Dalam sesuatu persembahan, Datuk Sharifah Aini sememangnya 
	tidak menghampakan.  Persembahan Malam Juita Ku Sayang yang 
	berlangsung di Pacific Ballroon, Hotel Seri Pacific menjadi bukti aura ikon 
	seni yang cukup akrab dipanggil Kak Pah tetap kuat untuk 'memancing' tumpuan 
	ramai.  Tidak 
	perlu bertukar persalinan berulang kali atau menghias pentas dengan gah.  
	Cukup sekadar membariskan tiga penyanyi latar serta enam pemuzik pengiring 
	berpengalaman, persembahannya tetap membuatkan bulu roma meremang dek 
	kelunakan vokalnya. 
	Malam Juita Ku Sayang merungkai sisi insan bernama Sharifah Aini 
	Syed Jaafar bergelar selama penghibur 42 tahun.  Biarpun tinggi sanjungan 
	peminat, di sudut hatinya memohon supaya tidak sesekali rasa angkuh 
	bercambah dalam diri.
		"Lagu Terbang Helang penuh maksud tersirat.  Ada individu sudah berada 
	di atas tidak mahu menjenguk ke bawah 
		
		– sombong dan bongkak.  Ia 
	menjadi ingatan kepada semua, terutama diri saya sendiri supaya tidak mudah alpa," katanya sebelum menyampaikan 
	dendangan nukilan Khairil Johari Johar.  Hampir 35 pilihan lagu yang 
	diperdengarkan pada malam itu juga difahamkan ada beberapa di antaranya 
	jarang diperdengarkan di khalayak semata-mata mahu memberi kelainan khusus 
	buat peminat tegar Sharifah Aini.  Paling menghangatkan dewan tentu 
	saja rangkaian rancak 
		
		– Zapin Budi, Empat Dara dan 
		Ingatan 
	Manis Di Bulan September yang membuatkan beberapa kelompok penonton 
	bangun bergoyang sama malah sesekali Sharifah Aini turun ke bawah untuk 
	bersama hadirin.
	
	
	
Lagu 
	pilihan yang membuatkan penonton tidak senang duduk termasuk Sayangku (I 
	Do, I Do, I Do), Setulus Cinta, Rahsia Hati, Penyakit 
	Cinta selain sebuah bingkisan yang turut berkaitan dengan sejarah 
	perkahwinannya, Inikah Balasannya.  "Allah menjadikan saya begitu 
	kuat.  Saya pernah melalui perceraian namun masih mampu memandang ke 
	depan malah bersyukur diberi kesempatan menabur bakti kepada insan lain," 
	katanya sebelum membawakan Inikah Balasannya dan Di Malam Persandingan.  
	Enggan membiarkan hadirin dibuai syahdu, bintang peramah itu sempat 
	berjenaka sebelum menyanyikan sebuah lagu lama berjudul Malam Dendangan 
	Ria.  "Masa itu badan Kak Pah separuh daripada sekarang.  Apa pun 
	fizikal Kak Pah mungkin berubah tetapi Kak Pah tetap Sharifah Aini yang dulu," 
	katanya disambut sorakan gemuruh peminat.  Kata penghargaan tidak lekang dari 
	bibirnya.  Mengucapkan terima kasih di atas sokongan peminat, sahabat 
	karib dan tidak ketinggalan insan terdekatnya, Mus selaku pembantu setia 
	yang tinggal sebumbung sejak 19 tahun lalu malah tanpa berkira, Mus itulah 
	yang dibawa menunaikan fardu Haji.
	
	Pada 
	sidang media yang diadakan selepas persembahan berakhir kira-kira jam 1 pagi, 
	Kak Pah berkata, Malam Juitaku Sayang bermatlamat membantu insan 
	memerlukan iaitu penghuni Madrasah Tahfiz Baitul Mahabbah dan Darul Uloom 
	Islamiah.  "Alhamdulillah segala-galanya lancar.  Sekarang fikiran 
	saya sudah lapang kerana janji kepada penghuni kedua-dua rumah terbabit 
	sudah dilunaskan dan kami akan menyerahkan dana itu sendiri sebelum 
	menunaikan fardu Haji," katanya.
	
	
	
Penghibur 
	kesayangan ramai itu dijangka pulang daripada Makkah pada 21 Disember ini 
	dan selepas itu kembali memenuhi undangan pentas tambahan pula syarikatnya 
	kini masih berkira-kira sama ada menerima tawaran ke Sabah atau sebaliknya.  
	"Ramai yang meminta Malam Juita Ku Sayang dibawa ke Sabah atau 
	Sarawak tetapi kosnya agak tinggi kerana rombongan kami hampir 30 orang 
	termasuk pemuzik dan penyanyi latar.  Jika untuk malam ini saja peruntukan 
	mencecah RM150,000, bayangkan kos yang perlu dikeluarkan untuk ke Sabah atau 
	luar negara," ceritanya lagi dengan bersemangat.
	
	Terdahulu, MJKS turut menampilkan Datuk Ahmad Jais bersama barisan lagu 
	popularnya termasuk Cenderawasih,
	Gelisah,
	Di Ambang Sore 
	dan Lambaian Terakhir 
	yang mendapat tepukan gemuruh sebelum berduet dengan Kak Pah menerusi lagu
	Juitaku Sayang.  Penyanyi remaja, Syazliana membuka tirai acara 
	selama setengah jam bersama lagu Kau Indah,
	Dia,
	Diriku Terbelenggu 
	dan Sekadar Di Pinggiran 
	juga berpeluang berkongsi pentas dengan idolanya sebelum Kak Pah 
	meninggalkan pentas tiga lagi lagu pilihan hadirin
	
	– Hey!, Burung 
	Pungguk dan Bunga Tanjong.
	
	Artikel lain yang berkaitan:
		
  
Kenangan Indah Peminat Kak Pah
	(Berita Minggu: B*Pop 
		
		– 7 November 2010)
  
Aura Kak Pah, Ahmad Jais Sukar Dilawan
	(Harian Metro 
– 
Selasa, 2 November 2010)
  
Duit Persembahan Untuk Pelajar Tahfiz
	(Berita Minggu: B*Pop 
– 24 Oktober 2010)
  
Malam Juitaku Sayang Ditunda 31 Oktober
	(Berita Minggu: B*Pop 
– 3 Oktober 2010)
  
Kak Pah Ajak Syazliana Berduet
	(Berita Minggu: B*Pop 
– 5 September 2010)
  
Sharifah Aini Teruskan Misi Amal
	(Berita 
		Harian 
– Selasa, 6 Julai 2010)
  
Sharifah Aini Ingin Terus Membantu
	(Utusan Malaysia 
– Rabu, 30 Jun 2010)
  
Duet Kak Pah, Ahmad Jais
	(Harian Metro 
– 
Khamis, 24 Jun 2010)