SHARIFAH AINI INGIN TERUS MEMBANTU

oleh Norliza Mohamad Zakaria  (Utusan Malaysia: Rabu, 30 Jun 2010)

Perjalanan seni biduanita bersuara emas, Datuk Sharifah Aini yang kini menjangkau ke-42 tahun masih belum menunjukkan tanda-tanda penamat.  Bagi Sharifah Aini atau mesra disapa Kak Pah selagi ada kudrat dan berkemampuan melantunkan suara selagi itulah dia akan terus bersenandung bagi menghiburkan peminat.  Apatah lagi, kini dalam usaha beramal membantu rumah-rumah kebajikan dan sekolah-sekolah tertentu, Kak Pah mengharapkan agar usahanya itu sentiasa diberkati Ilahi agar dibukakan jalan untuknya terus menghulurkan bantuan.

Rantaian persembahan yang dilakukan olehnya sejak tahun lalu dilakukan atas dasar beramal.  Apa yang cukup memberi kepuasan pada dirinya ialah hasrat untuk membantu dilunaskan pada persembahan Sharifah Aini And Friends yang berlangsung di Hotel Concorde, Kuala Lumpur bersama penyanyi jemputan, Anuar Zain dan Adibah Noor pada penghujung November tahun lalu.

Meneruskan usaha tersebut, Kak Pah menerusi syarikat Seri Dewi Production Sdn. Bhd., dan Lime Events Management atas sokongan Hotel Concorde, Kuala Lumpur bakal menganjurkan malam amal, Malam Juitaku Sayang yang bakal menyaksikan gandingan biduanita itu dengan Datuk Ahmad Jais.  Persembahan yang dijadualkan berlangsung di Dewan Perdana Felda pada 15 Oktober pukul 8 malam itu diadakan bagi menyalurkan sumbangan kepada dua sekolah agama iaitu Madrasah Tahfiz Baitul Mahabbah, Shah Alam yang dihuni seramai lebih 40 pelajar.  Sebuah lagi sekolah ialah Darul Uloom Islamiah, Surau Jamal Assurur, Taman Seri Petaling, Kuala Lumpur yang didiami oleh 40 pelajar.

Bercerita tentang persembahan tersebut, Kak Pah pada sidang akhbar yang berlangsung di Spices Restaurant, Hotel Concorde baru-baru ini memberitahu, ia sebahagian usahanya dalam membantu 15 buah sekolah.  Sasarannya ialah menjual antara 60 hingga 80 buah meja dalam persembahan tersebut.  Gembira dapat bergandingan dengan Ahmad Jais, selain mengembalikan nostalgia lagu-lagu lama, penonton yang hadir juga bakal dibuai dengan keasyikan irama serta konsep Melayu yang bakal ditonjolkan dalam persembahan tersebut.

"Insya-Allah saya akan menyanyikan lebih 20 buah lagu termasuk satu atau dua lagu hari raya bersama Ahmad Jais memandangkan persembahan ini berlangsung pada penghujung Aidilfitri nanti.  Sehingga kini kami telah berjaya menjual sebanyak 15 buah meja.  Apa yang saya harapkan ialah dapat mengumpul dana dalam usaha membantu dua sekolah tersebut dan semoga Allah panjangkan lagi rezeki saya untuk membantu selepas ini.  Sasaran saya ialah dapat beri setiap sebuah sekolah yang saya bantu sekurang-kurangnya RM20,000 pun saya dah rasa sangat bersyukur," katanya.

Bagi Ahmad Jais pula, jemputan untuk sama-sama membantu mengumpul dana dalam persembahan tersebut merupakan sesuatu yang cukup menggembirakan.  Tambahnya, inilah peluang untuk beliau berkongsi pentas dan membuat persembahan secara duet dengan Sharifah Aini selepas kali terakhir pada tahun 1973 iaitu 37 tahun lalu.  "Saya menyokong usaha dia dalam membantu pihak-pihak yang dia rasa perlu membantu.  Mudah-mudahan usaha kami diberkati.  Dalam persembahan ini saya berjanji akan berikan yang terbaik dan menyampaikan lagu-lagu yang memang diingati oleh ramai peminat," katanya.

Ahmad Jais akan menyanyikan lapan hingga 10 lagu termasuk lagu hari raya serta duet bersama Sharifah Aini.  Antara lagu-lagu tersebut ialah Budi Setahun Segunung Intan, Dari Hati Ke Hati dan Juitaku Sayang.  Kepada yang berminat menyaksikan persembahan tersebut, tempahan meja boleh dibuat di talian 019-3488054 atau 012-9332373.  Sebarang pertanyaan atau maklumat lanjut boleh dihantarkan kepada limeevent@gmail.com atau fakskan ke talian faksimili 03-79568557.  Tiket-tiket dijual pada harga RM7,500 semeja atau RM750 seorang (untuk meja korporat), RM4,500 (RM450 seorang), dan RM3,500 (RM350 seorang).

Artikel lain yang berkaitan:

  Kenangan Indah Peminat Kak Pah (Berita Minggu: B*Pop – 7 November 2010)

  Lega Janji Sudah Tertunai (Berita Harian – Khamis, 4 November 2010)

  Aura Kak Pah, Ahmad Jais Sukar Dilawan (Harian Metro – Selasa, 2 November 2010)

  Duit Persembahan Untuk Pelajar Tahfiz (Berita Minggu: B*Pop – 24 Oktober 2010)

  Malam Juitaku Sayang Ditunda 31 Oktober (Berita Minggu: B*Pop – 3 Oktober 2010)

  Kak Pah Ajak Syazliana Berduet (Berita Minggu: B*Pop – 5 September 2010)

  Sharifah Aini Teruskan Misi Amal (Berita Harian – Selasa, 6 Julai 2010)

  Duet Kak Pah, Ahmad Jais (Harian Metro – Khamis, 24 Jun 2010)