DUET KAK PAH, AHMAD JAIS oleh Ridzuan Abdul Rahman (Harian Metro: Khamis, 24 Jun 2010) |
Usaha ini bukan baru bermula kerana acapkali penyanyi lagu Bunga Tanjung dan Terbang Helang ini akan mencuri masa melakukan kerja amal untuk mereka yang memerlukan tanpa mengharapkan sebarang balasan. Terbit kepuasan dalam dirinya apabila membantu golongan ini. Bagaimanapun, menyedari sukar untuk mengumpul dana secara sendirian, Sharifah Aini tampil dengan idea menjayakan persembahan eksklusif yang setiap kali diadakan, sering mendapat sambutan hangat daripada penggemarnya. Dari situlah, dia dapat mengagihkan kutipan diperoleh kepada sekolah tahfiz yang dikenal pasti. Terbaru, penyanyi yang kekal anggun ini bakal tampil menjayakan Majlis Makan Malam Amal Malam JuitaKu Sayang yang akan berlangsung di Dewan Perdana Felda pada 15 Oktober nanti. Lebih menarik, majlis anjuran Seri Dewi Production Sdn Bhd dan Lima Events Management yang turut mendapat sokongan Hotel Concorde Kuala Lumpur ini, turut menampilkan Datuk Ahmad Jais sebagai gandingannya. "Biasanya saya akan buat majlis bagi kumpul dana untuk satu sekolah. Bagaimanapun, kerana tempat persembahan ini lebih besar, saya akan buat untuk dua sekolah sekali gus iaitu untuk Madrasah Tahfiz Baitul Mahabbah, Seksyen 27, Shah Alam yang mempunyai 40 penghuni dan Darul Uloom Islamiah, Taman Seri Petaling, Kuala Lumpur yang mempunyai 42 orang penghuni.
Seringkali golongan sasaran bagi menyaksikan persembahan beliau ialah golongan korporat. Bagaimanapun, Sharifah tidak mahu peminat tersalah anggap maksudnya. Bukan menidakkan keupayaan pembeli biasa untuk menonton, namun daripada kajian yang dilakukan, golongan ini lebih mampu membayar harga yang dikenakan. Pasaran untuk konsert sebegini bukan besar sangat. Kalau boleh, saya nak buat tiap-tiap bulan untuk kutip dana buat sekolah tahfiz, tapi ia memang sukar dilakukan. Macam untuk konsert ini, saya sasarkan nak jual dalam 60 hingga 80 meja. Harga yang ditetapkan untuk menonton persembahan ini adalah RM3,500, RM4,500 dan RM7,500. "Jadi, kami nampak golongan ini yang boleh beri sokongan terhadap konsert ini. Baru-baru ini pun, saya buat konsert di Hotel Concorde dan dihadiri 300 peminat. Saya dapat kumpul RM25,000 untuk didermakan kepada sekolah tahfiz. Tujuan saya buat di tempat besar juga kerana nak kutip lebih banyak dana. Untuk anjurkan konsert sebegini memang perlukan kos besar. Saya pernah buat Up Close yang menampilkan Adibah Noor dan Anuar Zain dengan memperuntukkan kos lebih RM100,000. Pulangannya tak besar tapi saya pandang pada niat saya yang akan dinilai di akhirat nanti. Masyarakat perlu faham kos yang perlu dikeluarkan untuk persembahan sebegini agak tinggi. Saya tak ambil kesempatan dan perlu bayar pemuzik juga kerana perlu profesional dalam kerja. Lagipun hidup mereka bukan mewah sangat. Mungkin saya akan fikirkan untuk buat persembahan pada skala kos yang lebih kecil bagi memberi lebih peluang kepada peminat golongan biasa menyaksikannya," katanya. Mengulas persembahan yang bakal ditampilkan pada malam itu, Sharifah Aini memberitahu, dia akan menyampaikan 25 lagu dan berduet dengan Ahmad Jais untuk tiga lagu. "Gandingan kami sangat menarik kerana kali terakhir kami bersama pada 1973. Kami sedang merancang untuk berduet lagu yang menarik antaranya Hati Ke Hati. Saya pasti ramai yang tak sabar melihat gandingan kami. Sebenarnya, saya sangat bersyukur kerana setiap kali buat persembahan, akan ada peminat setia yang turun padang bagi memberi sokongan. Peminat ini bukan saja dari Kuala Lumpur, malah datang dari Sabah, Singapura dan Brunei. Jadi saya memang tak berkira untuk menyanyi menghiburkan mereka," katanya. Peminat yang ingin membuat tempahan tiket atau bertanyakan perkembangan lanjut mengenai persembahan ini, boleh berbuat demikian dengan menghubungi talian 019-3488054 atau 012-9332373 atau menghubungi e-mel limeevent@gmail.com. Artikel lain yang berkaitan:
|