TIDAK MAHU EMOSI TERGANGGU

oleh Esme Johari Wahab  (Harian Metro: Selasa, 17 Mei 2011)

Kak Pah tolak semua pandangan negatif bagi memastikan Shiha beri persembahan terbaik dalam Mentor 5

Gimik Edry Abdul Halim menghilang diri bersama protégé sebelum persembahan, nyata tidak membantu mendapat markah terbaik.  Sebaliknya, anak didiknya, Iqa menduduki tangga terbawah dengan 17 markah menjelang separuh akhir kedua Mentor 5, Ahad ini.  Dengan tiada penyingkiran, keputusan separuh akhir pertama menyaksikan Salma menerima markah tertinggi juri awam iaitu 20, diikuti Shiha (19), Ratnah (19) dan Iqa (17).  Bersiaran langsung menerusi TV3 dari Dewan Auditorium MBSA, Shah Alam, jam 9 malam, prot�g� dan mentor hadir dengan props serta gimik dan pelbagai tema dalam auditorium yang gamat dengan sorakan peminat masing-masing.

Shiha atau Nurshiha Mohd Zikir dikendali Datuk Sharifah Aini sementara Ratnah Awal (Ratnah) mendapat tunjuk ajar Afdlin Shauki sementara Salma dibimbing Erra Fazira.  Kepada juri profesional, Datuk Ramli MS dan juri undangan dari Indonesia, Marcell, sempat memuji Shiha dan menganggap lontaran vokal dan gimik peserta memiliki kekuatan masing-masing.

Kata Edry, dia berpuas hati dengan persembahan Iqa yang membawakan arahan dengan baik terutamanya fokus terhadap nada vokal.  "Sebelum menghiburkan orang lain, paling penting kami perlu menghiburkan diri sendiri dulu.  Saya tiada masalah dengan Iqa terutamanya tahap vokal solo dipamerkan kerana dia bersikap profesional dan saya pula bersikap terbuka mengambil penilaian diberikan juri terhadap kekurangan terhadap Iqa.  Apa yang penting, saya tidak mahu protégé cepat berpuas hati, mengharapkan ganjaran serta-merta atau taksub dengan pencapaian sekarang.  Peluang sama rata dan masih ada ruang perbaiki persembahan pada separuh akhir kedua lebih mencabar Ahad ini," katanya.

Sharifah Aini atau mesra dengan panggilan Kak Pah, tampil dengan baju ungu bertudung, kelihatan serius ketika saingan empat penjuru tinggal satu pusingan.  "Saya tolak tepi semua pandangan negatif kerana tidak mahu emosi Shiha terganggu.  Buat masa ini, semua empat peserta berpeluang sama rata dan semuanya layak ke final.  Props sangat penting pada peringkat ini untuk memberi impak, jika tidak ia menjadi seperti 'talentime'," katanya.

Afdlin berkata, dia memang memilih lagu Seksis yang dipopularkan Anita Sarawak untuk Ratnah kerana boleh ada lenggok dan dia pula memang jenis penyanyi suka bergerak.  "Apa dilakukannya sekarang ada 'attitude' dan harap saingan kedua lebih baik," katanya.  Erra pula mengatakan persembahan akan diperkemaskan mengikut apa yang patut dibuat.

Sementara itu, Ramli berkata, setiap peserta ada karakter masing-masing.  Ada peserta membawa lagu dengan baik, tetapi tidak sampai tahap diharapkan.  "Ada lagu dibawa sampai matlamat namun tidak mencapai kualiti lebih tinggi kerana vokal tidak sampai ke tahap itu.  Jika boleh, elak kesilapan halus yang menjejaskan prestasi persembahan," katanya.

Shiha mendendangkan lagu Memori Tercipta (Sheila OIAM) sebelum berduet dengan mentornya, Datuk Sharifah Aini dengan medley lagu beliau sendiri Hapuslah Air Matamu dan Sabar Menanti (Broery Marantika).  Tampil dengan lagu Sedalam Mana Cintamu (Safura) berlatar montaj pemain saksofon hitam putih, Salma berduet hebat dengan Erra Fazira dengan gaya kabaret 60-an menyampaikan lagu Penipu (Rini).  Iqa, disifatkan oleh juri profesional memiliki IQ pada persembahan kali ini, menyampaikan lagu Khatimah Cinta (Sixth Sense) diberi susunan baru elemen budaya etnik bersama cak lempong dan kompang.  Apapun, Edry hadir dengan gimik menghilangkan diri sebelum persembahan, keluar dengan kereta mini pink dan gaya hip-hop bersama Iqa sewaktu mendendangkan lagu Kitalah Bintang (Ella).

Dengan imej bertopeng Zorro, Ratnah beraksi solo membawakan medley Bukannya Aku Takut (Mulan Jameela)/ Seksis (Anita Sarawak).  Dengan gaya bidadari bersayap, dia kemudian berpadu suara bersama Afdlin dengan iringan tiga pemuzik gaya orang buta dan intro Stevie Wonder menyampaikan lagu Sudah Kahwinkah Belum (Saloma) / Inikah Cinta (M.E).

Final Mentor 5 akan berlangsung di Stadium Malawati Shah Alam pada 29 Mei depan.

Artikel lain yang berkaitan:

  Kak Pah Kecewa Komen Ramli (Harian Metro Sabtu, 4 Jun 2011)

  Gelaran Juara Bukan Penentu (Utusan Malaysia Rabu, 1 Jun 2011)

  Semi Final Mentor Sengit (Kosmo! Sabtu, 21 Mei 2011)

  Shiha Penuhi Impian Bapa (Harian Metro Jumaat, 13 Mei 2011)

  Anggap Shiha Seperti Anak Sendiri (Utusan Malaysia Jumaat, 29 April 2011)

  Tak Mungkin Tarik Diri (Berita Harian Rabu, 27 April 2011)

  Jangan Menyanyi Ikut Anak Tekak (Berita Minggu: Bi*Pop 17 April 2011)

  Protege Masih Kekok (Harian Metro Rabu, 16 Mac 2011)

  Enam Protege Miliki Kelebihan Tersendiri (Harian Metro Rabu, 2 Mac 2011)