SALING MENGAGUMI

oleh Serimah Mohd Sallehuddin  (Berita Harian: Khamis, 17 Disember 2009)

Kemasyhuran yang dipertahankan lebih 40 tahun dalam bidang seni suara barangkali membuatkan pendatang baru berasa kerdil lantas berasakan sukar mendekati Biduanita Negara, Datuk Sharifah Aini.  Hakikatnya bukanlah sebegitu.  Hati budinya perlu dikenali terlebih dulu, barulah sifat sebenarnya terserlah.  Sharifah Aini atau Kak Pah sebenarnya mudah didekati dan cepat mesra.  Kejayaan mempertahankan nama selama empat dekad langsung tidak membuatkan alpa dengan persaingan dan suasana semasa dunia muzik.

Anuar Zain dan Adibah Noor yang diundang menjayakan persembahan dinamakan Datuk Sharifah Aini & Friends di Hotel Concorde baru-baru ini mengakui terpesona dengan sikap penyanyi itu.  Jika diukur pengalaman Kak Pah dengan mereka, jurangnya amat berbeza.  Namun Kak Pah sentiasa merendah diri, malah mereka dilayan seperti sahabat lama ketika berbincang mengenai persiapan persembahan di kediamannya.

"Kami dilayan cukup baik oleh Kak Pah.  Kami tidak faham kenapa artis lain takut dengannya.  Walaupun siapalah kami jika dibandingkan dengan Kak Pah, tapi beliau seorang yang mudah mesra dan baik," kata Adibah.  Kenyataan itu dipersetujui Anuar yang turut diundang menjayakan persembahan bagi mengumpul dana untuk sekolah Maahad Tahfiz Al Quran Darul Huffaz, Batu 13 Puchong, Selangor.  Kata Anuar, berada di rumah Kak Pah, ibarat di restoran.  Mereka dihidang pelbagai juadah enak, malahan biarpun baru kali pertama bertemu, dia langsung tidak kekok.

Berkongsi pentas bersama biduanita negara memang tidak pernah diimpikan dua penyanyi ini.  Undangan daripada Kak Pah umpama pucuk dicita ulam mendatang, lantas tawaran itu sukar dilepaskan.  "Tak pernah langsung rasa ada peluang berkongsi pentas dengan Datuk Sharifah Aini.  Sebelum ini saya hanya berduet dengannya menerusi kaset.  Apabila dia undang membuat persembahan bertujuan untuk kebajikan, saya tidak menolak.  Maklumlah tidak semua penyanyi dapat peluang bekerja dengan penyanyi yang dikenali dan istimewa seperti Kak Pah, jadi saya tidak menolaknya," kata Anuar yang mendendangkan tujuh lagu pada malam berkenaan.

Adibah yang membuka tirai persembahan pada malam itu, memukau tetamu hampir satu jam dengan rangkaian lagu miliknya serta lagu nyanyian Kak Pah.  Antaranya lagu Terlalu Istimewa, Bunga Tanjung, Cahaya, Hujan, Bila Rindu, Rindu Bayangan dan Janji Manismu.  Kemunculan Anuar selepas persembahan Adibah pula begitu dinantikan khususnya oleh penonton wanita.  Lagu Ketulusan Hati membuka tirai pada malam itu diikuti Mimpi Sedih, Widuri, Penantian dan Hati Lebur Jadi Debu.  Penyanyi lelaki bersuara mantap itu turut berduet dengan Kak Pah menerusi lagi Kebadian Cinta.

INGIN BERGANDINGAN DENGAN ANITA SARAWAK

Selain Adibah dan Anuar, Sharifah Aini turut meluahkan keinginan bekerjasama dengan beberapa penyanyi popular tanahair lain seperti Datuk Sheila Majid dan Jamal Abdillah.  "Sheila antara yang berada dalam fikiran Kak Pah.  Kak Pah juga teringin sekali berkongsi pentas dengan Jamal Abdillah.  Kak Pah gembira dengan kerjasama yang terjalin bersama Adibah Noor dan Anuar Zain.  Sebelum ini orang kata sukar uintuk bekerjasama di samping Anuar Zain, tetapi tanggapan itu silap sama sekali," katanya yang menyasarkan untuk mengutip RM1 juta sehingga 2011.

Selagi hayat dikandung badan, penyanyi itu akan terus bernyanyi untuk tujuan kebajikan.  Malah, sebahagian kutipan hasil penjualan meja pada persembahan ini disumbangkan kepada sekolah tahfiz berkenaan.  Kak Pah juga kini sedang meneliti seberapa banyak sekolah tahfiz lagi untuk dibantu, setakat ini sebanyak 15 sekolah sudah dikenal pasti.  Bagi merealisasi impiannya itu, beliau akan mengadakan persembahan seperti ini lantaran menyedari kesukaran mendapatkan tajaan.

"Hendak dapatkan penaja bukan senang.  Kak Pah tak tahu apa yang penaja mahukan sehingga begitu sukar untuk mendapatkan tajaan.  Sebab itu Kak Pah mengambil inisiatif mengadakan persembahan seperti ini dan Kak Pah juga tidak akan sering untuk terus melakukan sehinggalah mendapat kutipan sebanyak RM1 juta," katanya yang akan berkongsi pentas dengan Anita Sarawak pada Mac nanti.  Walaupun Kak Pah muncul di pentas Ballroom Hotel Concorde agak lewat iaitu kira-kira jam 11.15 malam, namun peminat penyanyi itu yang kebanyakannya membesar dengan lagu-lagunya tetap setia menunggu.

Kelunakan suara penyanyi itu tiada tandingan.  Selama lebih satu jam itu, Kak Pah menggembirakan peminat dengan menyanyikan lagu Bunga Tanjung, Jatuh Cinta, Inikah Balasan, Di Malam Persandingan, Tunggu Sekejap, Sabar Menanti, Autumn Leaves dan banyak lagi.  Persembahan berkenaan disaksikan lebih 400 tetamu malah peminat sejauh Australia dan London juga sanggup ke Kuala Lumpur semata-mata tidak mahu melepaskan peluang menonton persembahan seorang legenda dalam dunia nyanyian bernama Sharifah Aini.

Artikel lain yang berkaitan:

  Kak Pah Sasar RM1 Juta (Berita Minggu: B*Pop 20 Disember 2009)

  Saya Sentiasa Mahu Bekerjasama (Harian Metro Isnin, 14 Disember 2009)

  Demi Anak Tahfiz (Berita Harian Jumaat, 6 November 2009)

  Sharifah Aini Powers On (The New Straits Times Tuesday, 3 November 2009)

  Kak Pah, Anuar Ziarah Bakal Hafiz (Berita Minggu: B*Pop 1 November 2009)

  Dakwah Cara Sharifah Aini (Berita Harian Jumaat, 23 Oktober 2009)

  Tak Serik Kena Kapur (Berita Minggu: B*Pop 18 Oktober 2009)