'SAYA SENTIASA MAHU BEKERJASAMA'

oleh Wan Asrudi Wan Hasan  (Harian Metro: Isnin, 14 Disember 2009)

Kelunakan suara Biduanita Negara, Datuk Sharifah Aini memang tiada tandingan.  Apatah lagi apabila berkongsi pentas bersama dua penyanyi bersuara lantang, Adibah Noor dan Anuar Zain sempena persembahan amal Datuk Sharifah Aini & Friends yang berlangsung di Hotel Concorde, Kuala Lumpur, Jumaat lalu.

Kolaborasi mereka ternyata mempunyai tarikan tersendiri dan menghiburkan kira-kira 400 penonton.  Penonton buat julung kali menyaksikan persembahan duet Datuk Sharifah Aini atau lebih mesra disapa Kak Pah bersama Anuar Zain menerusi lagu Keabadian Cinta dan Getaran Jiwa.  Begitu juga persembahan trio di hujung konsert dengan lagu medley popular sekitar 1970-an termasuk lagu Tiada Maaf Bagimu dan beberapa lagu Inggeris.

BERJAYA ... hasil persembahan amal Datuk Sharifah Aini & Friends akan disumbangkan kepada Maahad Tahfiz al-Quran Darul Huffaz dan beberapa sekolah serta rumah kebajikanKak Pah ketika ditemui selepas berakhirnya persembahan memaklumkan betapa gembira dapat melihat sambutan penonton yang hadir termasuk sokongan daripada rakan dan media.  "Kami tahu persembahan seperti ini dapat menarik lebih ramai penonton.  Begitupun, kehadiran penonton di sini sudah cukup memadai memandangkan tempat ini tidak begitu sesuai untuk menampung jumlah penonton yang ramai.  Atas sambutan yang menggalakkan ini, saya mungkin mempunyai rancangan untuk bekerjasama dengan Anuar dan Adibah di pentas yang lebih besar pada masa hadapan.  Di samping beberapa siri konsert amal selain bekerjasama dengan beberapa artis terkenal tanah air seperti Anita Sarawak, Jamal Abdillah dan Datuk Sheila Majid.  Saya bersyukur kerana mempunyai peminat setia di kalangan warga korporat.  Justeru saya percaya persembahan seperti ini akan mendapat sokongan.  Untuk konsert amal ini saya harap dapat mengumpul dana sekitar RM10,000 ke atas untuk diagihkan kepada rumah amal, Maahad Tahfiz Al-Quran Darul Huffaz, Batu 13 Puchong, Selangor dan beberapa sekolah serta rumah kebajikan yang akan dikenal pasti nanti," katanya.

Dalam kerancakan merancang mengadakan konsert disamping beramal, Kak Pah juga meluahkan kekecewaan disebabkan kesukaran mendapatkan sokongan penajaan.  Sehinggakan pelbagai usaha dilakukan demi memastikan perancangan mengadakan konsert di samping aktiviti amal dapat dilaksanakan.  Malah Kak Pah turut menolak dakwaan segelintir individu yang menganggap dia tidak boleh bekerjasama atau berkongsi pentas dengan mana-mana artis tempatan.

DUET ... Anuar dan Kak Pah menyanyikan lagu 'Keabadian Cinta'"Saya memang sentiasa mahu bekerjasama dengan nama-nama artis yang saya sebutkan.  Tidak timbul soal saya tidak mahu bekerjasama dengan artis lain.  Saya memang mempunyai perancangan bekerjasama dengan Sheila Majid dan Jamal Abdillah pada masa akan datang," katanya.  Selepas persembahan itu, Kak Pah dijangka bergabung bersama penyanyi terkenal, Anita Sarawak untuk satu lagi persembahan amal yang dijadualkan berlangsung pada Mac tahun depan di lokasi sama.

Anuar Zain yang turut dilabelkan antara artis tempatan sukar untuk berkongsi pentas dengan artis lain juga mengakui keinginan tinggi untuk bersama Datuk Sharifah Aini memang sentiasa dinantikannya.  Malah apabila dimaklumkan pengurusnya untuk projek berkenaan dia rasa cukup teruja memandangkan sejak kanak-kanak dia mengagumi bakat seni Sharifah Aini selain meminati lagu seperti Empat Dara dan Tiada Maaf Bagimu.

"Saya tidak pernah terfikir berpeluang untuk berduet dengan Kak Pah.  Apabila dimaklumkan pengurus, saya tidak berfikir panjang dan terus memaklumkan "ya".  Memang sukar melepaskan peluang menyanyi dan berkongsi pentas disamping Sharifah Aini.  Saya bangga jadi sebahagian daripada mereka yang menjayakan persembahan ini," katanya.

Sementara itu, Adibah Noor pula mengimbau detik pertemuan bersama Kak Pah ketika dia memenangi pertandingan menyanyi sekitar 1994 apabila Sharifah Aini memaklumkan perasaan kagum terhadap bakat seninya.  "Ketika bertemu, Kak Pah memaklumkan kepada saya rasa kagumnya terhadap bakat saya dan merancang bekerjasama.  Hanya selepas 15 tahun baru kami berkesempatan bekerjasama.  Memang saya cukup gembira dapat bekerjasama dengan Biduanita Negara yang cukup saya kagumi," katanya.

NOSTALGIA ... Kak Pah kongsi pengalaman terbabit dalam dunia seni lebih 40 tahunAdibah yang memulakan persembahan jam 9.10 malam itu menyampaikan beberapa lagu medley koleksi Sharifah Aini dan lagu popular Anuar Zain sebagai 'pemanas badan' di samping beramah mesra dengan peminat.  Adibah turut menyampaikan lagu romantik seperti Rindu Bayangan, Belaian Jiwa dan Kenangan Lalu.  Persembahan pentas yang diambil alih penyanyi yang popular dengan lagu Lelaki Ini selepas sejam berlalu.  Walaupun diganggu dengan masalah bunyi yang kurang memuaskan peminat setia Anuar tetap teruja menantikan persembahan jejaka kacak itu.  Anuar tampil menyanyikan lagu medley Mimpi Sedih dan Widuri. Selain lagu Try Me To The Moon dan lagu hitsnya, Lelaki Ini.

Kak Pah yang mengambil alih persembahan pentas selepas jam 11 malam menyampaikan himpunan lagu terbaiknya seperti Jatuh Cinta, Inikah Balasannya, Di Malam Persandingan, Bunga Tanjung, Tunggu Sekejap, Sabar Menanti dan beberapa lagu Inggeris seperti Autumn Leaves.

Artikel lain yang berkaitan:

  Kak Pah Sasar RM1 Juta (Berita Minggu: B*Pop 20 Disember 2009)

  Saling Mengagumi (Berita Harian Khamis, 17 Disember 2009)

  Demi Anak Tahfiz (Berita Harian Jumaat, 6 November 2009)

  Sharifah Aini Powers On (The New Straits Times Tuesday, 3 November 2009)

  Kak Pah, Anuar Ziarah Bakal Hafiz (Berita Minggu: B*Pop 1 November 2009)

  Dakwah Cara Sharifah Aini (Berita Harian Jumaat, 23 Oktober 2009)

  Tak Serik Kena Kapur (Berita Minggu: B*Pop 18 Oktober 2009)