DEMI ANAK TAHFIZ oleh Farihad Shalla Mahmud & Zaidi Mohamad (Berita Harian: Jumaat, 6 November 2009) |
Anuar Zain, Adibah Noor teruja buat persembahan amal bersama Datuk Sharifah Aini pada 4 dan 11 Disember Seperti juga peminat lain, mereka berdua turut meminati penyanyi yang satu ini. Kelunakan suara ditambah banyak melahirkan pelbagai lagu malar segar membuatkan Biduanita Negara, Datuk Sharifah Aini begitu dikagumi dua penyanyi terkenal, Anuar Zain dan Adibah Noor. Malah lagu milik penyanyi berdarah Arab ini ada ketika turut menjadi pilihan Anuar dan Adibah untuk dinyanyikan dalam persembahan yang dijayakan mereka. Jika selama ini mereka hanya meluahkan perasaan kagum di dalam hati kini peluang terbentang di depan mata apabila dua penyanyi yang mempunyai nama huruf pangkal A itu diundang untuk menjayakan sebuah persembahan amal yang dinamakan Datuk Sharifah Aini & Friends. Adibah bakal menjayakan persembahan berbentuk amal bersama penyanyi itu pada 4 Disember depan. Sambil menyifatkan tawaran yang datang itu ibarat bulan jatuh ke riba, Adibah berkata dia memang tidak pernah menyangka bahawa satu hari nanti dia berkesempatan untuk berkolaborasi dengan penyanyi yang mempunyai ribuan peminat itu. "Saat diajukan tawaran untuk menjayakan persembahan ini, saya memang terkejut. Tergamam seketika dan seolah-olah tidak percaya yang satu hari nanti, saya dapat berkolaborasi dengan Datuk Sharifah Aini. Malah sewaktu sidang media tempoh hari dan sewaktu dia memberikan saya wang pendahuluan, saya masih tidak percaya. Tiba-tiba rasa sebak sehingga dia sendiri tertanya-tanya mengapa saya jadi begitu. Sewaktu saya masih kecil iaitu ketika umur saya 8 tahun, saya sering menyanyikan lagu Tiada Maaf Bagimu. Saya sendiri tidak tahu mengapa saya suka menyanyikan lagu itu. Tapi lagu dia yang paling saya suka adalah Bunga Tanjung. Dan lagu itulah juga yang akan saya nyanyikan pada 4 Disember ini," cerita Adibah kepada Hip. Bukan calang-calang penyanyi mampu berkongsi pentas dengan penyanyi ini apatah lagi untuk terbabit sama dalam sebuah pertunjukan berkonsepkan amal. "Apabila mendapat tawaran ini, saya memang tidak berfikir panjang. Terus saja saya bersetuju. Siapa yang tak mahu menyanyi dengan Sharifah Aini? Terus terang, saya merasa begitu terharu dan teruja dengan peluang yang diberikan itu. Sehingga kini saya masih tidak percaya yang Sharifah memilih saya untuk terbabit dalam projek istimewanya. Bagi saya, Sharifah seorang penyanyi yang merendah diri walaupun kedudukannya sekarang boleh dikatakan bertaraf diva. Dan sebab lain saya terima tawaran ini adalah kerana ia berbentuk kebajikan dan niat untuk membantu sekolah tahfiz mendapatkan dana membuatkan saya rela hati untuk terbabit dalam projek ini," katanya dalam nada teruja. Penampilan Adibah pada 4 Disember nanti adalah persembahan pembukaan untuk siri Datuk Sharifah Aini & Friends. "Untuk persembahan pembukaan nanti, saya akan menyanyi selama 45 minit. Dalam tempoh itu saya akan menyanyikan pelbagai lagu termasuk lagu popular saya serta lagu baru. Jadi kepada sesiapa yang ingin mendengar lagu baru saya jangan lupa datang menyaksikan persembahan ini. Sambil berhibur dapat juga beramal. "Saya juga akan berduet dengan Sharifah. Mengikut perancangan awal, saya akan menyanyikan lagunya dan dia menyanyikan lagu saya. Pastinya lagu Bunga Tanjung dan Terlalu Istimewa bakal menjadi pilihan," ujar Adibah yang kini sedang sibuk dengan teater