KENANGAN INDAH PEMINAT KAK PAH oleh Raja Nurfatimah Mawar Mohamed (Berita Minggu: B*Pop, 7 November 2010) |
Pada Majlis Makan Malam Amal: Malam Juitaku Sayang, Kak Pah bersama dua penyanyi undangan, Datuk Ahmad Jais dan Syazliana meninggalkan kenangan manis buat peminat, terutama pengikut setianya yang sanggup datang dari Singapura, Brunei Darussalam, Sabah, Sarawak dan seluruh pelusuk negara. Kak Pah menghiburkan lebih 400 tetamu selama hampir tiga jam tanpa henti dalam persembahan amal yang berlangsung di Hotel Seri Pacific pada malam minggu lalu. "Alhamdulillah, saya diberikan Allah swt kelebihan ini. Pengalaman menyanyi selama 42 tahun memungkinkan saya mampu melakukannya. Jujurnya, inilah diri saya. Menyanyi sekejap-sekejap memang rasa tidak puas, apatah lagi peminat yang mendengarnya. Sebenarnya malam ini sepatutnya saya berhenti menyanyi jam 11.30 malam, tetapi saya tidak sanggup menghampakan peminat, kesudahannya saya menyanyi lima lagu tambahan. Bagaimanapun, saya sudah menjangkakan, inilah yang selalu berlaku dalam setiap persembahan saya. Kalau ikutkan saya nak menyampaikan beberapa lagu berlainan, tetapi permintaan tetap pada lagu yang biasa saya nyanyikan seperti Bunga Tanjung, Seri Dewi Malam dan beberapa lagu lagi. Saya bersyukur walaupun tampil dengan tiga persembahan amal sepanjang satu setengah tahun tetapi ia tetap mendapat sokongan peminat," katanya yang ditemui B*Pop selepas persembahan. Kak Pah yang anggun mengenakan busana hitam rekaan Ezuwan Ismail berkata dia lega apabila tanggungjawabnya selesai. Duit kutipan persembahan akan diagihkan kepada Madrasah Tahfiz Baitul Mahabbah dan Darul Uloom islamiah, Surau Jamal Assurur, Taman Seri Petaling sebelum berangkat mengerjakan fardu haji. Beliau bersama adik angkatnya, Rosman Jasmi dan pembantunya, Muslikah Suhaimi berangkat ke Tanah Suci Makkah pada awal pagi Khamis lalu. "Jumlah kutipan tidak dapat dianggarkan lagi, jika tidak sempat saya akan mendahulukan wang saya dulu. Sungguhpun saya mengeluarkan bajet sebanyak RM160,000 untuk persembahan ini, masih ada keuntungan untuk diserahkan pada sekolah tahfiz ini. Apa yang penting, saya dapat membantu mengurangkan bebanan atau sekurang-kurangnya menggembirakan hati mereka sebelum mengerjakan haji. Saya ke Makkah agak lama, selama 50 hari, jadi hati saya tidak tenang jika belum menyerahkan wang kutipan. InsyaAllah, saya akan mengadakan tiga lagi persembahan tahun depan. Mungkin saya akan berseorangan dalam persembahan kali ini. Bagaimanapun, itu akan difikirkan selepas saya pulang mengerjakan haji pada Disember. Saya akui mendapat permintaan melakukan persembahan di luar Kuala Lumpur tetapi kosnya agak tinggi memandangkan kumpulannya melebihi 40 orang. Jika ada yang sudi menaja, saya akan mempertimbangkan," katanya.
Kak Pah turut mengundang peminat menyanyi dan menari ketika menyampaikan lagu medley, Kini Hatiku Telah Tertawan, Dari Masa Hingga Masa, Cemburu, Jangan Tinggalkan Daku dan Ingatan Manis Di Bulan September. Selain itu Kak Pah turut menyampaikan lagu, Jatuh Cinta, Zapin Budi, Empat Dara, Kau Pergi Tanpa Pesan, Seri Dewi Malam, Renungkanlah, Hey, Burung Pungguk dan Bunga Tanjung. Beliau turut berduet dengan Syazliana menerusi lagu Gitar Berbunyi. Alunan merdu dua penyanyi tersohor, Kak Pah dan Ahmad Jais diperdengarkan menerusi lagu duet, Joget Mengikat Janji dan Hati Ke Hati. Artikel lain yang berkaitan:
|