Diari Artis: SHARIFAH AINI (Siri 2)

oleh Dean  (Mingguan Malaysia: Pancaindera, 11 Oktober 1998)

SHARIFAH AINI 5 KALI KHATAM AL QURAN

Kesempitan hidup kebiasaanya menyekat peluang anak-anak untuk meneruskan pengajian di sekolah.  Masalah ini jugalah yang turut menghimpit Sharifah semasa kecilnya.  Dia melalui suatu kehidupan yang amat perit.  Kalau rakan-rakan sebaya yang lain sibuk di rumah mendalami ilmu pengetahuan, dia pula sibuk di luar rumah menjaja dodol, kuih kepal, wajik durian dan buah nangka.  Bagaimanapun peluang belajar tetap diperolehinya.  Meskipun tidak dapat meneruskan pengajian sehingga ke peringkat tinggi, itu bukan penghalang bagi Sharifah Aini dan sekaligus mengubah nasib keluarganya.

Seperti anak yang lain, abah dan emak Sharifah Aini tidak pernah mengabaikan ilmu agama.  Ibu bapa Sharifah Aini tidak mahu anak mereka dibesarkan tanpa didikan agama yang mencukupi.  Seawal usia tujuh tahun dia menerima pengajian di sebuah sekolah Melayu berdekatan rumahnya.  Dalam masa yang sama dia turut dihantar ke sekolah bahasa Arab iaitu Sekolah Arab Al-Attas, Wadihana, Johor pada sebelah petang.  Kemudiannya Sharifah Aini berpeluang melanjutkan pelajaran di Sekolah Menengah Sultan Ismail di Johor Bahru.  Malangnya dia tidak dapat meneruskan pengajian ke tingkatan tiga kerana masalah kewangan yang melanda keluarganya agak memeritkan.  Meskipun begitu Sharifah Aini tidak pernah menyesal.  Dia sedar barangkali ada hikmah yang tersembunyi di sebalik dugaan itu.

Menangis sehingga air mata darah sekalipun tidak mungkin akan memberi peluang kepadanya untuk meneruskan persekolahannya.  Melihat teman sebaya yang lain bergembira dengan alam persekolahan, hati Sharifah Aini terguris dan sesekali tersentuh mengenangkan masa depannya yang mungkin kabur.  Tetapi dia terus diberi keyakinan oleh abah dan emaknya.  Mereka sentiasa memberi galakan dan kepercayaan kepada puteri kesayangan mereka bahawa suatu hari nanti sinar baru akan menjelma juga dalam dirinya.  Biar terpisah jauh dari alam persekolahan, namun Sharifah Aini punya suatu kelebihan yang sememangnya tidak dapat ditandingi oleh mana-mana temannya.  Siapa sangka daripada seorang bayi yang ditinggalkan ibu dan bapa kandungnya serta menjalani zaman kanak-kanak yang penuh dengan cerita sedih, Sharifah Aini punya kelunakan suara yang tiada pada orang lain.  Ketika zaman sekolah rendah lagi, Sharifah Aini sudah khatam al-Quran sebanyak lima kali.

KENANGAN ... Sharifah Aini ketika lengkap berpakaian sekolah rendahUstazah Zubaidah, Ustaz Sulaiman dan Ustaz Mohd Zain antara guru-guru yang bertanggungjawab membimbing Sharifah Aini mendalami pengajian al-Quran.  Ketika inilah emaknya sering menyimpan angan-angan untuk melihat Sharifah Aini berjaya sebagai seorang ustazah.  Meskipun dalam masa yang sama Sharifah Aini menunjukkan minat dalam bidang seni, namun daripada mulutnya dia sering tidak terlepas dari menyebut harapannya untuk melihat Sharifah Aini berjaya dalam bidang agama.  Sudah tentu impian emaknya dan realiti kehidupan sebenar yang dilalui oleh Sharifah Aini berbeza bagaikan langit dan bumi.  Namun ingatan dan kata-kata emaknya sentiasa bermain difikiran Sharifah Aini.  Katanya, "dalam kehidupan kita, agama perlu dijadikan landasan paling utama."

Dunia kanak-kanak Sharifah Aini dalam bidang keagamaan sememangnya cukup cemerlang.  Sharifah Aini berjaya meraih kejohanan 10 kali dalam pertandingan Tilawah al-Quran Peringkat Sekolah Negeri Johor.  Selain itu dia juga menguasai Pertandingan Syarahan Sekolah Agama dan Sekolah Arab Al-Attas di Johor Bahru sebanyak tujuh kali.  Kecemerlangan ini juga membuatkan nama Sharifah Aini terus menjadi kebanggaan ramai.  Dia dikenali diseluruh kampungnya.  Malah namanya sentiasa meniti di bibir teman-teman sekampung.

Biarpun popular namun dia tetap merendah diri.  Ketika itu Sharifah Aini sering mengingatkan dirinya agar jangan sesekali lupa diri.  Kata Sharifah Aini, dia berazam ketika itu untuk mengubah nasib keluarganya.  Dia tidak mahu diri dan keluarganya terus dihimpit kemiskinan.  Dalam apa keadaan sekalipun, dia tidak mahu menghampakan kedua-dua orang tua yang memeliharanya yang juga bagaikan 'nyawa' kepadanya.

Artikel ini diterbitkan dalam 8 Siri:

| Siri 1 |   | Siri 2 |   | Next: Siri 3 |   | Siri 4 |   | Siri 5 |   | Siri 6 |   | Siri 7 |   | Siri 8 |