Cuci The Musical ini. Selepas Adibah, pada 14 Disember, muncul pula Anuar untuk berkolaborasi dengan penyanyi Sri Dewi Malam ini. Seperti juga Adibah, Anuar turut melahirkan perasaan terujanya kerana berpeluang berduet dengan penyanyi yang tak lapuk dek hujan dan tak lekang dek panas itu. "Sebelum ini saya memang ada menyanyikan lagunya dalam persembahan saya dan tak sangka pula akhirnya saya berpeluang untuk menyanyi bersamanya. Tawaran ini diterima dengan penuh rasa terkejut. Malahan saya sempat ke rumahnya untuk berkongsi banyak kisah dan pengalaman sesama sendiri termasuk membincangkan corak persembahan yang dicetuskannya. Usaha ini, saya lihat bagus untuk sejarah, prestij dan landasan kerjaya nyanyian untuk ke peringkat yang lebih baik," katanya yang turut meluangkan masa menziarah Maahad Tahfiz Al-Quran Darul Huffaz, Batu 13 Puchong, Selangor, baru-baru ini bersama Sharifah. Maahad yang dikendalikan Ustaz Aminurrasid Che Ibrahim itu adalah antara yang bakal menerima bantuan untuk projek kebajikan itu. Bukan saja teruja kerana berpeluang berkolaborasi dengan penyanyi pujaannya, tetapi dia juga hasil titik peluhnya itu nanti turut disalurkan untuk tujuan kebajikan. "Saya juga teruja kerana ini kali pertama saya membuat kerja amal untuk rumah tahfiz. Sebelum ini pun saya pernah terbabit dengan majlis amal tetapi hanya membabitkan anak yatim dan ibu tunggal," kata penyanyi yang popular dengan lagu Ketulusan Hati ini. Sebagai tuan rumah, pastinya kesudian dua penyanyi itu untuk bergandingan dengannya dalam projek amal itu disambut dengan ucapan terima kasih yang tidak terhingga. Malah senyuman manis tidak lekang dari bibirnya saat bercerita mengenai projek sulungnya bersama syarikatnya itu. "Kak Pah harus berterima kasih kepada rakan artis terutama kepada Anuar Zain dan Adibah Noor yang terlebih dulu memberikan pengesahan untuk sama-sama terbabit dan beramal. Selepas ini, Kak Pah tengah berurusan untuk mengintai peluang berkolaborasi dengan Anita Sarawak, M Nasir, Jamal Abdillah dan Sheila Majid. Malahan, Kak Pah sudah mula memikirkan untuk mengadakan tema malam nostalgia 60-an serta mengundang Datuk Ahmad Jais," kata Sharifah yang bakal muncul dalam konsert Malam Lagenda Seri Dewi di Singapura, Ahad ini. INFO KONSERT DATUK SHARIFAH AINI & FRIENDS Siri persembahan Datuk Sharifah Aini dan Adibah akan diadakan pada 4 Disember ini jam 8 malam di Grand Ballroom, Hotel Concorde, Kuala Lumpur. Persembahan Datuk Sharifah Aini dan Anuar Zain pula berlangsung 11 Disember pada masa dan lokasi yang sama. Untuk siri persembahan mendatang, ada 15 lagi sekolah tahfiz di seluruh Malaysia yang akan dibantu. Harga tiket dengan jualan satu meja bersamaan 10 tempat duduk dijual dengan harga pilihan RM6,500, RM4,500 dan RM2,500. Sebarang maklumat lanjut mengenai urusan pembelian meja boleh menghubungi talian, 019-3848054 atau 012-9332373. Faks: 03-78051008 atau emel: limeevent@gmail.com Artikel lain yang berkaitan: Kak Pah Sasar RM1 Juta (Berita Minggu: B*Pop – 20 Disember 2009) Saling Mengagumi (Berita Harian – Khamis, 17 Disember 2009) Saya Sentiasa Mahu Bekerjasama (Harian Metro – Isnin, 14 Disember 2009) Sharifah Aini Powers On (The New Straits Times – Tuesday, 3 November 2009) Kak Pah, Anuar Ziarah Bakal Hafiz (Berita Minggu: B*Pop – 1 November 2009) Dakwah Cara Sharifah Aini (Berita Harian – Jumaat, 23 Oktober 2009) Tak Serik Kena Kapur (Berita Minggu: B*Pop – 18 Oktober 2009) |