Diari Artis: SHARIFAH AINI (Siri 3) oleh Dean (Mingguan Malaysia: Pancaindera, 18 Oktober 1998) |
BINTANG RADIO PENYINAR HIDUP SHARIFAH AINI Perubahan usia tidak langsung mengubah pendirian hidupnya. Kesederhanaan terus menjadi teras kehidupannya. Baginya, sebaik-baik orang yang disegani ialah mereka yang tidak pernah meninggi diri atau merasakan dia yang terbaik sedangkan ada lagi orang yang lebih baik. Zaman remaja yang dilalui oleh Sharifah Aini barangkali ada bezanya dengan teman sebayanya ketika itu. Apa lagi kala diminta menyelak kembali sejarah awal penglibatannya dalam bidang seni, sudah tentu ia menyimpan kenangan yang sukar dikikis dari kotak fikirannya. Sharifah Aini memulakan kerjayanya dalam bidang seni suara secara berperingkat-peringkat, bermula dengan penglibatannya bersama Kumpulan The Families dan kemudiannya menyertai D'Acrobat. Semuanya bermula selepas dia tamat belajar di Sekolah Menengah Sultan Ismail (Johor Bahru). Ketika itu dia menghadapi masalah kewangan yang membataskan peluangnya untuk melanjutkan pelajaran sehingga ke peringkat yang lebih tinggi. Banyak kelucuan sebenarnya berlaku ketika ditanya mengenai penglibatan awal Sharifah Aini dalam bidang seni suara. Antaranya yang masih segar diingatannya ialah peristiwa abahnya berdiri bersama sebatang rotan ketika dia sedang menyanyi di pentas. Peristiwa itu berlaku ketika dia menyanyi di majlis kenduri berdekatan dengan rumah guru agamanya, Ustaz Sulaiman atau dipanggil juga Cikgu Leman. Dalam majlis itu Sharifah Aini dijemput untuk menyanyi. Maka tanpa membuang waktu, gadis kecil bermata galak itu terus menanggalkan tudung dan berlari ke khemah pemuzik lantas memilih lagu untuk menyanyi. Dia sempat mendendangkan tiga buah lagu sebelum matanya terpaku pada seorang lelaki yang berdiri bersama rotan, tidak jauh dari tempat dia menyanyi. Gadis kecil itu gementar kerana menyedari lelaki itu adalah abahnya. Selesai menyanyi, dia menyusur ke belakang pentas dan terus membonceng basikal yang ditunggang abangnya. Memang mereka berdua sudah berpakat untuk pulang bersama. Tiba di rumah, ketakutan yang teramat sangat menyebabkan Sharifah Aini terus masuk ke kelambu tanpa makan malam. Dia terbayang rotan di tangan abahnya. Bila pulang ke rumah, abahnya tidak sampai hati untuk merotan kerana menyangka Sharifah Aini sudah tertidur. Dua hari selepas kejadian itu, kerlipan bintang pertama menuju ke gerbang cita-citanya dan mula berkedipan. Ibunya meminta dia menolong untuk menyajikan pelbagai jenis masakan kerana katanya, ada tetamu istimewa bakal mengunjunginya. Abahnya hanya mendiamkan diri tanpa memberitahu siapa tetamu mereka. Sharifah Aini terus menduga. Akhirnya kejutan yang berharga terjadi dalam hidupnya. Abahnya menjemput kumpulan The Families datang ke rumah mereka sebagai merestui impian Sharifah Aini untuk bergelar penyanyi. Debar jantungnya terhenti dan bermulalah lambaran baru dalam hidupnya sebagai penyanyi kecil. Bersama The Families, Sharifah Aini merangkak mencari tempat dan pengalaman. Dalam masa yang sama banyak kenangan tersemat di lubuk hatinya sepanjang bersama kumpulan tersebut. Setiap kali mengikut The Families mengadakan persembahan, dia akan menerima imbuhan sebanyak RM10 atau membawa pulang 15 cucuk sate sebagai upah. Namun Sharifah Aini tidak pernah mengeluh, sebaliknya berbangga kerana semua rezeki itu dari titik peluhnya sendiri. Langkah pertama dalam bidang seni terus berkembang segar. Selepas itu dia terus menerima banyak undangan menyanyi termasuklah di Radio Televisyen Singapura (RTS). Tahun 1965 merupakan tahun keramat baginya. Suaranya mulai dihargai orang. Tanpa disangka rezeki daripada Allah juga melimpah ruah. Sharifah Aini banyak menerima undangan menyanyi dan detik itu disifatkannya sebagai bermulanya cabaran yang perlu diterimanya dengan sikap dan fikiran yang terbuka. Dua tahun kemudian Sharifah Aini tekad melangkah untuk menyertai pertandingan di RTS. Langkahnya berhasil lagi apabila terpilih ke peringkat akhir. Sharifah Aini tersenyum bangga walaupun hanya menduduki tempat ketiga memandangkan para finalist lain antaranya termasuklah penyanyi-penyanyi ternama seperti M Ismail, Zaleha Hamid dan Jeffrydin. Tahun berikutnya ketika baru melangkahkan kaki ke peringkat separuh akhir pertandingan yang sama, rezeki untuk beliau menjadi rekording artis terbuka luas apabila dilamar oleh syarikat EMI.
Bila tamat pertandingan lahirlah album yang kemudiannya cukup dikenang oleh para peminat seni suara apabila memperkatakan tentang sejarah penglibatan Sharifah Aini sebagai penyanyi. Album pertamanya itu berjudul
SERI DEWI MALAM.
Artikel ini diterbitkan dalam 8 Siri:
|
Siri 1 |
|
Siri 2
|
| Siri
3 |
| Next:
Siri 4
|
| Siri 5
| | Siri 6
| | Siri 7
| |
Siri 8
| |