SHARIFAH AINI TERUSKAN MISI AMAL oleh Rozdan Mazalan (Berita Harian: Selasa, 6 Julai 2010) |
Bergandingan Dengan Ahmad Jais 42 tahun menempuh onak dan ranjau bergelar anak seni, pelbagai dugaan dan cabaran sudah dilalui biduanita negara, Datuk Sharifah Aini. Sebahagiannya manis dirasa, manakala sebahagian lagi menyeksakan jiwa. Begitupun, sebagai anak seni, dia sememangnya bersedia berdepan segala dugaan dunia. Kini hidupnya bukan lagi mahu mengejar duniawi, selepas puas melawan perasaan yang kecewa sepanjang empat dekad yang lalu. Sebaliknya niat murni yang disimpan sejak dulu untuk membantu anak-anak tahfiz dan madrasah yang tidak mendapat perhatian daripada pihak berwajib, akan dilaksanakan.
Justeru, Majlis Makan Malam Amal: Malam Juitaku Sayang bakal menyusul 15 Oktober depan yang akan diadakan di Dewan Perdana Felda, Kuala Lumpur, bermula jam 8 malam. Kak Pah berkata, majlis yang diadakan bertujuan untuk membantu dua sekolah tahfiz iaitu Madrasah Tahfiz Baitul Mahabbah, Shah Alam yang didiami 40 pelajar dan Darul Uloom Islamiah, Taman Seri Petaling (42 pelajar). "Sebelum ini saya mengadakan majlis amal untuk membantu satu sekolah saja, tetapi kali ini saya gabungkan dua sekolah sekali gus dan sebab itulah saya memilih lokasi yang agak besar dan berharap sangat hasrat membantu anak-anak tahfiz ini tercapai. Saya sudah membuat sedikit kajian dan mendapati ada kira-kira 15 sekolah tahfiz sekitar Lembah Klang yang sangat memerlukan bantuan. Saya pula akan terus menggunakan kudrat yang ada untuk membantu mereka dengan persembahan amal yang dilakukan seperti Malam Juitaku Sayang nanti. Selepas semuanya selesai, saya juga berniat untuk mengadakan persembahan amal bagi membantu beberapa sekolah tahfiz di negeri kelahiran saya, Johor," kata penyanyi sepanjang zaman yang memilik suara lemak merdu ini. Beliau yang terkenal menerusi lagi Bunga Tanjung dan Terbang Helang baru saja selesai mengadakan persembahan amal di Hotel Concorde dan dihadiri 300 peminat. "Alhamdulillah saya dapat mengumpul RM25,000 untuk didermakan kepada sekolah tahfiz. Tujuan saya adakan persembahan di tempat besar juga kerana saya ingin memungut lebih banyak dana. Untuk anjurkan konsert sebegini pula memang memerlukan kos besar. Saya pernah anjurkan konsert yang menampilkan Adibah Noor dan Anuar Zain dengan memperuntukkan kos lebih RM100,000. Pulangannya tidak besar tapi saya pandang pada niat saya yang akan dinilai di akhirat nanti. Masyarakat perlu faham kos yang perlu dikeluarkan untuk persembahan sebegini agak tinggi. Saya tak ambil kesempatan. Banyak pihak yang perlu dibayar seperti pemuzik. Kita perlu sentiasa bersikap profesional dalam kerja," katanya. Majlis Makan Malam Amal: Malam Juitaku Sayang anjuran Seri Dewi Production Sdn Bhd dan Lime Events Management turut mendapat sokongan Hotel Concorde Kuala Lumpur akan menampilkan Datuk Ahmad Jais sebagai artis jemputannya. Mungkin Ada Lagu Raya Sementara itu, Ahmad Jais berkata, kali terakhir beliau bergandingan bersama Kak Pah adalah pada 1973 dan persembahan amal ini pula bakal menyaksikan dirinya berduet tiga atau empat lagi bersama biduanita terbabit. "Saya diminta untuk menyampaikan lapan hingga 10 lagu termasuk lagu duet yang berkonsepkan lagu kemelayuan. Memandangkan persembahan itu akan diadakan selepas Aidilfitri, mungkin ada lagu raya akan disampaikan sama. Saya sebenarnya cukup kagum dengan usaha yang dilakukan Kak Pah dalam membantu sekolah tahfiz dengan persembahan amal seperti ini. Atas usaha murninya itu saya juga mendoakannya agar beliau sentiasa berjaya di dalam hidup, dimurahkan rezeki, dikurniakan kesihatan dan cepat bertemu jodoh," katanya berseloroh diiringi gelak tawa. INFO MALAM JUITAKU SAYANG
Artikel lain yang berkaitan:
|