Diari Artis: SHARIFAH AINI (Siri 7)

oleh Dean  (Mingguan Malaysia: Pancaindera, 15 November 1998)

SHARIFAH AINI DUA KALI GAGAL DALAM BERUMAHTANGGA

Bila sahaja menyebut nama Sharifah Aini, ramai yang akan mengaitkan wanita itu dengan kejelitaan, kemewahan serta glamour.  Kerana dia tergolong dalam ketiga-tiga kriteria itu.  Kejelitaan yang dimiliknya tiada siapa boleh mempertikaikannya.  Semenjak dari awal penglibatannya dalam bidang seni, sehinggalah ke hari ini tidak banyak perubahan yang dapat dilihat padanya.  Sharifah Aini pada pandangan kasar masyarakat dilihat sebagai artis yang berjaya meraih kemewahan hasil kerja kerasnya selama lebih 30 tahun dalam bidang seni.

Glamour pula hanya mainan di 'hujung jarinya' sahaja.  Setiap masa dan ketika, dirinya di'rantai' dengan populariti.  Dari anak kecil sehinggalah yang sudah veteran, semuanya mengenali Sharifah Aini biduanita bermata galak.  Namun demikian, bagaimana pula dengan 'rumahtangga'.  Lengkapkah hidupnya hanya semata-mata kejelitaan yang dianugerah-Nya, kemewahan yang dikecapinya serta glamour yang diberikan kepadanya?  Persoalan itu barangkali sukar untuk ditafsir oleh masyarakat.  Namun sebagai empunya diri, Sharifah Aini tidak mahu lagi menyembunyikan perasaannya.

Sebagai wanita, menerima ketentuan bahawa sesungguhnya perkahwinan yang pernah didirikan olehnya berakhir dengan perceraian sesuatu yang cukup perit untuk ditempuhnya.  Mahligai yang pertama kali didirikan oleh Sharifah Aini bersama penggiat industri muzik yang tidak asing lagi, Ali Bakar, tidak bertahan lama.  Sudah ditakdirkan jodoh mereka tidak panjang.  Biarpun secara peribadinya dia percaya bahawa institusi kekeluargaan yang kuat menjadi kunci kepada kejayaan seseorang individu, namun dia tidak dapat lari daripada kenyataan hidup.  Ketiadaan persefahaman antara dia dengan Ali menyebabkan 'mahligai' yang didirikan atas dasar kasih dan sayang menemui kehancuran.

Walaupun perit untuk diterima namun, Sharifah Aini pasrah dan menyerahkan segala-galanya kepada Allah swt.  Sebagai wanita yang 'independence' Sharifah Aini tidak takut untuk berdepan dengan masa depan kerana dia sedar perjalanannya perlu diteruskan.  Dia sedar pada masa itu, dia perlukan kehadiran seorang 'lelaki' sebagai pelindung dirinya, selain bertanggungjawab menguruskan kariernya.  Bersama Ali, Sharifah Aini dikurniakan seorang 'putera' iaitu Aliff yang kini menuntut dalam tingkatan empat.  Laluan Sharifah Aini ketika itu terhoyong-hayang.  Namun memikirkan dia perlu meneruskan hidup dia tabah melalui segala dugaan dan ujian.

Sehinggalah selepas tamat tempoh edah, Sharifah Aini terpaksa akur pada kehendak masa.  Hadir seorang 'teman' yang bersedia berkongsi masalah dan berkongsi hidup dengannya Datuk S.  Pertemuan dengan Datuk S mengubah Sharifah Aini.  Daripada seorang wanita yang asyik dibelenggu masalah, dia bertukar kepada seorang wanita yang periang.  Dia dapat merasakan adanya kesesuaian untuk hidup bersama dengan Datuk S.  Meskipun terpaksa 'berkongsi kasih' dan 'menumpang sayang' sebagai isteri kedua, Sharifah Aini reda.  Dia percaya sudah sememangnya itulah jodohnya.  Sharifah Aini menerima kehidupan Datuk S dalam hidupnya.

Selama hidup dengan Datuk S, Sharifah Aini mengakui dia bahagia.  Perjalanan hidup serta kariernya juga teratur.  Malah Sharifah Aini tidak henti-henti mengucapkan syukur kepada Allah kerana menemukan dia dengan Datuk S.  Enam belas tahun Sharifah Aini 'melayari bahtera' bersama Datuk S.  Semuanya berjalan dengan sempurna.  Sebagai isteri kedua, Sharifah Aini mengakui dia pernah melukakan hati wanita lain kerana mengambil keputusan berkahwin Dengan Datuk S.  Namun itu bukan kehendaknya.  Semuanya berlaku dengan sekelip mata.

Dia akur dengan jodoh yang sudah ditetapkan oleh Allah.  Kata Sharifah Aini, dia tidak dapat melawan kehendak takdir.  Dalam masa yang sama, dia sendiri perlukan kehadiran lelaki untuk menjadi 'teman hidupnya'.  Sharifah Aini memang bahagia.  Malah anak-anaknya juga bahagia menerima Datuk S sebagai sebahagian daripada ahli keluarga.  Ketika bersama Datuk S, hidup Sharifah Aini menjadi teka-teki.  Tidak pernah walau sekali wajah Datuk S tersiar di mana-mana media cetak dan elektonik.  Malah Sharifah Aini sendiri tidak pernah membawa dan memperkenalkan siapakah suaminya ketika itu.  Kata Sharifah Aini, itulah janjinya pada suaminya.  Selain itu, Sharifah Aini tidak mahu menyakiti hati wanita lain.  Dia sedar kedudukannya ketika itu.

Bagaimanapun, panas yang disangka hingga ke petang mengundang hujan di tengah hari.  Ketika sibuk menjalani album nasyid Yayadan, rumahtangga Sharifah Aini berantakan.  Hidupnya mula disulami airmata.  Dia kembali ke kedudukan seperti mana yang pernah dilaluinya ketika selepas bercerai dengan Ali.  Fikirannya berserabut.  Makan minumnya sudah menjadi tidak menentu.  Dalam masa dia mencari jalan untuk menyelamatkan 'mahligainya', malang sekali rezeki tidak menyebelahinya.  Sekali lagi dia terpaksa menerima kekecewaan itu.  Perceraian kali kedua menjadi jalan penyelesaian.  Tiada siapa dapat menyelamatkan rumahtangganya.  Dalam mencari kekuatan diri Sharifah Aini bertuah kerana punya sahabat yang sentiasa berada di kala dia berduka.  Dia juga sering meminta daripada Allah swt keredaan hidup setiap kali menyembah-Nya.  Kini dia kembali hidup sebagai 'ibu tunggal' kepada tiga cahaya matanya.

Artikel ini diterbitkan dalam 8 Siri:

| Siri 1 |   | Siri 2 |   | Siri 3 |   | Siri 4 |   | Siri 5 |   | Siri 6 |   | Siri 7 |   | Next: Siri 8 |