di atas segala tunjuk ajar selama saya menyertai Mentor 5. "Impian saya juga tercapai kerana dapat membawa ibu saya menunaikan umrah," katanya yang akan bernaung di bawah syarikat rakaman Monkey Bone. Sebagai naib juara, Shiha memenangi wang tunai RM30,000, sebuah Vespa LX150 tajaan Naza World dan trofi manakala Sharifah Aini pula membawa pulang wang tunai RM30,000. Shiha yang sememangnya memiliki vokal yang cukup lunak itu telah menyampaikan lagu Kisah Hati (Alyah) serta berduet dengan juara Mentor 3, Black menerusi lagu Ghazal Untuk Rabiah dan Balqis. Malah, dia juga memukau audiens dengan lagu ciptaan Ajai, Bila Bertemu Mu. Pemenang tempat ketiga, Iqa atau nama sebenarnya, Nursyafiqah Nasratullah Mohd. Nor dan mentornya, Edry Abdul Halim pula memenangi wang tunai RM10,000. Secara automatik, Iqa kini bergelar artis naungan KRU Studios. Kesemua persembahan turut dinilai juri profesional iaitu Datuk Ramli MS selaku juri tetap, Azmeer dan Ziana Zain yang mewakili 50 peratus. Artikel lain yang berkaitan: Kak Pah Kecewa Komen Ramli (Harian Metro – Sabtu, 4 Jun 2011) Semi Final Mentor Sengit (Kosmo! – Sabtu, 21 Mei 2011) Tidak Mahu Emosi Terganggu (Harian Metro – Selasa, 17 Mei 2011) Shiha Penuhi Impian Bapa (Harian Metro – Jumaat, 13 Mei 2011) Anggap Shiha Seperti Anak Sendiri (Utusan Malaysia – Jumaat, 29 April 2011) Tak Mungkin Tarik Diri (Berita Harian – Rabu, 27 April 2011) Jangan Menyanyi Ikut Anak Tekak (Berita Minggu: Bi*Pop – 17 April 2011) Protege Masih Kekok (Harian Metro – Rabu, 16 Mac 2011) Enam Protege Miliki Kelebihan Tersendiri (Harian Metro – Rabu, 2 Mac 2011) |