MALAM JUITAKU SAYANG DITUNDA 31 OKTOBER

oleh Raja Nurfatimah Mawar Mohamed  (Berita Minggu: B*Pop, 3 Oktober 2010)

Ahmad Jais bangga dapat padu suara dengan Sharifah Aini selepas 37 tahun

Selepas lebih 37 tahun tidak berkongsi pentas, persembahan Majlis Makan Malam Amal: Malam Juitaku Sayang bakal menemukan dua permata seni negara, Datuk Sharifah Aini dan Datuk Ahmad Jais di Dewan Perdana FELDA, Kuala Lumpur pada Jumaat, 15 Oktober ini, jam 8 malam.  Selain dua penyanyi tersohor berkenaan, acara anjuran Seri Dewi Production Sdn Bhd dan Lime Events Management itu turut mendapat sokongan Hotel Concorde Kuala Lumpur turut menampilkan penyanyi remaja, Syazliana sebagai artis jemputan.   Sebelum ini, malam amal itu dijadualkan berlangsung pada Jumaat, 15 Oktober ini di Dewan Perdana FELDA, Kuala Lumpur.  Bagaimanapun atas masalah yang tidak dapat dielakkan, persembahan itu ditunda pada 31 Oktober ini.

Ini adalah persembahan amal yang keempat Datuk Sharifah Aini atau lebih mesra dengan panggilan Kak Pah sepanjang setahun setengah bagi membantu dua sekolah tahfiz iaitu Madrasah Tahfiz Baitul Mahabbah di Taman Bunga Negara, Seksyen 27, Shah Alam yang didiami 40 pelajar dan Darul Uloom Islamiah, Surau Jamal Assurur, Taman Seri Petaling untuk 42 pelajar.  Ahmad Jais berkata, dia kagum usaha Biduanita Negara itu dalam membantu sekolah tahfiz dengan menganjurkan persembahan amal seperti ini.  Bukan sesuatu yang mudah, tetapi Kak Pah sudah berjaya melaksanakan empat persembahan amal dalam tempoh satu setengah tahun.

"Saya mengenai Sharifah sejak tahun 1970-an lagi ketika beliau menang satu pertandingan nyanyian.  Ketika itu, saya masih di Singapura.  Kali terakhir kami berpadu suara dalam satu persembahan pada 1973.  Dulu mana ada konsert besar, hanya persembahan kecil.  Saya berbesar hati Sharifah masih mengingati saya dan mahu berkongsi pentas dengan saya selepas lebih 37 tahun tidak berpadu suara.  Bukan mudah nak menyanyi dengan Sharifah, beliau antara penyanyi tersohor yang masih kekal populariti.

"Apabila diundang bersama untuk menjayakan persembahan amal ini, saya pastinya tidak akan menolak, apatah lagi ia untuk disedekahkan kepada sekolah tahfiz dan mereka yang tidak berkemampuan.  Kami akan berpadu suara menerusi lagu Juitaku Sayang, Budi Setahun Segunung Intan, Joget Mengikat Janji, manakala saya akan menyampaikan lagu solo seperti Di Ambang Sore, Lambaian Terakhir, Cenderawasih, Kini Hatiku Telah Tertawan dan beberapa lagu lagi," katanya ketika dihubungi B*POP.

Sementara itu, Kak Pah berkata, dia menganggap persembahan amal Malam Juitaku Sayang yang namanya diberikan oleh seorang teman baik, Roslen Fadzil yang juga Editor Hiburan Harian Metro adalah sesuatu istimewa kerana bakal menggandingkan anak seni dua generasi.   "Sudah lama tidak mendengar suara lunak merdu, Ahmad Jais.  Kali terakhir Ahmad membuat persembahan di Istana Budaya.  Saya pasti peminat Ahmad pasti tertunggu-tunggu kemunculannya.  Begitu juga Syazliana, penyanyi remaja yang berbakat besar.  Saya percaya gandingan dua generasi ini bakal menghangatkan persembahan amal ini.

"Saya menjangkakan kira-kira 500 tetamu akan menghadiri persembahan amal ini.  Alhamdulillah, setakat ini, saya menerima respon yang baik, apatah lagi persembahan ini bukan show biasa, sebaliknya mengumpul dana untuk membantu sekolah tahfiz.  Kebanyakan anak yang dihantar belajar di dua sekolah ini adalah anak yatim, miskin dan tidak berkemampuan, tetapi mereka adalah bakal penghafaz al-Quran.  Sebelum ini, saya mengadakan persembahan amal untuk membantu satu sekolah tetapi kali ini, saya menggabungkan dua sekolah.  Sebab itulah saya memilih sekolah tahfiz yang agak besar.  Saya hanya mengharapkan impian membantu pelajar tahfiz ini tercapai.  Saya mendapati 15 sekolah tahfiz sekitar Lembah Klang yang sangat memerlukan bantuan.

"Walaupun berdepan pelbagai rintangan, saya tidak akan mengalah dan menggunakan kudrat yang ada untuk membantu mereka.  InsyaAllah, selepas Malam Juitaku Sayang selesai, saya mungkin mengadakan persembahan amal seumpamanya di negeri kelahiran saya, Johor pula," katanya.  Kak Pah berkata, dia bersyukur dapat menunaikan hasrat apabila sudah menyerahkan wang tunai RM50,000 kepada dua sekolah tahfiz yang daif dan sangat memerlukan tidak lama dulu.

"Untuk menganjurkan persembahan amal memerlukan kos yang besar antara RM150,00 hingga RM170,000.  Bagaimanapun, pulangan tidak besar kerana ia membabitkan bayaran artis jemputan, pemuzik, sound system, penyanyi latar, studio latihan dan pelbagai lagi.  Jujurnya, saya pula hanya menyanyi secara percuma.  Hingga hari ini, saya tidak mengenakan apa-apa bayaran kerana niat saya mahu membantu anak-anak ini.  Walaupun ada kala saya terkilan kerana susah mendapat kerjasama, tetapi saya akan teruskan usaha ini.  Saya tidak akan mengalah dalam mengejar saham untuk akhirat.  Bakat dan suara yang dianugerahkan seharusnya digunakan untuk membantu mereka yang tidak bernasib baik, bukan hanya mengejar kemewahan duniawi," katanya dengan senyuman penuh makna.

Artikel lain yang berkaitan:

  Kenangan Indah Peminat Kak Pah (Berita Minggu: B*Pop – 7 November 2010)

  Lega Janji Sudah Tertunai (Berita Harian – Khamis, 4 November 2010)

  Aura Kak Pah, Ahmad Jais Sukar Dilawan (Harian Metro – Selasa, 2 November 2010)

  Duit Persembahan Untuk Pelajar Tahfiz (Berita Minggu: B*Pop – 24 Oktober 2010)

  Kak Pah Ajak Syazliana Berduet (Berita Minggu: B*Pop – 5 September 2010)

  Sharifah Aini Teruskan Misi Amal (Berita Harian – Selasa, 6 Julai 2010)

  Sharifah Aini Ingin Terus Membantu (Utusan Malaysia – Rabu, 30 Jun 2010)

  Duet Kak Pah, Ahmad Jais (Harian Metro – Khamis, 24 Jun 2010)