Diari Artis: SHARIFAH AINI (Siri 5)

oleh Dean  (Mingguan Malaysia: Pancaindera, 1 November 1998)

SHARIFAH AINI BINTANGNYA MULA BERSINAR DI MAJLIS KENDURI KAHWIN

Permulaan karier seni Sharifah Aini bermula di bawah khemah kenduri kahwin.  Nyanyiannya di majlis kenduri kahwin rumah Cikgu Leman bagaikan membuka satu lembaran baru dalam hidupnya.  Tiada siapa yang menyangka kanak-kanak kecil yang pernah melalui zaman kehidupan yang perit akhirnya berubah sama sekali.  Seterusnya dia mengorak langkah yang lebih berani dengan menerima tawaran daripada kumpulan Families yang menawarkan peluang menjadi penyanyi kepadanya.  Apatah lagi selepas mendapat kepercayaan daripada abahnya menyebabkan Sharifah Aini tidak tunggu lagi.

Sharifah Aini juga kemudiannya menyertai pertandingan menyanyi termasuklah yang dianjurkan oleh Radio Televisyen Singapura (RTS).  Impian ketika masih kecil juga akhirnya mendorong Sharifah Aini berhijrah ke ibu kota untuk mengembangkan bakat seninya.  Dengan berbekalkan wang saku RM75, dia merantau ke Kuala Lumpur.  Semenjak itu langkahnya terus ke hadapan tanpa menoleh ke belakang lagi.  Kerinduan pada keluarga pula kerap merantai hatinya kerana selama ini dia tidak pernah berjauhan daripada kedua-dua orang tuanya.  Namun demi cita-cita murni hatinya dicekalkan juga, Sharifah Aini nekad untuk maju ke hadapan.

Biarpun tujuan utamanya melangkah ke Kuala Lumpur semata-mata untuk mengembangkan bakat seninya, namun dia tidak lupa mengambil berat soal penampilan diri.  Minat dan hasrat Sharifah Aini untuk memperbaiki penampilan diri tidak pernah berkurangan.  Pada tahun 1972 beliau menyertai kursus secara persendirian selama tiga tahun untuk mendalami kemahiran bahasa Inggeris.  Gurunya seorang pensyarah di Universiti Malaya.  Tidak cukup dengan kemahiran berbahasa Inggeris, Sharifah Aini terus tekun mendalami pelbagai bidang pengetahuan.

Pada tahun 1975 dia melangkah pula ke dunia teknik dandanan, solekan dan cara-cara rawatan kulit dan badan.  Kursus kali ini lebih tega.  Kerana selama enam bulan berkursus Sharifah Aini terpaksa berulang alik ke Singapura.  Pembimbing kursus itu ialah Joanne Anderson, seorang pakar solek dari Amerika Syarikat.  Di Kuala Lumpur, Sharifah Aini menempuh rona hidup yang baru.  Dalam hatinya yang sentiasa berbunga hanyalah tekad untuk maju dan terus maju.

Selain itu jauh di sudut hatinya dia bertekad untuk terus membantu kehidupan ibu dan abah di kampung.  Kerinduan pada abah dan ibu semasa di ibu kota sering meruntun hati nurani Sharifah Aini.  Apatah lagi setelah menyedari kerjayanya sebagai penyanyi banyak menitiskan airmata mereka kerana fitnah dan gosip yang tersebar luas.  Kariernya menyebabkan kedua-dua orang tuanya sering berendam airmata kerana terlalu banyak fitnah yang sampai ke telinga mereka.  Kata Sharifah Aini, suatu ketika dia pernah rasa kecewa, marah dan kesal dengan semua yang terjadi.  Tetapi dia masih berpegang pada ajaran agama supaya sentiasa bersabar dan menyerahkan semuanya kerpada Allah.

Baginya dia tahu walaupun kedua-dua orang tuanya merana, mereka tidak akan mempercayai fitnah itu.  Malah dengan kasih sayang yang sentiasa ada, mereka merestui dengan jutaan doa demi kejayaannya.  Justeru itu sebagai mengenang pemergian kedua-dua orang tuanya, Sharifah Aini menyifatkannya sebagai kehilangan orang yang paling banyak berkorban untuk dirinya dan orang yang paling mengerti mengenai cita-citanya.  Arwah ibu (nenek) Sharifah Aini, Tengku Wan Mariam Tahir meninggalkannya di akhir tahun 1975 sementara arwah abahnya (datuk) Syed Sahil Ali pula menyusul pada 4 Oktober 1992 yang lalu.  Ketika ini hati kecilnya sering terbayang-bayang keseronokan dan keindahan menikmati kasih sayang daripada orang yang paling banyak berkorban untuk dirinya.  Namun menangis airmata berdarah sekalipun, kedua-dua orang yang banyak berjasa dalam hidupnya tak akan kembali lagi.

Artikel ini diterbitkan dalam 8 Siri:

| Siri 1 |   | Siri 2 |   | Siri 3 |   | Siri 4 |   | Siri 5 |   | Next: Siri 6 |   | Siri 7 |   | Siri 8 |