Diari Artis: SHARIFAH AINI (Siri Akhir)

oleh Dean  (Mingguan Malaysia: Pancaindera, 22 November 1998)

KONSERT TERBESAR TETAP MENJADI IMPIAN SHARIFAH AINI

Para peminat dan pembaca setia Pancaindera sudah mendengar pelbagai cerita suka duka yang dilalui oleh biduanita Sharifah Aini.  Kesemua cerita itu 'lahir' daripada mulut Sharifah Aini sendiri.  Pendedahan yang dibuatnya adalah sebagai satu cara untuk memberi peluang kepada para pembaca dan peminat setia Sharifah Aini mengetahui sejarah dan latar belakang hidupnya dengan lebih dekat lagi.  Sebagai mengakhiri ruangan yang cukup istimewa ini, beliau ingin melahirkan suara hatinya.  Katanya, apa yang ingin disuarakan ini merupakan apa yang terbuku jauh disanubarinya.  Malah dia juga ingin memberitahu kenyataan yang dikeluarkan ini juga dilihatnya dari kaca matanya sebagai seorang artis yang sudah menimba pelbagai pengalaman sepanjang bergelar penyanyi dan pelakon.

Selama tiga dekad mengharungi dunia seni, Sharifah Aini mengakui dia juga seperti manusia yang lain, belum menikmati kepuasan sepenuhnya hidup sebagai seorang artis.  Katanya, sebelum membuat keputusan untuk bersara di bidang seni, banyak perkara yang ingin beliau pastikan tercapai terlebih dahulu.  Mengadakan konsert besar-besaran merupakan impian dan cita-cita yang sudah lama diidamkan oleh Sharifah Aini.  Baginya, konsertlah satu-satunya 'medan' utama untuk para peminat mengukur sejauh mana kemampuan dan kehebatan seseorang penghibur itu.  Menurut Sharifah Aini, sudah lama dia menyimpan hasrat untuk mengadakan persembahan di sebuah konsert yang besar khusus untuk peminat setianya.

Selain itu, dalam usaha mamantapkan kedudukannya dalam bidang seni juga Sharifah Aini berkata, dia mahu terus menghasilkan album-album yang berkualiti.  Tegasnya sebagai seorang penghibur yang sudah 30 tahun menghambakan diri dalam dunia seni suara, adalah menjadi tanggungjawab untuk memastikan setiap produknya menepati kehendak pendengar seni.

Menyentuh mengenai penglibatan muka-muka baru dalam bidang seni pula, Sharifah Aini berkata, dia kadangkala kesal dengan sikap masyarakat peminat seni tanahair.  Katanya, sering terjadi dalam industri muzik tempatan, populariti seseorang artis khususnya wanita adalah kerana bersandarkan kepada wajah semata-mata dan bukannya kerana bakat seni yang dianugerahkan kepada mereka.  Berikutan itu, setiap penyanyi yang memiliki bakat seni yang baik tetapi kurang menyerlah pada soal kecantikan akan tertinggal di belakang.  Sebaliknya pula, bagi artis wanita yang muda serta jelita tetapi kurang menyerlah bakat seninya lebih diagung dan dipuja oleh peminat seni.

Jika keadaan ini berterusan, Sharifah Aini berkata, adalah tidak musathil, suatu hari nanti industri muzik tanah air akan dipenuhi oleh barisan pelapis yang tidak mempunyai nilai-nilai tersendiri sebagai penghibur.  Sambil menegaskan, syarikat rakaman perlu bertanggungjawab dalam soal ini, Sharifah Aini berkata, karyawan seni juga perlu bertanggungjawab mendidik masyarakat.  Sudah menjadi tanggungjawab semua karyawan seni untuk sama-sama mencari alternatif mendidik masyarakat supaya meminati seseorang penyanyi kerana bakatnya, bukan kecantikan semata-mata.  "Memang benar, kecantikan juga penting tetapi elemen itu sekadar satu bonus bagi seseorang artis itu," ujarnya penuh makna.

Dalam merancang kehidupannya pada masa depan pula, Sharifah Aini berkata, dia sentiasa memanjatkan doa ke hadrat Allah swt supaya dipanjangkan umurnya serta dimurahkan rezeki serta diberikan kekuatan kepadanya untuk terus menjalani hidup di samping anak-anaknya.  "Selepas menjalani hidup sebagai ibu tunggal, lebih banyak dugaan dan cabaran yang perlu saya tempoh dan untuk itu saya perlukan kekuatan dan sokongan untuk menjalani hidup masa depan saya," jelas Sharifah Aini lagi sambil memandang jauh mengenang masa depannya,

Dia juga berharap hubungannya dengan syarikat rakaman EMI akan terus berjalan lancar, begitu juga hubungan yang sedia terjalin antara dia dengan pihak media.  "Wartawan banyak membantu dalam perjalanan karier saya dan biarlah hubungan baik ini terus berkekalan," katanya lagi.  Mengenai sikap sesetengah pendatang baru dalam bidang seni yang suka menjadikan dirinya sebagai idola mereka, Sharifah Aini berkata, dia sebenarnya kurang senang apabila dirinya sering dijadikan bahan rujukan.

"Saya tidak suka dijadikan sebagai bahan rujukan untuk industri muzik.  Cukup sekadar masyarakat umum berpuashati dengan apa yang telah saya sumbangkan untuk hiburan mereka.  Itu sudah memadai bagi saya untuk merasa puashati sepanjang saya bergelar anak seni," katanya.  Sebelum menamatkan perbualan di ruangan istimewa ini, Sharifah Aini memohon seribu kemaafan daripada sesiapa sahaja yang mengenalinya, sekiranya ada sebarang keterlanjuran bicara.

Artikel ini diterbitkan dalam 8 Siri:

| Siri 1 |   | Siri 2 |   | Siri 3 |   | Siri 4 |   | Siri 5 |   | Siri 6 |   | Siri 7 |   | Siri 8 |