AURA KAK PAH, AHMAD JAIS SUKAR DILAWAN oleh Norhadiani Baharom (Harian Metro: Selasa, 2 November 2010) |
Mungkin segelintir pihak berasa pelik apabila penghibur bersuara lunak merdu ini masih mahu mengadakan persembahan pada saat beliau sibuk membuat persiapan menunaikan haji. Namun andai diamati secara halus segala yang dilakukan Kak Pah adalah tanda komited seseorang penghibur yang ikhlas terhadap kerjayanya dan mengumpul dana bagi anak-anak tahfiz. "Mungkin ada yang tertanya-tanya, mengapa saya masih mahu membuat persembahan sedangkan tiga hari saja lagi saya akan berangkat ke Makkah. Tarikh persembahan ini pada mulanya lebih awal lagi namun terpaksa ditukar tarikh dan lokasi atas sebab tertentu. Apabila sudah berpindah tarikh, saya mesti berpegang kepada janji. Saya tidak sampai hati untuk menghampakan peminat yang sudah membeli meja untuk persembahan malam ini. Saya mahu lapangkan fikiran apabila menunaikan haji dan tidak perlu fikirkan soal kerja lagi memandangkan saya sudah melunaskan tanggungjawab saya dengan peminat dan promoter," jelasnya pada sidang media selepas itu. Kak Pah berkata, persembahan yang dibawakan syarikatnya, Seri Dewi Productions dan Lime Event Management itu bertujuan mengumpul dana untuk disalurkan kepada Madrasah Tahfiz Baitul Mahabbah dan Darul Uloom Islamiah. "Persembahan malam ini bukanlah hiburan semata-mata tapi ada tanggungjawab yang dibawa bersama iaitu kita berhibur sambil beramal. Sebahagian wang akan disalurkan kepada madrasah terbabit untuk membiayai pengajian seramai 40 anak-anak di situ," jelasnya. Menyingkap kembali persembahan eksklusif itu, Kak Pah mengalunkan lebih 30 lagu termasuk secara medley. Tiada apa yang boleh disangkal mengenai kehebatan vokal beliau yang lunak merdu. Kak Pah tetap bertenaga dan semakin matang dalam nyanyian.
Beliau terus memukau dan memaku penonton apabila memperdengarkan lagu evergreen P Ramlee, Di Mana Kan Ku Cari Ganti sebelum melagukan pula Di Malam Persandingan. "Lagu ini dirakamkan pada 1972. Apabila ada majlis pernikahan dan persandingan, ramai yang suka mainkan lagu ini," katanya yang anggun menggayakan gaun rekaan Ezuwan Ismail. Persembahan Kak Pah dihangatkan lagi dengan lagu-lagu seperti Inikah Balasannya, Penyakit Cinta, Juitaku Sayang, Perigi Biru dan Hey. Manakala Sabar Menanti dan Jatuh Cinta dipersembahkan dengan iringan piano oleh Faizal Uzir yang juga selaku pengarah muzik. Suasana bertukar menjadi bertambah panas sebaik saja intro muzik lagu-lagu medley 70-an bergema sekali gus membawa penonton mengimbau zaman kegemilangannya yang bakal menghasilkan album ke-99 dan 100 tidak lama lagi. Kini Hatiku Telah Tertawan, Dari Masa Hingga Masa, Cemburu, Jangan Tinggalkan Daku dan Ingatan Manis Di Bulan September turut melonjakkan keinginan peminat menari bersama. Seterusnya pemegang rekod artis rakaman paling lama bertahan di bawah naungan EMI selama 38 tahun ini menyampaikan pula seleksi lagu tradisi seperti Empat Dara, Zapin Budi dan Bunga Tanjung selain Oh Di Mana, Kenangan Indah dan Biar Masa Menentukan.
Syazliana yang akhir-akhir ini seakan menyepi daripada publisiti media membawakan lagu Hob Kbeer, Kau Indah dan medley yang merangkumkan lagu pernah dipopularkan Fauziah Latiff dan Francisca Peter iaitu Dia, Diriku Terbelenggu dan Sekadar Di Pinggiran. Datuk Ahmad Jais dengan vokal sehebat dulu berjaya mengubat rindu peminat dengan lagu popular beliau seperti Gelisah, Cenderawasih, Umpan Jinak Di Air Tenang, Lembaran Terakhir dan Di Ambang Sore. Dapat dirasakan aura Kak Pah mahupun Ahmad Jais malam itu begitu hebat dan masih sukar dilawan artis-artis masa kini. Artikel lain yang berkaitan:
|