KAK PAH, ANUAR ZIARAH BAKAL HAFIZ oleh Farihad Shalla Mahmud (Berita Minggu: B*Pop, 1 November 2009) |
Siri Konsert Datuk Sharifah Aini & Friends turut bantu Maahad Tahfiz Al-Quran Darul Huffaz Niat untuk membantu akhirnya membawa langkah mereka ke Maahad Tahfiz Al-Quran Darul Huffaz, Batu 13 Puchong, Selangor petang Rabu lalu. Biarpun kedatangan mereka itu diiringi hujan lebat, namun itu bukanlah halangan untuk dua figura seni hebat ini menunaikan hajat yang tersimpan dalam hati selama ini. Kehadiran biduanita negara, Datuk Sharifah Aini dan penyanyi popular, Anuar Zain ke tahfiz terbabit disambut gembira pengetuanya, Ustaz Aminurrasid Che Ibrahim dan Ustaz Khalid Al Walid Ismail serta hampir 30 pelajar lain. Biarpun perkenalan Sharifah atau lebih akrab disapa Kak Pah dengan dua ustaz itu sudah terjalin berbelas tahun, namun inilah kali pertama dia menjejakkan kaki ke madrasah yang selama ini dibantunya secara diam-diam. Kedatangan Kak Pah bersama Anuar sebenarnya ada kaitan dengan siri persembahan amal, Datuk Sharifah Aini & Friends yang akan berlangsung mulai 4 Disember ini. "Kak Pah sudah mengenali dua ustaz berkenaan sejak 15 tahun lalu dan hubungan kami seperti adik beradik. Kak Pah sering mengundang mereka untuk majlis khatam al-Quran dan solat hajat di rumah Kak Pah setiap bulan. Malah, jika Kak Pah ada sebarang masalah termasuk perkara peribadi, kepada merekalah tempat Kak Pah mengadu. Kak Pah percaya pada mereka dan kerana itulah Kak Pah berasakan tahfiz ini perlu dibantu. Lagipun madrasah ini mengingatkan Kak Pah pada nostalgia lama sewaktu zaman persekolahan dulu. Masa di Johor dulu, Kak Pah bersekolah Arab.Jadi sekolah Arab itu memang sering dekat di hati. Justeru, atas perasaan itulah membuatkan Kak Pah terpanggil untuk membantu tahfiz ini dari segi mengutip dana untuk membiayai perbelanjaan harian," kata penyanyi yang terkenal menerusi lagu Sri Dewi Malam ini – hadir dengan jubah serta tudung rona hitam. Dengan populariti yang ada ditambah bantuan rakan artis yang sudi menabur bakti, Kak Pah menaruh harapan semoga acara amal itu kelak akan mendapat sambutan dan sekali gus memberikan sinar kepada tahfiz berkenaan. "Sebelum ini pun Kak Pah pernah membantu maahad tahfiz terbabit tetapi apabila diadakan majlis makan malam amal ini, bantuan yang dapat disalurkan nanti mungkin lebih besar jumlahnya. Selama 15 tahun mengundang anak tahfiz ke surau rumah untuk kelas agama dan majlis ilmu, Kak Pah dapat rasakan kesusahan mereka. Jadi dengan kudrat serta populariti yang ada, Kak Pah harap akan ada insan yang sudi menghulur bantuan meringankan bebanan yang ada. Mereka tidak meminta tetapi pada Kak Pah, apalah salahnya menyumbang ke jalan kebaikan," katanya yang mula sibuk dengan persiapan membuat konsert di Singapura pada 8 November ini. Sementara itu, penyanyi yang cukup popular dengan lagu Lelaki Ini dan Ketulusan Hati, Anuar menyifatkan lawatan itu sebagai satu pengalaman baru buatnya sejak bergelar artis. "Seronok bersembang dengan mereka dan melayan setiap pertanyaan mereka. Pelbagai benda ditanya termasuk perihal karier saya sebagai penyanyi. Malah ada juga bertanyakan bilakah saya akan berkahwin. Biasalah, soalan wajib. Pun begitu, saya gembira kerana mereka dapat menerima kami (artis) dengan terbuka. Mereka tidak pernah menghukum. Mungkin hala tuju kita dalam mencari rezeki berbeza tetapi kita tetap sama. Saya juga teruja kerana ini kali pertama saya membuat kerja amal untuk rumah tahfiz. Sebelum ini pun saya pernah terbabit dengan majlis amal tetapi hanya membabitkan anak yatim dan ibu tunggal," kata Anuar. Meluangkan masa lebih sejam di maahad tahfiz itu, Kak Pah dan Anuar turut diberikan penerangan ringkas mengenai perjalanan madrasah dan aktiviti pelajar di situ. Mengenai operasi tahfiz berkenaan, Ustaz Aminurrasid berkata setiap bulan, madrasah itu memerlukan RM6,000 untuk tujuan pengurusan. "Kadang-kadang ibu bapa pelajar turut memberi sumbangan bagi tujuan perbelanjaan menguruskan tahfiz ini. Kalau tidak kami akan usahakan sendiri mencari pendapatan. Untuk meminta-minta jauh sekali. Kalau ada yang sudi membantu itu, kami amat berterima kasih," katanya. Mula ditubuhkan sekitar 2007, Darul Huffaz kini dihuni seramai 34 pelajar lelaki yang berusia 11 tahun ke atas. INFO KONSERT DATUK SHARIFAH AINI & FRIENDS Siri persembahan Datuk Sharifah Aini dan Adibah akan diadakan pada 4 Disember ini jam 8 malam di Grand Ballroom, Hotel Concorde, Kuala Lumpur. Persembahan Datuk Sharifah Aini dan Anuar Zain pula berlangsung 11 Disember pada masa dan lokasi yang sama. Untuk siri persembahan mendatang, ada 15 lagi sekolah tahfiz di seluruh Malaysia yang akan dibantu. Harga tiket dengan jualan satu meja bersamaan 10 tempat duduk dijual dengan harga pilihan RM6,500, RM4,500 dan RM2,500. Sebarang maklumat lanjut mengenai urusan pembelian meja boleh menghubungi talian, 019-3848054 atau 012-9332373. Faks: 03-78051008 atau emel: limeevent@gmail.com Artikel lain yang berkaitan: Kak Pah Sasar RM1 Juta (Berita Minggu: B*Pop – 20 Disember 2009) Saling Mengagumi (Berita Harian – Khamis, 17 Disember 2009) Saya Sentiasa Mahu Bekerjasama (Harian Metro – Isnin, 14 Disember 2009) Demi Anak Tahfiz (Berita Harian – Jumaat, 6 November 2009) Sharifah Aini Powers On (The New Straits Times – Tuesday, 3 November 2009) Dakwah Cara Sharifah Aini (Berita Harian – Jumaat, 23 Oktober 2009) Tak Serik Kena Kapur (Berita Minggu: B*Pop – 18 Oktober 2009) |