Diari Artis: SHARIFAH AINI (Siri 6)

oleh Dean  (Mingguan Malaysia: Pancaindera, 8 November 1998)

MASALAH SERING MEMBELENGGU JIWA SHARIFAH AINI

Kini selepas 30 tahun meredah gelombang dunia seni, Sharifah Aini menjadi semakin matang.  Dia semakin mengerti dan memahami diri sendiri serta rencam hidup yang dilaluinya.  Dalam berdepan dengan fitnah dan dugaan lain, Sharifah Aini sentiasa percaya bahawa Allah swt sentiasa bersama orang-orang yang sabar dan benar.  Pegangan itu terus menjadi prinsip hidup Sharifah Aini dalam menguruskan perjalanan hidupnya.

Andai masih diingati oleh peminat setianya, Sharifah Aini pernah menyepi diri dari media dan masyarakat sekitar tahun-tahun 1990 hingga 1993.  Selama waktu tersebut, Sharifah Aini banyak menghabiskan masa dengan mendalami ilmu agama dan mencari ketenangan rohani.  Untuk itu juga Sharifah Aini sering berulang-alik dari Muar ke Kuala Lumpur.  Kalau menyanyi sekalipun, dia hanya muncul di majlis-majlis yang berbentuk eksklusif bertempat di hotel-hotel terkemuka.  Itupun untuk tujuan pertunjukan amal dan tiada sebarang publisiti meluas diberikan.  Kata Sharifah Aini, dia ingin bersendirian sambil mendekati agama.

Menyingkap sejarah lampau kehidupan Sharifah Aini, secara peribadi biduanita itu mengakui dirinya sudah puas bergelumang dengan pelbagai masalah, namun masalah yang sentiasa melingkarinya ialah masalah yang berbentuk peribadi.  Masalah yang membelenggunya sama sekali tidak melibatkan orang ramai, cuma dia sahaja yang terpaksa kuat berdepan dengan cabaran dan masalah.  Bermula di awal penglibatannya dalam bidang seni, masalah demi masalah melanda hidupnya.  Dalam masa yang sama perasaan takut pula melingkari dirinya.

Namun memang benar kata pepatah 'berani kerana benar, takut kerana salah' menyebabkan dia semakin kuat untuk menentang apa sahaja halangan yang cuba membantutkan perjalanannya dalam bidang seni.  Kisah peribadi Sharifah Aini ketika di awal penglibatannya banyak digembur-gemburkan oleh media dan diperkatakan oleh masyarakat.  Semua pihak ingin mengetahui segala cerita mengenai penghibur itu.  Kisah percintaannya pula sering dijadikan cerita sensasi yang memenuhi dada-dada akhbar dan majalah.

Hidupnya juga tidak lekang daripada fitnah.  Semakin banyak tohmahan yang dilemparkan kepadanya membuatkan dia bertambah kuat untuk berdepan dengan hidup dan masa depannya.  Lebih memeritkan lagi 'emosinya' sehingga menjejaskan konsentrasinya kepada karier ialah bila dia berdepan dengan masalah ketegangan dengan ibu kandungnya sehingga berlanjutan di mahkamah.  Namun katanya, tiada siapa yang tahu apa yang terbuku dihatinya.  Baginya, cukup sekadar Allah swt yang menjadi tempat dia mengadu dan mengetahui apa yang terbuku jauh di lubuk hatinya.

Sharifah Aini mengakui, ketika dilanda masalah peribadi, dia juga kecewa dan marah terhadap segala yang diperkatakan dan disuarakan oleh masyarakat.  Bagaimanapun, dalam satu keadaan yang lain pula, dia sedar sebagai seorang public figure, dia tidak boleh membiarkan orang lain berhenti bercakap kerana itu adalah hak mereka.  Sememangnya juga menjadi lazim masyarakat untuk mengetahui segala cerita suka-duka seseorang artis itu apalagi Sharifah Aini yang ketika itu menjadi salah seroang daripada 'bintang yang begitu bergemerlapan.'

Melalui hari-hari sebagai seorang artis popular katanya, bukan sesuatu yang mudah.  Apa sahaja gerak-gerinya sering menjadi perhatian dan ikutan masyarakat.  Lantaran itu, selepas 33 tahun usia pembabitannya dalam bidang seni, Sharifah Aini dia lebih senang berada di rumah.  Malah suka bersendirian di rumah sambil melayan tiga orang anaknya menjadi agenda utama Sharifah Aini kala tiada urusan di luar.  Semenjak kembali hidup sebagai ibu tunggal, Sharifah Aini berkata, dia mahu memberikan perhatian yang sepenuhnya kepada anak-anak.  Kata Sharifah Aini, kegagalan dalam dua perkahwinan bukan bermakna dia tidak mampu untuk menjalani hidup dengan sendirian dengan ditemani anak-anaknya.

Malah kekuatan diri yang ada padanya menyebabkan dia semakin yakin untuk mencari rezeki menyara hidupnya serta anak-anaknya.  Katanya lagi, dalam berdepan dengan dugaan hidup juga, dia selalunya akan kembali menyelak segala didikan yang diberikan oleh kedua-dua orang tuanya mengenai pentingnya ilmu dan pegangan agama.  Tegasnya, banyaknya kepahitan yang ditempuh tidak bermakna runtuhnya kecekalan hatinya terutamanya cintanya pada dunia seni.  Malah Sharifah Aini juga tidak akan sesekali menjadikan dunia seni sebagai tempat untuk melepaskan geram dan memberontak.  Dia juga berjanji melalui suaranya dia akan terus menumpahkan kasih sayang dan kedamaian.

Katanya, sebagai seorang yang sudah diajar dan didedah supaya menjalani hidup secara berdikari semenjak kecil lagi dia akan nekad bekerja keras untuk memastikan kehidupan dia dan anak-anaknya terjamin.  Anak-anak menurut Sharifah Aini sebagai 'kekuatan' dan semangat untuknya bekerja keras dalam dunia seni dunia yang sudah sebati dengan darah dagingnya.  Namun dalam menghadapi masa depan, Sharifah Aini mengakui jauh di sudut hati dia tetap mencari sesuatu yang dirasakan suatu kepentingan dan kelengkapan dalam sesebuah institusi rumahtangga.  Tetapi katanya, dia perlu berhati-hati dalam pencariannya kerana tidak mahu tersilap langkah.  Apakah pencarian yang dimaksudkan oleh Sharifah Aini itu?

Artikel ini diterbitkan dalam 8 Siri:

| Siri 1 |   | Siri 2 |   | Siri 3 |   | Siri 4 |   | Siri 5 |   | Siri 6 |   | Next: Siri 7 |   | Siri 8 |